September 11, 2021

EUR/USD: Penentukuran Semula QE di Eurozone

  • Mesyuarat ECB pada hari Khamis, 9 September lalu berlangsung seperti yang dijangka tanpa berlakunya sebarang kejutan. Kadar faedah kekal tidak berubah pada 0%. Para penggubal dasar di Kesatuan Eropah telah mencadangkan untuk mengurangkan program rangsangan kewangan (QE) secara “dovish”. Lebih tepat lagi, menurut gabenor bank itu, Christine Lagarde, program tersebut bukanlah “dikurangkan” secara mendadak tetapi lebih kepada “ditentukur semula”. Pengurangan pembelian aset pada Q4 nanti adalah bertentangan dengan keputusan untuk menambahnya yang dipersetujui pada bulan Mac lepas. Untuk berbuat demikian, pihak ECB kekal fleksibel, dan mungkin akan mengubah kadar kelajuan pembelian pada awal tahun hadapan jika perlu.

    Berkemungkinan pihak penggubal tidak mahu bertindak secara melulu sehinggalah tibanya mesyuarat pada bulan Disember nanti apabila mereka perlu membentangkan rancangan penamatan QE yang lebih jelas. Buat masa ini, mereka hanya memantau perkembangan situasi berkenaan. Keputusan pilihan raya parlimen di Jerman yang akan berlangsung pada 26 September depan adalah satu perkara mustahak. Lebih-lebih lagi pilihan raya ini akan menjadi pilihan raya pertama Angela Merkel tidak akan menerajui parti Christian Democratic Union sejak tahun 2005.

    Selain daripada keputusan untuk “menentukur semula”, pihak ECB telah menaikkan unjuran kadar KDNK 2021 di Eurozone dari 4.6% kepada 5.0% manakala kadar inflasi dari 1.9% kepada 2.2%. Dalam masa yang sama, pihak bank menjangkakan indeks harga pengguna tidak akan bertumbuh tetapi menyusut kepada 1.7% untuk tahun 2022 dan 1.5% untuk tahun 2023. Ini menunjukkan bahawa polisi mereka yang tidak begitu ketat akan terus dilaksanakan untuk jangka masa yang panjang. Tidak perlulah membincangkan tentang kenaikan kadar faedah sehingga penghujung 2023 - awal 2024.

    Pertumbuhan ekonomi memihak kepada bull pada pasangan EUR/USD, manakala polisi kewangan pula memihak kepada bear. Tiada isyarat jelas yang dikeluarkan oleh pihak ECB, dan perkara sama dijangka akan berlaku sehingga bulan Disember. Justeru, pasaran masih lagi menunggu keputusan pihak Rizab Persekutuan AS sebelum memilih mata wang mana menjadi pilihan mereka.

    Jangka hayat program QE di Eropah adalah seperti yang dinyatakan di atas. Pihak Rizab Persekutuan mungkin akan mula mengurangkan program QE mereka pada tahun ini dan tamat sepenuhnya pada hujung 2022. Pendapat ini diberikan oleh pelobi-pelobi hawkish dalam pimpinan Bank Pusat AS. Malah ahli FOMC iaitu Michelle Bowman secara khususnya menekankan bahawa pihak Rizab Persekutuan tidak akan terlepas setelah melihat pada statistik pengangguran bulan Ogos yang mengecewakan.

    Kekuatan seimbang ini memberi kelebihan kepada dolar dan seharusnya akan menyusutkan pasangan EUR/USD ke bawah. Buat masa ini, 50% penganalisis bersetuju dengannya, dan disokong oleh analisis grafik. Kedudukan terakhir pasangan ini adalah 1.1810 pada minggu lalu, dan sekarang sokongan dijangka akan berada pada paras 1.1800, 1.1750, 1.1705 serta 1.1665. 15% penganalisis menjangkakan pasangan ini akan mengalami penyatuan di zon 1.1800, manakala baki 35% lagi menunjukkan pertumbuhan. Rintangan berada pada paras 1.1845, 1.1908, 1.1975, 1.2025 dan juga 1.2100.

    Indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan pengayun, 50% menunjukkan pertumbuhan, 10% penurunan, dan baki 40% lagi adalah neutral. Dalam kalangan indikator trend, 35% berwarna hijau, 65% lagi berwarna merah.

    Kalendar ekonomi di AS dilihat agak sibuk pada minggu depan, dan statistik penting yang akan menjadi tumpuan pastinya data pasaran pengguna di negara tersebut. Indeks Harga Pengguna akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 September, data jualan runcit pada hari Khamis, 16 September, dan Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan akan diketahui pada hari berikutnya.

GBP/USD: Pergerakan yang Hampir Tiada Hasil

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 13 - 17 September, 20211

  • Setelah melakarkan corak parabola dengan 1.3725 sebagai paras terendahnya, pasangan GBP/USD pada hari Jumaat, 10 September kembali ke paras yang hampir sama ia bermula pada hari Isnin (1.3865) dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.3830. Ia tidak pernah berjaya untuk melepasi bahagian tengah saluran antara 1.3700-1.4000 iaitu kedudukan yang sering dilaluinya sejak bulan Februari 2021.

    Jika ia terus bergerak ke atas (kini senario ini disokong oleh 60% penganalisis), maka rintangan kuat paling dekat yang akan dilaluinya berada pada paras 1.3909, kemudian 1.3960, 1.4000 dan 1.4100. Bull mensasarkan untuk memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 1 Jun lalu iaitu 1.4250. Jika perkara sebaliknya yang berlaku (30% penganalisis memilih senario ini), sokongan akan berada di zon 1.3730, 1.3665 dan 1.3600. Baki 10% lagi penganalisis memilih trend mendatar.

    Bagi pengayun pada D1, 70% adalah berwarna hijau, 15% kekal neutral, dan baki lagi 20% menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Bagi indikator trend, seperti minggu lalu, warna hijau mendapat kelebihan sebanyak 9-1.

    Peristiwa yang akan berlaku minggu depan termasuklah pengeluaran data pengangguran di UK pada hari Selasa, 14 September, dan juga statistik ke atas pasaran pengguna di negara itu pada hari Rabu, 15 September.

USD/JPY: Satu Lagi Pasangan Tanpa Hasil

  • Sebagai tempat selamat, pasangan USD/JPY telah bergerak di sepanjang garis 110.00 sejak Mac lalu, membuat percubaan luar biasa untuk keluar dari saluran dagangan antara 108.30-111.00. Jadi pada kali ini, setelah memulakan dagangan lima hari pada paras 109.70, ia mengakhiri minggu hampir pada paras ia bermula, pada paras 109.85. Disamping itu, julat dagangannya menjadi semakin sempit, dalam linkungan 85 mata: dari 109.60 kepada 110.45. Bagi mereka yang berdagang secara aktif akan mendapati keadaan turun naik seperti itu agak mengecewakan. Namun, di sebalik semua itu, anda masig boleh memperoleh pulangan yang agak besar bersama broker NordFX walaupun keadaan koridor yang sempit seperti itu dengan meletakkan order Stop Loss dan Take Profit  serta mengambil kira nilai spread minimum dan juga leveraj sehingga 1:1000.

    Ramalan penganalisis untuk minggu depan adalah seperti berikut: 50% daripada mereka memihak kepada bear, 15% - bersetuju dengan bull, dan baki 35% mengambil pendirian neutral. Bagi indikator pada D1, warna merah memiliki 60% kelebihan dalam kalangan pengayun, warna hijau hanya mewakili 10%, dan yang berpendirian neutral, warna kelabu - 30%. Indikator trend memberikan bahagian sebanyak 50-50.

    Sokongan berada pada paras 109.60, 109.10, 108.70 dan 108.30. Impian bear adalah untuk menguji semula paras terendah bulan April iaitu 107.45. Rintangan paling hampir berada pada paras 110.00, 110.25, 110.55, 110.80, 111.00 dan 111.65. Sasaran utama bull masih lagi sama: untuk mencecah ketinggian 112.00 yang diimpikan.

MATA WANG KRIPTO: 7 September: Hujan Membasahi Bumi

  • Pasaran kripto pada minggu lalu boleh diringkaskan kepada satu hari saja, Selasa 7 September. Satu undang-undang baru di El Salvador yang mengiktiraf bitcoin sebagai satu bentuk bayaran yang sah dan sama  tarafnya dengan dolar telah dikuatkuasakan pada hari tersebut. Nayib Bukele, presiden negara itu yang muda usianya telah membuat ciapan Twitter mengenai perkara tersebut tiga minit sebelum menjelang tengah malam waktu tempatan. “Dalam masa tiga minit lagi kita akan menempa sejarah baru,” tulis beliau. Sebelum itu, ketua negara berkenaan telah mengesahkan bahawa kerajaan El Salvador telah memperoleh 200 BTC yang pertama. Nilai bitcoin semakin meningkat sejak 20 Julai lalu dan kedudukannya melepasi paras $52,000 selepas perkara tersebut diumumkan.

    Secara kasarnya 20% daripada KDNK negara itu adalah hasil kiriman wang rakyat El Salvador yang bekerja di luar negara kepada keluarga di negara asal mereka. Komisen dalam mata wang USD yang perlu dibayar tinggi jumlahnya, ia sangat merugikan dan hanya menguntungkan struktur kewangan di AS saja. Ini adalah antara faktor utama yang menyebabkan mereka menerima pakai bitcoin. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan penduduk El Salvador, yang mana satu pertiga daripada mereka tidak menggunakan internet, aset digital masih lagi menjadi sebuah misteri. Mengikut tinjauan yang dibuat, kira-kira 70% daripada populasi negara tersebut bimbang tentang inovasi ini, dan pesara-pesara pula percaya dengan cara ini pihak kerajaan mahu mengambil pencen mereka yang berbentuk USD. Kebimbangan dan salah faham ini telah mengakibatkan berlakunya protes dan demonstrasi jalanan di seluruh negara.

    Bank Dunia enggan memberi sokongan kepada inisiatif Nayib Bukele, dan ia telah menjejaskan bahagian yang diterima negara itu dari IMF. Menurut penganalisis, El Salvador tidak memiliki undang-undang khusus untuk menangani permasalahan yang sering dikaitkan dengan bitcoin, menambahkan lagi risiko yang berkaitan dengan penggubahan wang haram dan juga pembiayaan pengganas. Manakala agensi rating ternama seperti Fitch percaya bahawa industri insuran di El Salvador pasti akan menerima kesan yang teruk. Bon-bon dengan rating B- sudahpun diedar ke dalamnya, dan kini situasinya pasti akan menjadi lebih teruk akibat kehadiran mata wang kripto yang tidak stabil.

    Perkara yang berlaku pada 7 September jelas menggambarkan ketidakstabilan pasaran itu. Dalam masa beberapa jam saja, harga bitcoin susut 18%, dari $52,870 kepada $43,205, menarik keseluruhan pasaran kripto ke bawah.

    Kemudian mata wang kripto utama itu berjaya menebus semula sebahagian nilai yang rugi, dan ia didagangkan pada julat antara $45,000-46,000 bagi setiap coin semasa ulasan ini dibuat, pada hari Jumaat, 10 September.

    Kedudukan Indeks Fear & Greed Kripto telah beralih ke zon fear, jatuh daripada 74 kepada 46 mata. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto turun kepada $1.975 trilion dan berada di bawah paras psikologi penting $2 trilion pada 8 September, tetapi naik semula menjadi $2.100 trilion menjelang hujung minggu bekerja.

    Walau pun dengan apa yang berlaku, kebanyakan penganalisis masih bersikap positif tentang prospek yang ada pada bitcoin dan ethereum. Contohnya, pakar strategi kanan iaitu Mike McGlone menamakan paras $100,000 untuk bitcoin dan $5,000 untuk ethereum sebagai “laluan paling kurang rintangan” dalam laporan Bloomberg Crypto Oulook bagi bulan September. “Aset kripto memasuki enam bulan terakhir bagi pasaran bull yang baru setelah kejatuhan teruk dari paras tertinggi yang dialaminya sebelum ini,” maklum penganalisis Bloomberg itu, dan menambah bahawa beliau melihat “masa depan bitcoin sebagai aset rizab digital bagi melengkapi dolar.”

    Pihak pengurusan Miller Opportunity Trust milik hartawan Bill Miller juga menyatakan tentang nilai pasangan BTC/USD yang berpotensi untuk naik mendadak dengan menyebut bitcoin sebagai analog digital emas. “Jumlah keseluruhan modal pasaran emas adalah sebanyak $11 trilion, bitcoin pula hanya berjumlah $900 bilion, dan jelas menunjukkan terdapat jurang yang sangat besar. Penerimaan bitcoin masih di peringkat awal dan kadar turun naik aset tersebut adalah begitu tinggi, tetapi kami percaya nisbah antara risiko dan ganjaran yang diberikan adalah sangat menarik,” Miller Trust Opportunity dalam kenyataan mereka yang difailkan terhadap Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS (SEC).

    Cathy Wood, CEO Ark Invest juga percaya bahawa pecutan pasaran mata wang kripto masih lagi belum berakhir. Tiada tanda-tanda gelembung harga wujud di pasaran, beliau menjelaskan. “Kami mendapati kelebihan bitcoin bukan hanya sebagai penyimpanan nilai atau emas digital. Ia adalah sebuah sistem kewangan global baru yang bersifat disentralisasi sepenuhnya dan tidak tertakluk pada desakan ahli politik”. Atas dasar itu, Cathy Wood merasakan keadaan akan menjadi lebih provokatif pada lima hingga lima belas tahun akan datang, dan menyebabkan sebut harganya membentuk lengkuk S. Justeru itu, bagi mematangkan sektor ini, undang-undang yang mampu memberi kesan paling positif terhadap bitcoin perlulah digubal.

    Para penganalisis di kumpulan perbankan antarabangsa Standard Chartered juga memberi penilaian positif terhadap masa depan bitcoin dan juga ethereum. Mereka membuat perbandingan dengan mata wang pada mulanya, dan selepas itu dengan pasaran kewangan yang mengandungi transaksi pinjaman, insuran serta bursa. Justeru, melihat pada kes gunaan ETH yang lebih meluas, jumlah keseluruhan modal pasarannya mungkin akan menyamai mata wang kripto pertama itu.

    Standard Chartered mengunjurkan julat harga bitcoin adalah antara $50,000-$175,000 dan julat harga ethereum pula antara $26,000-$35,000. Justeru, nilai mata wang kripto ini masing-masing naik sebanyak tiga dan sepuluh kali ganda. “Walaupun pulangan daripada ETH mungkin akan melebihi BTC pada masa akan datang, risiko yang dikaitkan dengannya juga akan bertambah,” wakil dari bank itu menjelaskan.

    Secara purata, 20% penganalisis bersetuju bahawa pasangan BTC/USD akan melepasi paras $50,000 pada minggu hadapan, jumlahnya meningkat kepada 40% bagi ramalan bulanan, dan 80% bersetuju ia akan berlaku sebelum cuti Tahun Baru.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami