Januari 23, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Kami telah tunjukkan dengan jelas pada minggu lalu carta korelasi antara indeks S&P500 dan EUR/USD yang sudahpun berakhir sejak awal Januari lalu. Namun kini segalanya sudah kembali normal: indeks S&P500 terus mengalami pertumbuhan, mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu 3859.84 pada 21 Januari, dan pasangan EUR/USD turut naik, mengiakan ramalan yang dibuat majoriti penganalisis (65%). Mencecah paras terendah 1.2053 pada hari Isnin, matawang euro kemudiannya naik ke paras 1.2190, dan paras terakhirnya sedikit rendah, iaitu pada kedudukan 1.2170.
    Segalanya agak tenang semasa berakhirnya minggu, semua disebabkan oleh ketua European Central Bank. Christine Lagarde tidak pernah berjaya menurunkan nilai matawang Eropah, beliau juga tidak serius untuk melonjakkan nilainya melepasi dolar. Hal ini sebenarnya boleh dianggap sebagai suatu kejayaan.
    Dalam ucapan beliau semasa berlangsungnya mesyuarat ECB pada hari Khamis, 21 Januari, Madame Lagarde menjelaskan apa yang baik dan apa yang buruk. Bahagian “Baik” termasuklah permulaan program vaksinasi, kejayaan EU dalam memulihkan ekonominya serta situasi tidak menentu dengan AS yang semakin reda. Bahagian “Buruk” pula mengandungi situasi epidemiologi yang semakin teruk, perintah berkurung yang berpanjangan, kemungkinan berlakunya kemelesetan berganda di eurozone serta kadar inflasi yang rendah akibat keengganan untuk bertumbuh akibat nilai euro yang kukuh. Dalam masa yang sama, pihak ECB sekali lagi enggan mengubah dasar ekonomi mereka pada mesyuarat hari Khamis lalu, hanya menyatakan “pakej Program Pembelian Kecemasan Pandemik tidak akan digunakan sepenuhnya.” Berita itu melonjakkan nilai euro. Walau bagaimanapun, tidak begitu banyak kerana tiada jumlah spesifik yang dinyatakan. Kriteria apa yang diguna untuk menentukan skala PPKP masih lagi menjadi misteri kepada para pelabur;
  • GBP/USD. Nilai pound bertumbuh mengikuti nilai euro pada permulaan minggu. Malah ia berjaya menembusi sempadan atas saluran antara 1.3450-1.3700, mencecah paras 1.3745. Walau bagaimanapun, pengakhiran untuk dagangan lima hari dilihat agak kabur. Lonjakan nilai pound juga tidak mendapat sokongan jualan runcit (peningkatan sebanyak 0.3% berbanding 1.2% yang diunjurkan), atau indikator aktiviti perniagaan: dalam sektor perkhidmatan, indeks Markit turun dari 49.4 kepada 38.8. Perdana Menteri British, Boris Johnson menambah lagi kadar pesimis dengan mengatakan gelombang ketiga perintah berkurung akan berterusan sehingga musim panas. Akibatnya, pergerakan pound berubah arah, kembali berada di saluran asal, dan berakhir pada kedudukan 1.3680;
  • USD/JPY. Jika diingat pada ramalan utama yang disokong oleh 65% penganalisis, mereka mengatakan pasangan ini akan terus berada di saluran menurun jangka sederhana yang sudah berlarutan sejak hari terakhir Mac 2020. Paras 103.60 dan 103.00 adalah paras sokongan.
    Ternyata senario itu benar-benar berlaku. Pasangan ini gagal untuk menembusi sempadan atas saluran tersebut untuk dua minggu berturut-turut. Cubaan kali pertama pada minggu lalu dibuat pada hari Selasa, 19 Januari, apabila ia melantun daripada paras sokongan 103.60 dan kemudian mencecah 104.07. Perubahan arah seterusnya yang berlaku pada hari Khamis, 22 Januari, dari paras 103.30 telah terhenti pada paras 103.90, dan selepas itu pasangan ini mengakhiri minggu dagangan di zon 103.80, paras yang sering didudukinya dalam bulan Januari;
  • Matawang Kripto. Adakah perkara yang berlaku hanyalah bersifat sementara atau adakah ia permulaan untuk musim dingin kripto yang baru? Persoalan ini menjadi pertanyaan dominan pada minggu lalu. Nilai bitcoin turun di bawah paras $29,000 pada hari Jumaat, 22 Disember, dan hal ini pastinya menakutkan ramai pelabur. Pengarah pelaburan di Guggenheim iaitu Scott Minerd meramalkan penurunan yang lebih rendah di bawah paras $20,000 - zon bermulanya lonjakan mendadak yang bermula pada pertengahan Disember 2020, lonjakan yang menaikkan sebut harga BTC sebanyak 100%.
    Para optimis menenangkan: sepanjang tahun, nilai bitcoin telah meningkat sebanyak 5.75 kali ganda, daripada $7,300 pada 1 Januari, 2020 kepada $41,900 pada 8 Januari, 2021, mereka berpendapat “sedikit” pembetulan kira-kira 30% bukanlah alasan untuk panik. Selain itu, sebilangan penganalisis maklum bahawa penurunan nilai bitcoin kali ini tidak diiringi dengan jualan ke dalam fiat. Pelabur yang menetapkan untung pada matawang kripto utama itu tidak meninggalkan pasaran digital, tetapi membuka posisi yang mereka rasa lebih menguntungkan, altcoin. Contohnya, melabur pada ethereum yang mengalami pertambahan nilai lebih daripada 11 kali ganda sepanjang tahun lalu. Jika pasangan BTC/USD mengalami kerugian sebanyak 22% daripada nilai maksimumnya pada petang 22 Januari, penurunan yang dialami ETH/USD adalah kurang daripada 10%.
    Situasi ini juga disokong oleh data ke atas jumlah keseluruhan modal pasaran kripto. Dalam tempoh tujuh hari, jumlah keseluruhan modal pasaran, termasuklah bitcoin, turun kira-kira 9.5% (daripada $1.028 trilion kepada $0.933 trilion). Dalam masa yang sama, jumlah keseluruhan modal pasaran altcoin kekal berada pada paras $300 bilion. Bitcoin adalah yang paling banyak mengalami kerugian, indeks dominasinya juga turun daripada 67.48% kepada 64.31%. Sebaliknya, bahagian Ethereum bertambah daripada 13.52% kepada 15.01%.
    Bagi Indeks Fear & Greed Kripto pula, bacaannya kini berada di luar zon lebihan belian dan turun daripada 88 kepada 40 mata dalam masa seminggu. Bacaan ini sepadan dengan keadaan yang neutral, iaitu sudah terlambat untuk membuka posisi short ke atas pasangan BTC/USD, dan terlalu awal untuk membuka posisi long. Namun, menurut penganalisis, “jerung” akan mula menambah bilangan bitcoin ke dalam walet mereka semasa harganya rendah, membeli coin daripada pelabur kecil yang panik.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Bolehlah kami rumuskan daripada analisis keputusan mesyuarat terakhir ECB lalu, walaupun komen yang Ms. Lagarde berikan tidak begitu jelas, mood para penggubal dasar di Eropah masih lagi bersifat hawkish. Majlis Pentadbir bank begitu maklum dengan pasaran hutang EU yang menunjukkan pertambahan hasil dan kebimbangan mengenai pertumbuhan nilai euro yang mendadak telah mula reda. Kini kita perlu tunggu berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan diadakan pada 28 Januari. Kadar faedah dolar mungkin akan kekal pada paras 0.25%, jadi fokus utama sekarang adalah komen pihak pengurusan penggubal dasar berkenaan polisi kewangan pada masa hadapan. Semua mata akan tertumpu kepada mereka sekali lagi khususnya kerana ini adalah mesyuarat Rizab Persekutuan pertama sejak pelantikan Joe Biden selaku Presiden AS yang baru.
    Sudah pasti, kita juga akan dapat melihat sebahagian besar statistik makro yang akan dikeluarkan pada minggu hadapan, termasuklah jumlah pesanan barangan modal serta barangan tahan lama di Amerika Syarikat (diumumkan pada hari Rabu, 27 Januari), serta data KDNK di Amerika Syarikat dan juga Jerman yang akan dikeluarkan masing-masing pada hari Khamis, 28 Januari dan Jumaat, 29 Januari.
    Dalam pada itu, pendapat penganalisis terbahagi seperti berikut. 45% penganalisis yang disokong oleh analisis grafik pada D1, 75% pengayun pada H4, 90% indikator trend pada H4 dan 75% lagi pada D1 memihak kepada bull. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.2275, 1.2300 dan 1.2350. Sasaran jangka sederhana masih lagi sama - naik ke paras 1.2500-1.2550.
    Pandangan bertentangan diberikan oleh 55% penganalisis. 25% pengayun pada H4 menunjukkan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.1800-1.1900;
  • GBP/USD. Semasa ramalan ini dibuat, bacaan pengayun pada H4 dilihat agak huru-hara. Untuk baki indikator, kebanyakan mereka masih lagi berwarna hijau. Justeru, 75% pengayun dan juga analisis grafik pada D1, serta 75% lagi indikator pada H4 dan 100% pada D1 menunjukkan pertumbuhan.
    Namun bagi penganalisis, sebahagian besar daripada mereka (65%) tidak berkongsi optimis bullish yang sama dengan analisis teknikal. Seperti yang dinyatakan di atas, puncanya adalah prestasi teruk yang ditunjukkan ekonomi British serta kenyataan Perdana Menteri negara itu, Boris Johnson yang memberi amaran tentang gelombang ketiga perintah berkurung mungkin akan berpanjangan sehingga musim panas. Hal ini bukan saja memaksa para pelabur menilai semula ramalan mereka terhadap pound, malah juga untuk memulakan semula perbincangan mengenai senario kadar negatif yang akan diambil oleh Bank of England.
    Sokongan berada di zon antara 1.3615-1.3635, kemudian 1.3525 dan akhir sekali sempadan bawah saluran mendatar sepanjang tiga minggu iaitu 1.3450. Paras rintangan - sempadan atas saluran iaitu 1.3700, 1.3745 dan 1.3800;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 25 - 29 Januari, 20211

  • USD/JPY. Semasa berlangsungnya mesyuarat pada hari Khamis, 21 Januari, pihak Bank of Japan dan juga ECB tidak mengubah sebarang parameter dalam polisi kewangan mereka. Unjuran kadar KDNK pada tahun lalu, 2020, diturunkan sedikit, namun para penggubal dasar menaikkan unjuran mereka bagi tahun 2021, dengan mengandaikan ekonomi negara itu akan terus bertumbuh walaupun dengan segala apa yang sedang berlaku.
    Berdasarkan senario ini, 70% penganalisis memihak kepada pengukuhan berterusan matawang yen serta penurunan pasangan ini ke paras sokongan 103.00, dan jika turun naiknya meningkat - turun 50 mata lebih rendah. Sokongan paling hampir berada pada paras 103.30.
    Senario alternatif yang mendapat sokongan 30% penganalisis menjangkakan gangguan di sempadan atas saluran menurun, dan lonjakan pasangan ini pertama sekali ke paras rintangan 104.00, kemudian 104.40. Sasaran bull seterusnya adalah zon di antara 104.70-105.00;
  • Matawang Kripto. Kadar turun naik bitcoin yang tinggi dan berisiko bukanlah lagi satu rahsia. Lonjakan mendadak yang didorong oleh kemasukan ramai pelabur berinstitusi ke dalam pasaran kripto sejak pertengahan tahun 2020, ditambah dengan wabak COVID-19 serta rangsangan fiskal oleh Rizab Persekutuan AS yang mengurangkan kadar faedah dan melambakkan wang murah ke dalam pasaran.
    Kini para penganalisis giat membincangkan tentang hakikat bahawa matawang kripto mungkin hanyalah suatu langkah yang diambil bagi mengekalkan modal sedia ada, dan kini tibalah masanya pihak institusi mula membeli aset digital itu secara berperingkat.
    Menurut ahli strategi di JPMorgan Chase, kunci utama untuk mengetahui harga jangka pendek bitcoin adalah dengan melihat pada syarikat pengurusan aset digital terbesar di dunia iaitu Grayscale Investments yang buat masa ini memiliki portfolio kripto bernilai $23 bilion. Mengikut pengiraan para penganalisis di bank itu, bagi memastikan nilai pasangan BTC/USD menembusi rintangan pada $40,000, Grayscale Bitcoin Trust perlu mengekalkan aliran masuk dana sebanyak $100 juta sehari untuk beberapa hari dan minggu yang mendatang. Jika tidak, pembetulan yang agak dalam dijangka akan berlaku.
    Semasa ramalan ini dibuat, sebut harga pasangan itu berada di sekitar $32,500. Itu adalah paras sokongan/rintangan yang agak kuat sejak tiga minggu lalu. Jika nilai modal pasarannya tidak bertambah, dan harganya sekali lagi turun di bawah paras $30,000, anda boleh jangkakan tekanan daripada bear akan bertambah dan gelombang jualan secara aktif yang baru akan bermula. 65% penganalisis bersetuju dengan senario ini.
    Namun terdapat juga peserta pasaran profesional yang mengekalkan mood bullish secara sederhana, dan hal ini dibuktikan oleh nilai premium bagi niaga hadapan bulan Mac yang positif, +3.5-5.0%. Ketua syarikat pelaburan Pantera Capital iaitu Dan Morehead menjangkakan “harga bitcoin mencecah $45,000 atau lebih” pada bulan Februari. Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan para pedagang dan pelabur dari lain-lain industri supaya lebih berhemah.
    Kenyataan anggota pentadbiran AS yang baru juga mengilhamkan sedikit sikap optimis. Calon bagi ketua Perbendaharaan AS dan juga bekas Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Janet Yellen menggalakkan penggunaan matawang kripto ketika bercakap tentang penambahbaikan yang mungkin dibuat terhadap sistem kewangan tradisional, dan galakan itu sudah pastinya dibuat mengikut rangka kerja undang-undang. Namun masa akan menentukan apakah undang-undang yang bakal digubal nanti. Walaupun begitu … sekarang sudah ada yang mengharapkan untuk mengguna khidmat … tukang tilik.
    Seperti yang dilaporkan Reuters, tukang tilik dari New York iaitu Maren Altman membuat ramalan ke atas nilai bitcoin berdasarkan pergerakan bintang-bintang. Beliau yang mengatakan bitcoin akan mengalami pembetulan pada awal Januari meramalkannya dengan tepat, ia terjadi pada hari planet Zuhal (indikator pengehad) yang seharusnya melintasi trajektori planet Merkuri (harga BTC). Untuk masa hadapan, Cik Altman melihat “beberapa isyarat menguntungkan pada penghujung bulan terutama sekali untuk bulan Februari dan juga awal Mac.” “Namun, pembetulan yang agak besar akan berlaku pada pertengahan Mac,” jelas tukang tilik tersebut. “Pertengahan April juga agak pesimis. Bulan Mei adalah bulan bullish.”
    Untuk pengetahuan, Cik Altman sudahpun memiliki lebih dari sejuta pengikut di media sosial, di antaranya mungkin adalah pelabur berinstitusi besar. Justeru, ada kemungkinan beliau, bersama-sama dengan para bintang yang mengawal pasaran kripto, dan bukannya Grayscale Investments J.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami