Februari 6, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Nilai dolar mengalami pertumbuhan sepanjang minggu, dipenuhi sikap optimis mengenai ekonomi AS yang pasti pulih. Jangkitan coronavirus turun dengan mendadak: dalam tempoh tiga minggu sejak jumlah jangkitan tertingginya, purata bergerak selama tujuh hari turun hampir 50%. Kejayaan program vaksinasi, berserta dengan pakej bantuan ekonomi yang baru membolehkan ekonomi di negara itu berkembang pesat.
    Maka bermulalah kekeliruan di sini yang menghairankan ramai ahli ekonomi. Setelah berlakunya wabak pandemik pada akhir Februari, wujudnya korelasi songsang antara dolar dan juga indeks saham. Setelah turun dengan mendadak pada awalnya, indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq naik disebabkan oleh insentif fiskal (QE), kadar faedah yang rendah dan juga lambakan wang murah ke dalam ekonomi AS, namun indeks dolar DXY pula jatuh.
    Dan pada tahun 2021, segalanya berubah menjadi terbalik. Berdasarkan data ekonomi yang baik serta jangkaan mengenai suntikan “vaksin” kewangan baru yang bernilai hampir $2 trilion, pertumbuhan sentimen risiko dan juga indeks saham terus berlaku. Selari dengan perkara itu, hasil bon jangka panjang AS dan juga dolar juga mengalami pertumbuhan.
    “Ia tidak seharusnya berlaku seperti itu,” ujar kebanyakan penganalisis. Polisi kewangan yang longgar serta mengepam likuiditi ke dalam pasaran seharusnya akan mengakibatkan sesuatu matawang susut, bukan perkara sebaliknya. Mungkin bukan dolar yang mengalami pengukuhan, tetapi kelemahan pesaingnya itu sendiri? “Adakah matawang euro?
    Bermula di kedudukan 1.2135 pada hari Isnin, pasangan EUR/USD mencecah paras terendah mingguan pada paras 1.1950 menjelang pagi Jumaat, 5 Februari, menembusi paras sokongan pada 1.2000 buat pertama kali dalam tempoh 10 minggu. Selepas itu, korelasi antara pasaran saham dan dolar sekali lagi berubah bacaannya, kali ini daripada positif kepada negatif: S&P500 terus mengalami pertumbuhan, manakala DXY mula jatuh. Akibatnya, pasangan EUR/USD naik sekali lagi dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.2050;
  • GBP/USD. Semasa berlangsungnya mesyuarat pada hari Khamis, 4 Februari, kami jangkakan Bank of England akan terus mengekalkan jumlah pembelian bon sebanyak £895 bilion dan juga kadar faedah 0.1%. Itulah yang berlaku, tiada sebarang polisi kewangan yang berubah. Namun pada masa yang sama, nilai pound meningkat dengan mendadak berbanding matawang dolar beberapa jam selepas itu, naik 135 mata dari 1.3565 kepada 1.3700.
    Secara keseluruhan ia bukanlah berkisarkan tentang hasil mesyuarat itu tetapi jangkaan daripada pasaran. Jawatankuasa bank berkenaan mengambil keputusan sebulat suara untuk membiarkan parameter utama polisi mereka tidak berubah. Sebilangan pelabur menjangkakan perbezaan pendapat akan berlaku dalam kalangan ahli Jawatankuasa, dan sebilangan ahli mereka akan meyokong untuk memperkenalkan kadar faedah negatif. Tiada perpecahan yang berlaku, keputusan undian adalah 9:0.
    Tidak disangkal lagi, kadar negatif akan mengakibatkan runtuhnya matawang pound, namun situasi itu dapat dielak dan semua adalah jasa para pegawai yang bersikap optimis terhadap pertumbuhan ekonomi di UK. Disebabkan kejayaan program vaksinasi, mereka berpendapat KDNK tahun semasa negara itu akan berada pada kadar yang sama dengan indikator sebelum berlakunya COVID, dan indeks harga pengguna akan naik pada kadar 2% di awal tahun 2022.
    Keputusan sebulat suara Bank of England untuk tidak meneruskan kadar negatif dalam masa terdekat ini seharusnya menggalakkan aliran masuk modal ke negara berkenaan. Itulah yang ditunjukkan oleh pasangan GBP/USD, meneruskan pertumbuhannya pada hari Jumaat, 5 Februari, dan mengakhiri sesi dagangan mingguan dengan berada pada paras 1.3735;
  • USD/JPY. Pergerakan pasangan ini pada kebanyakan masanya adalah bergantung pada perkara yang berlaku di Amerika Syarikat, dan bukannya di Jepun, melihat di manakah kedudukan indeks dolar DXY, indeks saham, serta ke arah manakah hasil bon Amerika akah berada. Perkara sama berlaku pada minggu lalu.
    Pada 27 Januari lalu, pasangan ini berjaya menembusi sempadan atas saluran menurun jangka sederhana, saluran menurun yang dilaluinya sejak hujung Mac lalu dan mengalami pertumbuhan mendadak. Walaupun kebanyakan pengayun serta indikator trend pada H4 dan D1 menunjukan trend ke atas, hanya 30% daripada penganalisis saja yang memilih pertumbuhan berterusannya. Namun ternyata jangkaan mereka adalah yang paling tepat: pasangan ini mencecah kedudukan tertingginya pada hari Jumaat, 5 Februari pada paras 105.75, diikuti kemudiannya dengan pembetulan dan berakhir pada paras 105.35;
  • Matawang Kripto. Kami sedia maklum pada ulasan terakhir lalu, bull telah mula mendapatkan semula kekuatannya dan membentuk satu lagi momentum ke atas buat bitcoin. Kami juga menyatakan masalah utama yang akan dihadapi pasaran kripto untuk tahun 2021 adalah para penggubal dasar yang bermatlamat untuk meletakkan segmen pasaran ini di bawah kawalan mereka sepenuhnya.
    Bermula pada pertengahan tahun 2020, pelabur berinstitusi telah menjadi tonggak utama terhadap pertumbuhannya. Selain daripada dana khusus seperti Grayscale Investments serta syarikat teknologi seperti MicroStrategy, universiti-universiti seperti Harvard, Yale dan Michigan telah mula membeli matawang kripto menggunakan dana wakaf mereka. Malah gergasi konservatif seperti dana pencen kerajaan AS CalPERS dilihat telah membeli aset digital. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh isu perundangan, institusi-institusi ini bertindak dengan berhati-hati, melabur dalam bitcoin dengan jumlah skala yang kecil.
    Jika diingat tidak lama selepas pasangan BTC/USD memperbaharui rekod nilai tertingginya pada 8 Januari, naik ke paras lebih daripada $42,000, dan jumlah keseluruhan modal pasarannya melebihi $1 trilion, ketua penggubal dasar Kesatuan Eropah iaitu Christine Lagarde dengan serta-merta menyatakan bahawa ia adalah aset yang penuh dengan spekulasi, aset yang sering diguna bagi menjalankan “perniagaan ganji” serta aktiviti penggubahan wang haram. Setiausaha Perbendaharaan AS yang baru iaitu Janet Yellen juga turut memberi pandangan yang sama dengan rakan sejawatnya itu, dan menyatakan “matawang kripto adalah satu kebimbangan, kebanyakan daripadanya digunakan untuk membiayai aktiviti haram.” Lagarde dan Yellen menyatakan pasaran ini perlu diselia secara serius. Namun, kedua-duanya tidak mendedahkan apakah punca kebimbangan itu. Walaupun begitu, jelas sekali bahawa pihak kerajaan bimbang hilang kawalan ke atas sumber kewangan mereka.
    Mungkin memang itulah puncanya, tapi harga bitcoin jatuh di bawah paras $30,000 setelah Presiden ECB dan Setiausaha Perbendaharaan AS itu mengeluarkan kenyataan tersebut. Walau bagaimanapun, menjelang akhir Januari, pasaran mula sedar tentang keadaan sebenar, dan kadar coin utama itu naik sekali lagi.
    Pada petang Jumaat, 5 Februari, pasangan BTC/USD didagangkan di zon $38,000, dan jumlah keseluruhan modal pasaran kripto merekodkan paras tertinggi, naik pada jumlah $1.16 trilion. Bagi Indeks Fear & Greed Kripto pula, bacaannya mencecah 81, walaupun masih berada di zon terlebih beli, kedudukan itu masih jauh daripada nilai maksimumnya.
    Menurut penganalisis di Glassnode, bilangan alamat BTC unik yang aktif mencecah 22.3 juta pada bulan Januari. “Ini adalah kadar tertinggi dalam sejarah bitcoin sehingga kini,” jelas para penganalisis. Lonjakan aktiviti yang berlaku pada Januari telah memadam rekod terdahulu iaitu 21 juta alamat aktif yang direkodkan pada Disember 2017.
    Penghasil BTC juga menunjukkan indikator yang hampir menyamai rekod mereka. Walaupun harga bitcoin jatuh 30%, Januari adalah bulan yang hebat bagi “perniagaan ganjil”. Nilai perolehan bagi penghasilan matawang kripto adalah sebanyak $1.1 bilion (nilai maksimum yang pernah direkodkan adalah $1.2 bilion pada Disember 2017). Penghasilan Ethereum juga menunjukkan rekod baru iaitu $0.83 bilion, naik 120% daripada jumlah yang dicapai pada Disember 2020%.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Setakat ini, situasinya masih lagi memihak kepada dolar. Dengan menjangkakan ekonomi AS akan mengalami pertumbuhan, para pelabur kini sudah bersedia untuk menutup sebelah mata bagi satu lagi kenaikan pada hutang negara mereka dalam bentuk pakej rangsangan ekonomi yang baru. Hasil perbendaharaan jangka panjang mereka bertambah, manakala spread bon antara AS dan Eropah juga bertambah, mengukuhkan lagi nilai dolar, dan menambah tekanan terhadap matawang Eropah. Dengan demikian, hasil bon 10 tahun negara Amerika sudahpun mencecah 1.15%, manakala potensi pertumbuhannya masih lagi belum berakhir. Anda juga perlu ingat dengan kenyataan Christine Lagarde berkenaan pihak ECB yang tidak langsung menentang penyusutan nilai euro.
    Hal di atas telah menyebabkan 70% daripada penganalisis yang disokong oleh 85% pengayun, 70% indikator trend serta analisis grafik pada D1 bersetuju bahawa dolar akan terus mengalami pertumbuhan dalam masa terdekat ini, dan nilai pasangan EUR/USD pula akan jatuh. Sokongan berada pada paras 1.1950, 1.1885, 1.1800 dan 1.1750. Namun, situasi ini berubah apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, di sini 60% penganalisis bersama-sama dengan analisis grafik sudahpun menunggu pasangan ini turun ke zon di antara 1.2200-1.2300. Sasaran mereka adalah paras tertinggi Januari iaitu 1.2350, rintangan paling hampir berada pada paras 1.2175.
    Bagi berita ekonomi penting yang bakal tiba pada minggu depan, tumpuan boleh diberikan kepada data pasaran pengguna di Jerman dan juga Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 10 Februari;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 08 - 12 Februari, 20211

  • GBP/USD. Adakah pasaran masih lagi boleh mengekalkan sikap optimis bull berkenaan matawang British untuk seketika? 65% penganalisis percaya bahawa pasangan ini sekurang-kurangnya masih lagi boleh berjaya, menembusi rintangan pada 1.3750, naik ke ketinggian 1.3800, dan mungkin 25-50 mata lebih tinggi selepas itu. Analisis grafik, 85% pengayun dan juga 100% indikator trend pada H4 dan D1 bersetuju dengan perkembangan itu. Walau bagaimanapun, 15% pengayun sudahpun memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Baki 35% lagi penganalisis mempertimbangkan zon antara 1.3700-1.3750 sebagai halangan yang tidak boleh diatasi, dan mereka berpendapat, setelah berjaya menembusi sokongan pada paras 1.3700, pasangan ini akan turun 100 mata dan tiba di zon 1.3485-1.3500.
    Antara peristiwa yang perlu diberi perhatian dan menarik minat adalah ucapan ketua Bank of England, Andrew Bailey pada hari Rabu, 10 Februari, serta penerbitan data KDNK bagi suku ke-4 2020 pada hari Jumaat, 12 Februari;
  • USD/JPY. Kebanyakan penganalisis (70%) yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1, 75% pengayun serta 80% indikator trend menjangkakan pasangan ini akan terus mengalami pertumbuhan sekurang-kurangnya ke zon di antara 106.00-106.25. Sasaran seterusnya adalah 107.00. Rintangan paling hampir berada pada paras 105.75.
    Baki 30% lagi penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan kembali ke paras 104.00, dan analisis grafik pada H4 meramalkan penurunan yang lebih rendah, ke paras terendah yang didudukinya pada 21 Januari iaitu 103.30. Sokongan berada pada paras 104.75, 104.00 dan 103.50.
  • Matawang Kripto. Apa yang baik, apa yang buruk.
    Sokongan para pelabur berinstitusi besar terhadap matawang kripto sudah semestinya satu perkara yang baik. Ia mambu mendorong pertumbuhan bitcoin ke paras yang lebih tinggi. Namun, hakikatnya pasaran kripto kini bergantung sepenuhnya terhadap sentimen golongan kecil ini, dan seterusnya sentimen para pegawai kerajaan pula adalah sesuatu yang buruk sehingga mampu mengakibatkan penurunan nilainya. Contoh paling jelas adalah penurunan nilai pasangan BTC/USD pada bulan Januari sebanyak 30%.
    Walau bagaimanapun, tindakan yang diambil oleh kerajaan bukan saja mampu memberi tekanan kepada pasaran kripto, malah menaikkan nilainya. Yang demikian, Presiden AS iaitu Joe Biden telah mengesahkan beliau telah bersedia untuk pakej rangsangan baru yang bernilai hampir $2 trilion. Ini adalah sesuatu yang baik kerana terdapat hampir 100% kebarangkalian sedikit sebanyak daripada dana tersebut akan mengalir masuk ke pasaran aset digital.
    Namun begitu, mengambil Tahun Baru Cina sebagai contoh, adakah ia sesuatu yang baik atau tidak? Sudah pasti ia baik bagi mereka yang menyambutnya, cuti yang menyeronokkan, hadiah dan buah tangan, bunga api… Namun menurut sebahagian penganalisis, nilai bitcoin mungkin akan jatuh lagi pada malam sambutan perayaan yang menggembirakan itu. Tambahan pula, mengikut keadaan tersebut, harga coin utama itu bukan saja mendapat ancaman daripada bank-bank pusat, malah pelabur-pelabur kecil yang mula memindahkan aset kripto mereka kepada fiat untuk membuat pembelian sempena perayaan Tahun Baru Cina.
    Buat masa ini, sebahagian besar pemilik walet bitcoin dengan nilai simpanan sehingga 10 ribu tertumpu di negara China. Menurut penganalisis di syarikat pelaburan Stack Funds, “disebabkan oleh adat resam perayaan Tahun Baru di China yang indah, pastinya para pelabur kecil akan mula mengeluarkan wang mereka sebelum tibanya cuti perayaan. Di samping itu, - jelas mereka lagi, “carta beberapa tahun yang lalu sering menunjukkan jumlah modal pasaran bitcoin akan turun mendadak apabila menghampiri musim cuti perayaan.” Kita tidak perlu menunggu lama untuk mengesahkan atau menyangkal ramalan itu: perayaan Tahun Baru di China bermula pada hari Jumaat, 12 Februari, dan musim cutinya akan berlarutan daripada 11 hinggalah 17 Februari.
    Kini tibalah masa untuk Ethereum. Altcoin utama ini terus mempamerkan keputusan yang memberangsangkan. Nilainya naik sebanyak 130% sejak permulaan tahun, manakala pada tahun 2020 pula pertumbuhannya adalah sebanyak 448%. Punca utama terhadap dinamik seperti itu adalah disebabkan oleh jangkaan bagi pelancaran niaga hadapannya di Chicago Mercantile Exchange (CME) yang dijadualkan pada hari Isnin, 8 Februari.
    Ramalan terhadap perkara itu adalah bercampur-campur. Para optimis (dan mereka adalah majoriti) teringat keadaan semasa niaga hadapan bitcoin dilancarkan di CME yang mengakibatkan nilai matawang kripto itu melepasi paras $20,000 pada penghujung 2017. Para pesimis pula mengatakan kejadian itulah yang menjadi titik mula bagi kripto dingin yang berlaku pada 2018. Persoalan sama ada niaga hadapan itu sesuatu yang baik atau tidak masih lagi belum terjawab.
    Pada Disember 2020, apabila nilai pasangan BTC/USD mencecah paras tertingginya dahulu iaitu $20,000 dan ETH/USD pula ketinggalan jauh, kami amat maklum mengenai nilai Ethereum yang berpotensi besar untuk bertumbuh. Kini situasi yang hampir sama dapat dilihat pada satu lagi token, Litecoin yang sudah lama tidak kedengaran mengenai perkembangannya.
    Coin ini membuat kemunculannya pada Oktober, 2011, dan dari sudut pandangan teknikal, ia antara fork bitcoin yang terawal dan hampir menyerupainya. $370 adalah nilai tertinggi yang pernah direkodkan, dicapai pada 19 Disember, 2017. Kemudian berlakunya kripto dingin, dan setahun kemudian, nilai coin itu jatuh kepada $20, rugi hampir 90% daripada nilainya. Buat masa ini, sebut harga pasangan LTC/USD berada pada kedudukan $155, lebih separuh daripada paras tertinggi yang pernah direkodkan, dan perkara itu boleh menyebabkan pertumbuhan. Tambahan pula, Litecoin telah berjaya memintas beberapa parameter matawang kripto utama yang penting. Sebagai contoh, transaksinya adalah empat kali lebih pantas berbanding dengan bitcoin.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami