Mei 1, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Tiga perkara telah menjadi penanda bagi minggu terakhir bulan April: mesyuarat Rizab Persekutuan, serta pengeluaran data KDNK di AS dan juga di Eurozone.
    Bagi Rizab Persekutuan, keputusan mesyuarat mereka adalah seperti yang dijangka. Kadar faedah mereka tidak berubah pada 0.25%. Jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) kekal sama, $120 bilion setiap bulan. Manakala kenyataan yang dibuat oleh ketuanya iaitu Jerome Powell adalah sama seperti apa yang kami tulis dalam ramalan sebelum ini: walaupun masa yang diambil untuk ekonomi AS pulih adalah begitu memberangsangkan, ia masih belum cukup untuk membangkitkan perbincangan tentang pengurangan jumlah program rangsangan fiskal. Setakat ini, semuanya nampak agak lemah, menurut Powell, pecutan kadar inflasi hanyalah faktor sementara, dan jumlah pekerjaan yang ada sekarang adalah 8.5 juta lebih rendah berbanding pada Februari 2020.
    Selain itu, kadar KDNK di AS bagi suku pertama adalah lebih tinggi daripada yang diunjur dan berjumlah 6.4% (berbanding 4.3% pada suku sebelumnya), menunjukkan dinamik terbaik sejak tahun 1984. Ekonomi di negara itu hanya memerlukan 1% lagi untuk berada dalam keadaan sebelum krisis memuncak. Berkemungkinan, ia akan pulih sepenuhnya sebelum permulaan bulan Julai jika berdasarkan pada indikator ini.
    Statistik yang kukuh seperti itu telah menyebabkan hasil Perbendaharaan AS bertambah. Namun ia tidak banyak membantu dolar sehingga berakhirnya minggu kerana hasil bon di Eropah juga mengalami pertumbuhan. Kadar hutang 10 tahun di Jerman telah merekodkan jumlah tertingginya sejak Mac 2020.
    Jurang bagi indikator yang menunjukkan masa untuk ekonomi di US dan EU pulih seperti sebelum krisis juga mungkin akan lebih mengecil. Presiden ECB iaitu Christine Lagarde berkata pada 28 April bahawa “kejayaan dilihat semakin hampir disebabkan oleh kepantasan program vaksinasi di EU” dan masa yang lebih pendek diperlukan untuk ekonominya pulih dalam enam bulan seterusnya.
    Berpunca daripada perkara di atas, pertarungan antara bull dan bear terhadap EUR/USD terus berlaku dan menampakkan pelbagai kejayaan sepanjang minggu. Unjuran inflasi yang kukuh terus memberi kelebihan kepada dolar. Presiden Joe Biden terus melambakkan jumlah wang yang besar ke dalam ekonomi mereka. Ekoran daripada stimulus berjumlah $1.9 trilion yang sudah pun mendapat kelulusan Kongres, $2.25 trilion bagi pembangunan infrastruktur serta $1.8 trilion bagi bantuan sosial pula menunggu giliran untuk diluluskan. Hasil daripada langkah yang diambil oleh pihak pentabiran AS itu, nilai dolar menyusut dan pasangan EUR/USD memperbaharui paras tertingginya sepanjang dua bulan pada hari Khamis, 29 April, mencecah 1.2150.
    Walau bagaimanapun, akibat daripada statistik makro yang kurang memberangsangkan di EU, kedudukan matawang Eropah menjadi goyah pada hari Jumaat. Dorongan tambahan terhadap dolar diberikan oleh lelongan bagi penempatan bon perbendaharaan pada petang Jumaat, 30 April. Jabatan Perbendaharaan AS telah menjual sekuriti hutang mereka berjumlah $130.6 bilion pada hari itu. Pencairan likuiditi daripada sistem kewangan tersebut telah memberi sokongan tambahan kepada matawang Amerika. Hasilnya, pasangan ini menghabiskan tempoh lima hari dengan berada pada paras 1.2020, kedudukan yang agak rendah berbanding pada permulaan minggu;
  • GBP/USD. Semasa membuat ramalan untuk pasangan ini pada minggu lalu, 45% penganalisis memilih pertumbuhannya, manakala 35% lagi menjangkakan penurunan dan baki 20% bersetuju dengan pergerakan mendatar.
    Seperti yang dijangka oleh kebanyakan mereka (45%), matawang pound mengukuhkan kedudukannya untuk empat hari pertama, dan para pelabur meletakkan harapan supaya pasangan GBP/USD mampu menembusi paras 1.4000 sekali lagi dan mengembalikan kadar pertumbuhan berterusan seperti yang berlaku sejak akhir Mac 2020 sehingga penghujung bulan Februari 2021. Walau bagaimanapun, setelah mencecah paras 1.3975, pertumbuhannya terbantut, tekanan oleh bear dipergiat, dan kedudukannya jatuh sebelum berakhirnya minggu, seperti yang dijangka oleh 35% penganalisis. Didorong oleh hasil lelongan pihak Perbendaharaan AS, pasangan ini menduduki paras terendah mingguannya hampir pada 1.3800. Ia diikuti pula dengan beberapa lonjakan kecil dan berakhir pada paras 1.3810, paras yang boleh dianggap sebagai Pivot Point sejak 9 minggu lalu. Jadi, pilihan 20% penganalisis yang ingin melihat ia bergerak secara mendatar juga dapat dipenuhi;
  • USD/JPY. Sudah dinyatakan sebelum ini bahawa hasil bon kerajaan AS menjadi kunci utama bagi indikator pasangan ini. Jumlahnya bertambah sepanjang minggu. Nilai dolar mengukuh bersama-samanya jika dibandingkan dengan yen. Hasil daripada itu, pasangan USD/JPY naik di atas paras 109.00, dan setelah memperoleh 145 mata lagi, ia mengakhiri sesi dagangan pada paras 109.30;
  • Matawang Kripto. Semasa ramalan pasangan ini dibuat tujuh hari lalu, kami nyatakan bahawa  tugas utama bull pada minggu lepas adalah mengekalkan pasangan BTC/USD di sekitar $50,000. Mereka berjaya melakukannya, namun dengan penuh kepayahan. Walaupun hakikatnya sebut harga pasangan ini turun ke paras $47,000 pada 25 April, mereka berjaya naik semula ke zon di antara $50,000-55,000. Para pelabur dan juga pihak spekulator mula membeli coin dengan aktif semasa nilainya di paras terendah, berharap keuntungannya bertambah pada masa depan. Jika jumlah keseluruhan modal pasaran kripto pada 26 April adalah sebanyak $1.750 trilion, jumlah itu mencecah $2.110 trilion pada hari terakhir bulan tersebut.
    Walaupun tidak banyak, namun faktor berasaskan berita telah membantu bull. Portal berita Coin Desk melaporkan bahawa gergasi kewangan Amerika iaitu JPMorgan akhirnya telah membuat keputusan untuk melancarkan dana yang memfokuskan pada BTC. Wartawan juga mendapati bahawa dana bitcoin ini akan mula beroperasi pada musim panas nanti.
    Pelancaran Bitcoin-ETF pula boleh dijadikan sebagai satu lagi faktor sokongan. Namun, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) telah menangguhkan keputusan mereka berkenaan permohonan VanEck sehingga bulan Jun. Buat masa ini, sebanyak 10 permohonan untuk melancarkan ETC telah dihantar, dan pihak berkuasa telah menyatakan pendapat bahawa mereka memerlukan lebih masa bagi memahami kesemua itu.
    Justeru, nilai matawang kripto utama itu kekal berada di sekitar $50,000. Namun ia gagal untuk naik melepasi paras purata pergerakan selama 50 hari, paras yang menjadi sokongan berterusan buat pasangan BTC/USD sejak Oktober 2020. Semasa sebut harganya menghampiri garisan tersebut, aktiviti belian jatuh mendadak. Hal ini memberi petanda buruk kepada para pelabur: pasaran kini sedang berhati-hati, ia disahkan oleh kedudukan bacaan Indeks Fear & Greed Kripto yang berada di tengah-tengah zon neutral: pada kedudukan 51 mata.
    Kami telah berulang kali nyatakan bahawa dalam situasi matawang kripto rujukan yang tidak menentu seperti itu, ramai pelabur yang mengalihkan perhatian mereka pada altcoin. Kedudukan bitcoin kian lemah. Jika peratusan dalam jumlah modal pasarannya adalah 72.65% pada 2 Januari, dan 50.70% pada 23 April, jumlahnya adalah lebih rendah pada akhir bulan lalu, mencecah paras terendah sejak Julai 2018: 47.87%.
    Dalam pada itu, daya tarikan Ethereum terus bertambah. Pengiraan kadar hash dalam rangkaian Ethereum yang dibuat oleh CoinMetrics bertambah sebanyak 89% sepanjang 100 hari lalu. Tidak seperti Bitcoin, pasangan ETH/USD terus memperbaharui paras tertingginya lagi, naik ke paras $2,790 pada 29 April.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Nilai dolar yang rendah telah menjadikan matawang itu sebagai antara aset selamat sepanjang pandemik berlaku, dan penyusutannya telah dibantu oleh pertumbuhan unjuran kadar inflasi yang melebihi 2.4% dan mencecah kadar tertingginya sejak tahun 2013. Suntikan besar kewangan harus membawa kepada pertambahan kadar KDNK tertinggi di AS, dan sewajarnya melibatkan peningkatan sentimen risiko dan juga menarik pelabur ke dalam pasaran saham. Menurut Data Pasaran Dow Jones, kadar indeks S&P500 naik sebanyak 11% sepanjang 100 hari pertama Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat. Ini adalah hasil terbaik yang ditunjukkan sejak Presiden Franklin Roosevelt pada tahun 1933, dan secara purata, kadar indeks saham naik sebanyak 3.2% setiap tahun sejak 1929.
    Selain itu, menjadi negara paling berkuasa di dunia, ekonomi di AS akan turut menaikkan ekonomi di lain-lain negara, merapatkan jurang dari segi masa yang diambil untuk pulih. Seharusnya nilai dolar turut akan dibantu oleh peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS.
    Setakat ini, 60% penganalisis yang membuat ramalan untuk minggu depan mengunjurkan pasangan EUR/USD akan cuba untuk naik sekali lagi. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.2055 dan 1.2100, sasarannya adalah untuk mencecah paras tertinggi yang dicapai pada 29 April iaitu 1.2150. 70% pengayun serta 75% indikator trend pada D1 bersetuju dengan ramalan itu. Baki 30% pengayun menunjukkan warna kelabu neutral.
    Apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada ramalan bulanan, pendapat para penganalisis berubah dengan mendadak. 75% daripada mereka menunggu pengukuhan nilai dolar dan penurunan pasangan ini ke zon 1.1900, dan kemudian 100 mata lebih rendah lagi. Sasaran bear adalah untuk memperbaharui paras terendah yang dicapai pada 31 Mac lalu iaitu 1.1704.
    Analisis grafik pada D1 menunjukkan pergerakan pasangan ini dalam julat dagangan antara 1.1945-1.2150. Dalam masa yang sama, mengikut bacaan pada H4, pasangan ini pertama sekalinya akan berdepan dengan penurunan ke sempadan bawah saluran tersebut, dan kemudian mengubah pergerakannya ke atas.
    Bagi perkara yang akan berlaku pada minggu depan, perhatian harus diberikan kepada data aktiviti perniagaan ISM dalam sektor pembuatan (3 Mei) dan juga sektor swasta (5 Mei) di Amerika Syarikat. Kami turut menantikan data buruh di AS: laporan ADP akan dikeluarkan pada hari Khamis, 5 Mei, manakala jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) akan diketahui pada hari Jumaat, 7 Mei.
    Pasaran pengguna di Eropah mungkin akan dapat menggembirakan hati para pelabur pada 3 dan 6 Mei nanti. Unjuran penurunan kadar jualan runcit di Jerman adalah semakin kecil daripada -9.0% kepada -3.15%. Jualan runcit di Eurozone secara keseluruhannya mungkin akan mengalami pertumbuhan daripada -2.9% kepada +9.4%, jika berdasarkan unjuran yang telah dibuat;
  • GBP/USD. Perkara utama yang harus diberi tumpuan bagi matawang British adalah mesyuarat Bank of England pada hari Khamis, 6 Mei yang secara khasnya akan membincangkan tentang polisi kewangan mereka. Berkemungkinan besar kadar faedah kekal tidak berubah pada 0.1%. Bagi program QE pula, jumlah pembelian bon kerajaan mungkin akan dikurangkan daripada £895 kepada £875 bilion. Jika perkara itu berlaku, isyarat yang akan diterima pasaran adalah keinginan para penggubal dasar di UK untuk mula mengetatkan polisi mereka.
    Pihak bank juga mungkin akan memperbaharui unjuran mereka terhadap masa yang akan diambil untuk ekonomi di negara itu pulih. Terdapat banyak sebab yang mendorong hal ini berlaku. Kadar pengangguran di Great Britain susut sebanyak 0.1% bagi suku pertama tahun ini, daripada 5.0% kepada 4.9%. Hampir 30 juta orang di negara itu yang telah menerima vaksin, daripada jumlah tersebut, 2.5 juta orang telahpun mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19. Beberapa sekatan kuarantin telah dihentikan. Semua itu menjadi faktor positif bagi pound, dan ia mungkin dapat menaikkan pasangan GBP/USD sekali lagi ke atas. Perkara ini dipersetujui oleh ramalan yang diberi oleh analisis grafik pada H4 dan D1.
    Bagi indikator teknikal pula, bacaannya pada D1 agak tidak jelas disebabkan oleh pergerakan mendatar yang dilaluinya untuk beberapa minggu lalu. Kebanyakan bacaan pada H4 secara umumnya berwarna merah, walaupun 25% pengayun sudah pun memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. 
    Bagi penganalisis, 60% daripada mereka menjangkakan pertumbuhan pasangan ini sekurang-kurangnya ke paras 1.4000. Jika paras tersebut berjaya ditembusi, sasaran berikutnya adalah 1.4240. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.3860, 1.3925 dan 1.3975.
    Baki 40% lagi penganalisis menyebelahi bear. Paras sokongan utama berada di zon antara 1.3670-1.3700, dan kemudian - 1.3600;
  • USD/JPY. Pendapat penganalisis adalah sama sepenuhnya seperti pada minggu lepas. 70% daripada mereka percaya bahawa pasangan ini akan turun sekali lagi, berada di bawah paras 109.00. Sokongan berikutnya berada pada paras 108.40 dan 107.45. Baki 30% lagi penganalisis menjangkakan pertumbuhan berterusan pasangan ini. Paras rintangannya adalah 110.00, sasaran mereka adalah untuk naik 100 pip lagi dan berada di kedudukan 111.00.
    Bagi indikator pula, 75% pengayun dan 100% indikator trend pada H4, serta 70% dan 95% masing-masing pada D1 adalah berwarna hijau. Baki pengayun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan penurunan pasangan ini ke paras 107.45;
  • Matawang Kripto. Seperti yang telah dinyatakan di atas, pasangan BTC/USD gagal untuk menembusi paras purata selama 50 hari pada hari terakhir bulan April. Hal ini dilihat menjadi satu peringatan kepada para pelabur. Lebih-lebih lagi kerana penurunan di bawah paras ini adalah yang pertama kali berlaku sejak awal Oktober tahun lalu, semasa pasangan ini menembusi paras $10,000.
    Indeks Dominasi Bitcoin juga turun di bawah bacaan 50%, dan ia menarik perhatian pelabur berinstitusi, mengheret keseluruhan pasaran kripto ke atas seperti sebuah lokomotif.
    Menurut beberapa orang penganalisis, setelah mengambil kira kedua-dua faktor tersebut, situasi ini sangat menyerupai dengan apa yang berlaku pada Januari 2018, permulaan bagi musim dingin yang berpanjangan.
    Namun, bersama-sama dengan para pesimis, suara mereka yang optimis juga biasa didengari. Pencipta model stock-to-flow, PlanB yang juga seorang penganalisis matawang kripto ternama percaya bahawa penurunan nilai bitcoin yang berlaku baru-baru ini adalah agak normal dan telah dijangka, ia turut mengesahkan trend bullish yang berlaku. Para penganalisis telah menekankan bahawa tiada siapa yang harus berharap nilainya akan terus bertambah, kadang kala pengunduran juga perlu berlaku: “Tiada pertumbuhan tanpa pengunduran. Nilai bitcoin telah mengalami pertumbuhan selama 6 bulan berturut-turut. Hal ini agak serupa dengan pembetulan separuh kitaran yang berlaku pada tahun 2013 dan juga 2017.”
    Malah PlanB juga maklum dengan “tenang pada tahap-tahap tertentu”: keadaan pasaran agak hangat, kini sedikit fasa “dingin” sedang menanti. Selain itu, kadar matawang kripto pertama tersebut buat masa ini rupa-rupanya adalah lebih rendah daripada jangkaan model S2F, itu bermaksud nilainya mungkin akan terus mengalami pertumbuhan.
    Dan Morehead, CEO Pantera Capital iaitu sebuah firma modal teroka juga bersikap positif. Menurut ahli perniagaan itu, kejatuhan nilai BTC akan mengakibatkan pertumbuhannya, kerana lebih ramai pelabur yang mula faham bahawa menyimpan modal dalam bentuk matawang kripto adalah lebih berkesan jika dibandingkan dengan instrumen  tradisional.
    Mengikut pengiraan yang dibuat oleh ketua Pantera Capital, nilai BTC naik sebanyak $200 bagi setiap 1 juta orang pengguna baru yang mendaftar pada rangkaiannya. Jika dinamik seperti itu terus berlaku, harga matawang kripto akan menghampiri ataupun melebihi $200,000 pada tahun 2022.
    Menurut Dan Morehead, antara perkara lain yang menyumbang kepada kadar spread bitcoin itu adalah hasil pertambahan jumlah pengguna telefon pintar. Kini terdapat kira-kira 2.5 bilion orang yang memilikinya di seluruh dunia, menjadikan bitcoin tersedia pada bila-bila masa, di mana saja.

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 03 - 07 Mei, 20211


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami