Oktober 30, 2021

EUR/USD: After ECB Meeting, Ahead of Fed Meeting

  • Judul bagi ulasan EUR/USD sebelum ini adalah “Dalam keadaan tidak menentu”, seperti yang berlaku pada minggu lalu. Bermula pada paras 1.1643, pasangan ini turun ke paras 1.1581, dan kemudian naik ke paras 1.1691, mengakhiri sesi dagangan di kedudukan terendah paling baru, kali ini pada paras 1.1560.

    Peristiwa yang ditunggu-tunggu pada minggu lalu adalah mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah. Seperti dijangka, kadar faedah mereka kekal 0% tidak berubah. Justeru, ulasan oleh pihak pengurusan ECB berkenaan polisi kewangan mereka dilihat lebih menarik. Setelah pihak Rizab Persekutuan AS serta Bank of England menggariskan tempoh masa untuk mula menamatkan program rangsangan kewangan (QE) mereka, para pelabur juga mahu mendengar kenyataan serupa daripada pihak ECB. Namun… tiada apa yang dapat didengari: kenyataan media yang dibuat oleh penggubal dasar tersebut secara praktikalnya sama seperti kenyataan pada bulan September.

    Menurut maklumat dalaman Bloomberg, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli Majlis Pentadbir ECB buat masa ini. Yang pertama dan paling utama sekali, kebimbangan terhadap berapa tinggi kadar inflasi pada masa akan datang. Jaminan Presiden ECB iaitu Christine Lagarde berkenaan kenaikan kadar inflasi kepada 3.4% sebagai sementara langsung tidak berpatutan. Lebih-lebih lagi, ianya agak meragukan jika dibandingkan dengan kadar inflasi tertinggi di Jerman 28 tahun lalu (4.6%) dan kadar tertinggi di Sepanyol 37 tahun lalu (5.5%). Kenyataan oleh pihak pengurusan bank bahawa analisis mengesahkan kadar faedah tidak perlu dinaikkan pada tahun 2022 juga agak meragukan.

    Semua perkara di atas telah menyebabkan para pelabur berasa penamatan rangsangan kewangan di Eurozone tidak akan bermula sehingga lewat tahun 2022 dan awal tahun 2023. Melihat pada keadaan ini, nilai mata wang Eropah itu seharusnya susut dengan mendadak. Namun jika dilihat pada carta, kita akan dapat lihat peningkatan mendadak pasangan EUR/USD: pasangan EUR/USD naik 110 mata pada 28 Oktober. Mengejutkan tapi benar-benar berlaku!

    Punca utama terletak pada statistik makro dari AS yang dikeluarkan pada hari sama semasa berlangsungnya sidang akhbar ketua ECB. Mengikut anggaran awal, kadar KDNK di AS untuk Q3 adalah 2.0%, bukan saja lebih rendah berbanding kadar sebelum ini iaitu 6.7% tetapi juga lebih rendah daripada anggaran 2.7%. Kadar pertumbuhan ekonomi di AS turun daripada 12.2% kepada 4.9%. Angka-angka ini mengganggu sikap optimis para pelabur dan telah menyebabkan nilai dolar menyusut, dengan indeks USD (DXY) turun daripada 93.86 kepada 93.33, manakala indeks saham Dow Jones dan juga S&P500 hampir kembali menduduki paras tertinggi dalam sejarahnya. Harga gas dan arang batu yang jatuh turut tidak berpihak kepada dolar, mengurangkan kebarangkalian kemerosotan bahan api di Eropah daripada berlaku.

    Menjelang penghujung minggu, pada hari Jumaat, 28 Oktober, nilai dolar bukan saja dapat memperoleh semula kerugian, malah ia juga menolak pasangan EUR/USD ke paras paling rendah sejak tiga minggu lalu. Aturan para pelabur menjadi kunci utama kepada kejayaan ini setelah laporan Rizab Persekutuan mengenai keadaan ekonomi yang dikenali sebagai Beige Book dikeluarkan, sebelum berlangsungnya mesyuarat penggubal dasar itu pada minggu depan. “Dengan rancangan pihak Rizab Persekutuan untuk mula mengurangkan pembelian aset dan juga fleksibiliti, yang berkemungkinan akan menjadi ciri utama dalam penggubalan polisi pada masa hadapan, nisbah risiko/pulangan ke atas dolar dilihat lebih positif,” jelas penganalisis di TD Securities.

    Nilai dolar turut mendapat sokongan pertumbuhan pulangan ke atas aset berisiko, kenaikan hasil bon sebanyak 1.672% (tertinggi sejak Mei) serta statistik makro yang baik di AS: kenaikan kadar yang mendasari indeks PCE (Perbelanjaan Penggunaan Peribadi) kekal pada 3.6% untuk bulan September, sama seperti bulan Ogos. Walau bagaimanapun, statistik dari Kesatuan Eropah telah mengakibatkan satu lagi serangan bimbang terhadap para pelabur, ia menunjukkan peningkatan kadar inflasi serta kelembapan pertumbuhan kadar KDNK yang mendadak.

    Walaupun dengan turun naik yang dialami EUR/USD sepanjang beberapa minggu lalu, 100% indikator trend pada D1 menunjukkan penurunan. Namun dalam kalangan pengayun, kadar turun naik ini telah mengakibatkan beberapa perselisihan pendapat: hanya 40% daripada mereka menunjukkan penurunan, 30% lagi menunjukkan pertumbuhan manakala baki 30% pula menunjukkan pergerakan mendatar. Pendapat penganalisis juga berbeza-beza. 30% menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, 55% pula meramalkan penurunan, manakala 15% lagi mengambil pendirian neutral. Sokongan berada pada paras 1.1520, 1.1485, 1.1425 dan 1.1250. Rintangan berada pada paras 1.1580, 1.1625, 1.1670, 1.1715, 1.1800, 1.1910.

    Untuk peristiwa penting serta penerbitan statistik makroekonomi, banyak yang akan berlaku pada minggu hadapan. Jumlah jualan runcit di Jerman serta indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor pembuatan di AS akan dikeluarkan pada hari Isnin, 1 November. Nilai ISM dalam sektor perkhidmatan, serta laporan ADP berkenaan jumlah pekerjaan di AS akan diketahui umum pada hari Rabu, 3 November. Pada hari yang sama akan berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan, perkara penting seperti keputusan kadar faedah, serta ulasan pihak pengurusan terhadap polisi kewangan bank Pusat AS itu akan diumumkan. Christine Lagarde, ketua Bank Negara Kesatuan Eropah dijadual akan berucap pada hari Rabu dan Khamis.

    Seperti biasa, pada 5 November, hari Jumaat minggu pertama setiap bulan, kita akan ketahui data dari pasaran buruh di AS, termasuklah indikator penting seperti NFP, bilangan pekerjaan yang terhasil bukan dalam sektor agrikultur di AS. Statistik jualan runcit di Eurozone juga akan dikeluarkan pada hari yang sama.

GBP/USD: Sebelum Rizab Persekutuan dan Bank of England Bermesyuarat

  • Indeks Harga Pengguna (CPI), gambaran bagi prestasi harga runcit barangan dan juga perkhidmatan yang membentuk kelompok pengguna dalam kalangan penduduk United Kingdom dan menjadi salah satu indikator inflasi penting menunjukkan kadar +0.3% untuk bulan September (berbanding unjuran +0.4% dan +0.7% untuk bulan Ogos). Untuk nilai tahun ke tahun, kadar CPI di UK mengalami pertumbuhan sebanyak +3.1% (berbanding unjuran +3.2% dan +3.2% untuk bulan Ogos). Walaupun indikator menunjukkan penurunan kadar inflasi untuk bulan September, penganalisis menjangkakan nilai itu akan naik mendadak pada bulan Oktober disebabkan oleh peningkatan harga tenaga, tarif utiliti serta peningkatan separa VAT.

    Minggu hadapan bukan saja minggu untuk Rizab Persekutuan bermesyuarat, Bank of England juga turut sama, dijadual akan berlangsung pada hari Khamis, 4 November. Menurut sebilangan penganalisis, penurunan kadar inflasi pada bulan September mungkin tidak akan memaksa para penggubal dasar UK daripada tidak menaikkan kadar faedah utama mereka pada bulan-bulan yang akan datang (nilainya kini 0.1%).

    Ancaman stagflasi, ditambah pula dengan kadar pertumbuhan KDNK yang lemah serta kadar inflasi yang tinggi agak membahayakan ekonomi di British yang masih menerima tekanan kesan daripada Brexit. Menurut penganalisis Bank of England, kadar inflasi tahunan akan naik di sekitar 5% menjelang April 2022 dan turun kepada kadar sasaran iaitu 2% selewat-lewatnya akhir tahun 2022. Kadarnya naik dengan laju, baru-baru ini Andrew Bailey, ketua bank negara berkenaan berkata pada kadar seperti itu, tindakan mungkin perlu diambil dan kadar faedah perlu dinaikkan lebih awal berbanding daripada rancangan.

    Kini, ramai pelabur percaya kadar faedah pound yang mampu mencecah sehingga 0.45% menjelang akhir tahun 2021 dan 0.95% menjelang Jun 2022, seharusnya dapat mengukuhkan lagi nilai pound. Walau bagaimanapun, mengikut keadaan substandard sekarang, tiada perkara yang mudah, dan rangsangan kewangan yang akan ditamatkan mungkin akan menyebabkan kejatuhan ekonomi British, krisis yang lebih mendalam serta kemerosotan cara hidup penduduk UK. Menurut Pejabat Statistik Kebangsaan, jumlah jualan runcit (tidak termasuk bahan api), menunjukkan penurunan daripada -0.9% kepada -2.5% dari tahun ke tahun untuk tiga bulan berturut-turut, ini mencadangkan ramai orang telah mula menabung.

    Seminggu setengah lalu menunjukkan momentum bullish terhadap pasangan GBP/USD yang bermula pada 30 September telah mula perlahan, dan disebabkan oleh faktor sama yang disenaraikan untuk pasangan EUR/USD, nilai pound mengakhiri seisi dagangan pada paras 1.3685 sebulan kemudian.

    Agak menarik untuk lihat bagaimana pasaran akan memberikan reaksinya terhadap rancangan Rizab Persekutuan AS dan juga Bank of England dalam menamatkan program QE mereka. Namun selamat untuk mengatakan pada hari Rabu dan Khamis nanti, apabila kedua-dua penggubal dasar itu bermesyuarat, ia menjanjikan sesuatu yang menarik, kadar turun naik yang tinggi dijamin akan berlaku. Dalam masa yang sama, 40% penganalisis menjangkakan kemenangan menjadi milik bear, 30% lagi bersama-sama analisis grafik pada D1 menyokong bull, manakala baki 30% pula mengambil pendirian neutral.

    Sebanyak 50% pengayun menunjukkan warna kelabu neutral. Bacaan baki pengayun adalah sama banyaknya: 25% berwarna merah dan 25% lagi berwarna hijau. Untuk indikator trend pada D1, warna merah jelas menunjukkan kelebihan, 80% kesemuanya. Sokongan berada pada paras 1.3765, 1.3675, 1.3600, 1.3575, 1.3525 dan 1.3400. Rintangan dan juga sasaran bull berada pada paras 1.3725, 3770, 1.3810, 1.3835, 1.3900 dan 1.4000.

USD/JPY: Yen Memiliki Laluannya Sendiri

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 01 - 05 November, 20211

  • Carta sepanjang dua minggu setengah yang lalu menunjukkan momentum pertumbuhan USD/JPY juga telah mula perlahan. Jika dalam kes GBP/USD, nilai dolar menyusut berbanding pound sejak akhir bulan September, namun sebaliknya penyusutan itu telah mengukuhkan yen.

    Mata wang Jepun itu adalah mata wang selamat bagi para pelabur. Penyusutan nilai yang berlaku baru-baru ini secara logiknya sesuai dengan hubung kait songsang antara kadar yen dan juga pertambahan selera risiko di pasaran. Satu lagi perkara yang boleh ditambah sebagai pencetus penyusutan nilai yen adalah peralihan imbangan dagangan Jepun terhadap import akibat lonjakan harga bahan api dan juga logam. Sudah pastinya, hasil bon Perbendaharaan AS yang menjadi faktor penting dalam mempengaruhi sebut harga USD/JPY seharusnya tidak dilupakan. Walau bagaimanapun, ia juga berkait rapat dengan keengganan pasaran terhadap risiko.

    Pasangan USD/JPY memperbaharui rekod tertinggi empat tahun pada 20 Oktober dengan mencecah kedudukan 114.70, paras sama yang dicapai pada November 2017. Setelah itu, semangat bull mula berkurangan, dan paras pasangan ini turun, mengakhiri minggu pada 113.95.

    Pada tahap ini, 70% penganalisis menjangkakan pasangan ini akan kembali berada di sekitar 113.00, dan kemudian turun ke zon di antara 111.00-112.00 menjelang akhir November. Baki lagi 30% penganalisis berpendapat sebaliknya, menjangkakan paras tertinggi yang baru akan direkodkan dan lonjakan pasangan ini di antara paras 115.00-116.00.

    Rintangan berada pada paras 114.35, 114.70 dan 115.50, sasaran jangka panjang bull adalah paras tertinggi pada Disember 2016 iaitu 118.65. Sokongan paling hampir berada pada paras 113.85, 113.40 dan 113.25, kemudian 112.00 dan selepas itu 111.65.

    Untuk peristiwa minggu hadapan, laporan mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 2 November perlu diberi perhatian. Namun, pasaran mungkin akan tenang dalam memberikan reaksi mereka. Terutama sekali kerana mesyuarat itu akan diadakan sehari sebelum berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan menjadi fokus para pelabur dan juga spekulasi.

MATA WANG KRIPTO: Ethereum Mencecah Nilai Tinggi yang Baru

  • Nilai tertinggi bitcoin yang pernah direkodkan pada 20 Oktober lalu iaitu $66,925 masih belum dapat diatasi lagi. Proses pembetulan yang berlaku selepas itu telah menyebabkan pertarungan sengit antara bull dan bear. Ternyata kedua-duanya agak sama kuat. Hasilnya, setelah bergerak dalam julat antara $57,590 - 63,645, pasangan ini kembali berada di sekitar $62,000 pada hari Jumaat, 29 Oktober, paras ia bermula tujuh hari sebelum itu. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto juga tidak berubah iaitu $2.6 trilion, tetapi penguasaan bitcoin sedikit menurun: indeks dominasinya turun daripada 45.95% kepada 44.15%. Hal ini disebabkan oleh aliran modal ke dalam altcoin, terutama sekali ethereum yang mengalami pertambahan daripada 18.72% kepada 19.61% sepanjang minggu. Indeks Fear & Greed Kripto masih berada di zon Greed pada bacaan 70 mata (75 minggu lalu).

    Kebanyakan penganalisis percaya trend pertumbuhan pasangan BTC/USD akan terus berlaku. Statistik menyokong pendapat ini. Menurut Glassnode, coin terus mengalir keluar dari bursa. Kadar hash rangkaian bitcoin hampir pulih setelah penghasilannya diharamkan di China dan mengakibatkan penurunan sebanyak 50%. Dalam masa yang sama, bekalan bitcoin agak rendah: penghasil serta pelabur mengekalkan rizab mereka dan mengharapkan nilainya akan terus naik.

    Latar belakang makroekonomi juga agak meyakinkan. Bursa Saham New York terus menyenaraikan ETF berkaitan dengan bitcoin. Memang benar, terdapat maklumat yang mengatakan pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) mungkin akan menolak permohonan Valkrie untuk menyenaraikan ETF berleveraj. Selain daripada permohonan untuk melancarkan ETF ke atas niaga hadapan bitcoin, terdapat juga 40 permohonan yang kini sedang dalam pertimbangan pihak SEC tidak akan mendapat kelulusan. Namun bagi permohonan yang akan diluluskan pastinya memiliki aliran masuk modal yang kukuh dalam sektor ini dari para pelabur yang mahu menyelamatkan dana mereka daripada inflasi.

    Satu berita baik untuk BTC adalah Mastercard, syarikat gergasi sistem bayaran tidak lama lagi akan mengumumkan sokongan rangkaian mereka terhadap mata wang kripto. Ini termasuklah walet bitcoin, kad debit dan kredit, program kesetiaan di mana mata yang dimiliki boleh ditukar menjadi aset digital.

    Walmart Inc., sebuah syarikat Amerika yang mengendalikan rangkaian pasar runcit dan borong terbesar di dunia juga telah beralih ke mata wang kripto utama itu dan melancarkan program rintis bagi penjualan bitcoin di cawangan-cawangan yang dimilikinya.

    Pedagang dan juga penganalisis kripto yang dikenali sebagai Altcoin Sherpa berasa amat yakin nilai bitcoin tidak akan berada di bawah paras sokongan kukuhnya iaitu $54,000, nilainya itu akan naik semula dan memperbaharui kadar paling tinggi dalam sejarah pada bulan November nanti, dan mencecah $80,000.

    Seorang lagi penganalisis terkenal, PlanB juga turut menjangkakan pertumbuhan harga bitcoin yang berbentuk parabolik. Sebelum itu, PlanB adalah pencipta model Stock-to-Flow (S2F) yang membuat ramalan harga mata wang kripto unggul itu dan meramalkan dengan tepat harga BTC pada bulan Ogos dan juga September. Jika bitcoin terus mengikuti arah model ini, nilainya akan mencecah $98,000 pada bulan November dan $135,000 pada bulan Disember. “Jadi, Krismas pada tahun ini akan disambut dengan meriah,” jelas PlanB. Dalam masa yang sama, penganalisis percaya bahawa mata wang kripto mungkin tidak akan mampu untuk mengelak daripada melalui satu lagi proses pembetulan besar yang sering mengikuti setiap kitaran kejayaan besar bull.

    Seorang lagi penganalisis kripto dan juga pedagang popular iaitu Lark Davis menjangkakan “bitcoin dan mata wang kripto mungkin memberi kejutan gila-gila pada enam bulan selepas ini! Anda semua berpeluang untuk mengubah takdir kewangan anda sepenuhnya,” menurut ciapan yang beliau tuliskan.

    Dalam situasi ini Davis tidak menasihati para pelabur agar terbawa-bawa dengan altcoin dan juga NFT berspekulasi, tetapi untuk melabur dalam coin yang sudah terbukti. “Biar coin yang untung menang, gandakan posisi anda dan tinggalkan coin yang rugi. Lakukan tanpa belas kasihan, tiada gunanya menyimpan aset yang meragukan,” coret Lark Davis. Beliau berpendapat, nilai BTC mampu menambah modal pelabur sehingga 20 kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang, tetapi altcoin tertentu lebih awal lagi mampu memberi pulangan yang hampir sama. “Altcoin diguna untuk menjana untung, BTC pula untuk simpanan,” jelas penganalisis itu.

    Altcoin utama seperti mendengar kata-kata Lark Davis. Sementara nilai bitcoin berlegar-legar di sekitar $60,000-61,000, ethereum memperbaharui nilai tertingginya, mencecah $4,447 pada 29 Oktober. Nilai sebelum ini adalah $4,360 yang direkodkan pada Mei lalu.

    Pasangan ETH/USD melonjak untuk lima minggu berturut-turut, pertambahan nilai lebih daripada 65% sejak 21 September lalu. Sebab kepada pertumbuhan ini adalah proses pembakaran coin yang mengeluarkan token ETH daripada diedarkan. Satu lagi faktor yang menolak nilai altcoin ke atas adalah berita kejayaan kemas kini Ethereum 2.0 Altair untuk Beacon Chain yang membawa kita semakin dekat dengan detik-detik pelancaran penuh.

    Satu lagi berita yang bukan saja menarik untuk mereka yang berfikir tentang masa hadapan sendiri, tetapi juga masa depan anak-anak dan orang yang tersayang. Syarikat insuran Rusia iaitu Renaissance Life dan juga InDeFi SmarBank telah memulakan kerjasama untuk membangunkan kontrak pintar bagi membantu pewarisan aset digital. Dengan perkembangan pasaran mata wang kripto, masalah pewarisan harta seperti itu sudah menjadi agak sukar. Sejak mata wang kripto melalui proses disentralisasi, dan jika pemiliknya meninggal dunia, waris tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan harta si mati tanpa akses kepada walet mata wang kripto mereka. Kontrak pintar yang sedang dibangunkan ini seharusnya akan menyelesaikan masalah tersebut dengan membolehkan para pelanggan memindahkan aset digital mereka kepada waris yang ditetapkan jika mereka mati.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami