April 17, 2022

EUR/USD: Pendirian Berbeza Rizab Persekutuan dan ECB

  • Nilai dolar terus kukuh, manakala kedudukan pasangan EUR/USD turun ke bawah. Paras terendah mingguan direkodkan pada 1.0757 selepas pihak ECB bermesyuarat pada hari Khamis, 14 April. Setelah mengalami pembetulan, kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.0808.

    Kami telah berikan tiga sebab kepada pertumbuhan nilai mata wang AS dalam ulasan sebelum ini. Pertama sekali adalah perbezaan polisi kewangan antara pihak Rizab Persekutuan dan juga ECB. Kini, kemungkinannya adalah lebih tinggi untuk bank Negara AS mengetatkan lagi kedudukan mereka setelah melihat data terkini kadar inflasi di Amerika Syarikat: indeks harga pengguna melebihi paras tertinggi dalam tempoh empat puluh tahun dan mencecah 8.5%. Lonjakan kadar inflasi seperti itu mungkin akan memaksa penggubal dasar untuk bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh dan menyemak semula rancangan mereka untuk menaikkan kadar utama serta mengurangkan penyata imbangan pada bulan Mei.

    Dalam temubual bersama Bloomberg, presiden Rizab Persekutuan New York iaitu John Williams yang juga naib pengerusi FOMC (Federal Open Market Committee) berkata tidak pelik jika pihak Rizab Persekutuan mengembalikan kadar faedah mereka ke paras neutral secepat mungkin, kadar yang tidak merangsang inflasi, tidak menghalang pertumbuhan ekonomi, dan berada di antara 2% dan 2.5%. Justeru, kenaikan sebanyak 0.5% dalam kos pinjaman persekutuan dalam mesyuarat FOMC untuk bulan Mei dilihat agak realistik.

    Bertentangan dengan pendirian hawkish Rizab Persekutuan, rakan sejawat mereka di Kesatuan Eropah terus bersikap sangat dovish. Pihak ECB tidak mengubah kadar faedah mereka dan mengekalkannya pada 0% semasa bermesyuarat pada 14 April, dan hakikatnya, ia sudah dijangka. Tambahan lagi, wakil daripada Bank sudah pun menyatakan sebelum itu bahawa kenaikan kos pinjaman dalam konteks ketaktentuan berterusan ekonomi akan lebih memburukkan keadaan berbanding memulihkannya.

    Ketua penggubal dasarnya, Christine Lagarde mengesahkan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu bahawa ECB bertindak lebih perlahan berbanding Rizab Persekutuan, dan Eurozone akan menerima tamparan hebat kesan daripada serangan ketenteraan di Ukraine. Menurut Cik Lagarde, ekonomi di Amerika dan di Eropah saling tidak menyerupai seperti buah epal dan oren. Kiasan seperti itu memberi tanggapan hebat kepada pasaran, dan mengakibatkan penyusutan kadar pasangan EUR/USD ke zon paling rendah dalam tempoh dua tahun.

    Benar, situasi ekonomi semasa di sekitar eropah tidak menggambarkan sifat optimis, dan menurut kebanyakan penganalisis, ia akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan. Indeks sentimen ekonomi di Jerman yang dikeluarkan pada minggu lalu susut ke paras paling rendah berbilang bulan yang baru: negatif 41.0 (negatif 39.3 sebulan lalu). Indeks keadaan ekonomi semasa bagi penggerak ekonomi Kesatuan Eropah ini juga susut kepada negatif 30.8 pada bulan April (negatif 21.4 pada bulan Mac). Berlatarbelakangkan perkara ini, unjuran bagi pertumbuhan kadar KDNK di Jerman diturunkan daripada 4.5% kepada 2.7%.

    Malah situasi itu mungkin akan menjadi lebih rumit lagi kerana pengumuman Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah iaitu Ursula von der Leyen serta ketua diplomasi EU iaitu Josep Borrell yang ingin menyertakan sekatan eksport hidrokarbon dari Rusia dalam pakej sekatan anti Rusia yang baru. Justeru, risiko berlakunya stagflasi di Eropah terus berada pada tahap yang agak tinggi.

    Kami berikan satu lagi sebab yang memberi tekanan kepada mata wang euro dalam ulasan sebelum ini - pilihanraya presiden di Perancis. Pusingan pertama telah diadakan pada hari Ahad, 10 April. Setakat ini, penyandang jawatan presiden iaitu Presiden Emmanuel Macron mendahuluinya dengan 27.85% undian. Marine Le Pen, ketua sayap kanan Parti RN meraih 23.15%. Jurangnya tidak begitu besar dan masih terdapat kemungkinan pihak pembangkang mungkin akan memenangi pusingan kedua yang diadakan pada 24 April nanti. Marine Le Pen adalah seorang yang bersifat Eurosceptic. Sila maklum bahawa beliau hampir mencadangkan perpisahan negaranya daripada Eurozone pada tahun 2017. Menurut sebilangan penganalisis, jika wanita itu memegang tampuk pimpinan, kedudukan pasangan EUR/USD mungkin akan turun ke paras 1.0500, atau lebih rendah.

    Terdapat satu lagi faktor yang menolak pasangan ini ke bawah, iaitu kurangnya selera risiko di peringkat global. Kadar indeks saham S&P500 susut untuk tiga minggu berturut-turut, manakala permintaan aset selamat seperti dolar dan bon Perbendaharaan AS sebaliknya pula mengalami pertumbuhan.

    Buat masa ini, 50% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan lebih kukuh nilai dolar. Pendapat bertentangan dikongsikan oleh 40% lagi penganalisis dan baki 10% pula mengambil pendirian neutral. Semua indikator trend dan pengayun pada D1 adalah berwarna merah, walaupun 15% daripada pengayun sudah menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan.

    Sokongan paling hampir berada pada paras 1.0800. Sasaran terdekat untuk bear EUR/USD adalah paras terendah pada 14 April iaitu 1.0757. Jika berjaya menembusi paras sokongan ini, mereka seterusnya akan mensasarkan paras terendah tahun 2020 iaitu 1.0635 dan paras terendah tahun 2016 iaitu 1.0325. Bull akan cuba untuk menolak pasangan ini ke atas melebihi paras 1.1100, dan jika boleh, untuk mencecah zon 1.1050. Namun untuk mencapainya, ia perlu terlebih dahulu menembusi rintangan pada paras 1.0840 dan 1.0900-1.0930.

    Kalendar ekonomi untuk minggu hadapan termasuklah ucapan oleh ketua Rizab Persekutuan dan juga ECB iaitu Jerome Powell dan Christine Lagarde pada hari Khamis, 21 April. Data pengangguran dan juga aktiviti pembuatan di AS turut diketahui pada hari yang sama. Untuk indikator bagi aktiviti perniagaan di Jerman dan Eurozone secara keseluruhannya, ia akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 22 April.

GBP/USD: Bertarung untuk 1.3000

  • Dalam ramalan sebelum ini, kebanyakan penganalisis (55%) menyokong pembetulan ke atas pasangan GBP/USD dan ternyata telaan mereka tepat. Kejayaan dilihat seperti menjadi milik bear pada permulaan minggu: mereka berjaya melepasi paras sokongan di zon 1.3000 dan menurunkan kedudukan pasangan ini ke paras 1.2972.

    Jika diingat paras 1.3000 adalah paras sokongan/rintangan penting bukan saja kerana ia menjadi paras terendah pada 15 Mac, malah juga paras terendah sepanjang tahun 2021-2022. Bull berjaya mengambil semula kedudukan pada hari Rabu, 13 April, menembusi paras rintangan, mencecah ketinggian 1.3147 dan mengakhiri minggu juga di atas paras tersebut, di sekitar 1.3060.

    Mata wang pound mendapat sokongan daripada taktik Bank of England dalam persaingan menaikkan kadar faedah yang mungkin memberi kejayaan berbanding pihak Rizab Persekutuan. Kadar inflasi di UK naik daripada 6.2% kepada 7.0%. Bank of England menjangkakan kadarnya itu menjadi lebih tinggi untuk bulan April, melonjak kepada 7.2%. Namun, beberapa buah bank tidak bersetuju dengan pendapat penggubal dasar itu, mereka percaya kadar inflasi tidak akan terhenti di situ, mencecah 9.0% dalam bulan April, dan terus mengalami pertumbuhan. Justeru, Bank of England harus berbuat sesuatu. “Sesuatu” yang dimaksudkan sudah tentulah kenaikan kadar faedah sekali lagi. Prospek berkenaan perkara inilah yang mendorong kepada pertumbuhan nilai mata wang British tersebut.

    Kita boleh jangkakan pertarungan pada paras 1.3000 akan terus berlaku pada minggu hadapan. Jika kejayaan berpihak kepada bear, mereka akan cuba untuk memperbaharui paras terendah 13 April iaitu 1.2972 lalu membuka jalan ke paras terendah November 2020 di sekitar 1.2850, dan kemudian paras terendah September 2020 di zon 1.2700. Paras sokongan paling hampir adalah 1.3050. 30% penganalisis bersetuju kejayaan menjadi milik bear, manakala majoriti (70%) berpihak kepada bull. Rintangan berada pada paras 1.3100, 1.3150 dan zon di antara 1.3190-1.3215, kemudian 1.3270-1.3325 serta 1.3400. Dalam kalangan indikator pada D1, warna merah jelas memiliki kelebihan. Dalam kalangan pengayun, 75% adalah berwarna merah, 15% lagi berwarna hijau dan baki 10% pula berwarna kelabu neutral. 100% indikator trend berwarna merah.

    Bagi perkara yang berkait dengan ekonomi di United Kingdom, kami ingin tumpukan kepada ucapan Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada 21 dan 22 April. Data aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di UK juga akan diketahui pada hari Jumaat, 22 April.

USD/JPY: Adakah Kita Menjangkakan Anti Rekod yang Baru daripada Yen?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 18 - 22 April, 20221

  • Nampaknya tiada apa yang dapat menghalang nilai yen daripada menyusut dan pasangan USD/JPY daripada bertumbuh. Mata wang Jepun itu telah mencipta anti rekod demi anti rekod, dan pasangan ini sekali lagi merekodkan ketinggian yang baru pada paras 126.67. Kali terakhir kadarnya naik setinggi itu adalah pada 1 Mei, 2002, iaitu 20 tahun yang lalu.

    Kami sedar majoriti penduduk Jepun menentang nilai yen yang lemah pada ulasan sebelum ini. Namun, walaupun itulah hakikatnya, Bank of Japan masih lagi enggan menaikkan kadar faedah utama dan mengetatkan polisi kewangan mereka. Penggubal dasar  berkenaan percaya mengekalkan aktiviti ekonomi adalah lebih penting daripada memerangi inflasi. Pendirian yang berbeza daripada polisi kewangan Rizab Persekutuan AS ini telah menolak USD/JPY jauh ke atas.

    Pasangan ini ditutup pada paras 126.37 apabila sesi dagangan berakhir. 45% penganalisis bersetuju dengan trend ke atas ini akan kekal pada minggu hadapan. Lebih sedikit, iaitu 55% teringat kepada pembetulan yang kuat ke bawah setelah lonjakan sama yang berlaku pada hujung Mac, dan menjangkakan perkara tersebut akan berulang. Harus sedia maklum bahawa apabila beralih kepada ramalan untuk bulan Mei-Jun, jumlah penyokong nilai dolar yang kukuh naik kepada 80%. Kami sudah pun memetik pakar strategi Rabobank yang percaya lonjakan pantas USD/JPY di atas paras 125.00 akan meningkatkan kadar kebarangkalian penggubal dasar Jepun untuk menyemak semula program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Lonjakan ini telah berlaku pada minggu lepas.

    Sebulat suara berjaya dicapai dalam kalangan indikator pada D1: 100% indikator trend dan 100% pengayun menunjukkan pertumbuhan, walaupun 35% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Tidak disangkal lagi, sokongan utama untuk minggu depan akan berada pada paras 126.00 dan 125.00. Mengambil kira ketinggian kadar kecairan pasangan ini, bolehlah kami berikan zon di antara 123.65-124.05, 122.35-123.00 dan 120.60-121.30 kemudiannya. Bagi bull pula, mereka akan cuba untuk memperbaharui paras tertinggi 15 April lalu, naik dan berada di atas paras 127.00. Dengan memfokuskan pada paras 20 tahun yang lalu, cubaan untuk menetapkan sasaran berikutnya adalah seperti menilik nasib.

    Tiada sebarang statistik penting berkenaan keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: 12 April: Penerbangan ke Angkasa. Tapi Bukan bitcoin.

  • Agak mustahil untuk mengatakan pasaran kripto mengalami kejayaan pada dua minggu pertama bulan April. Jika bitcoin masih lagi cuba untuk melepasi paras 200 hari SMA dua minggu lalu, pada 4 April, jadi bull telah menyerah kalah sepenuhnya pada 12 April setelah merekodkan paras terendah mingguan pada nilai $39,210. Ketahuilah bahawa Hari Kosmonautik disambut pada hari itu: Yuri Gagarin pergi ke angkasa lepas dan mengelilingi bumi pada 12 April, 1961 buat kali pertamanya. Pasangan BTC/USD gagal untuk naik setinggi itu. Sebaliknya, kita melihat penurunannya.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 15 April, pasangan ini didagangkan di sekitar paras $40,440. Jumlah keseluruhan modal pasarannya sedikit susut dan masih lagi berada di bawah paras psikologi penting $2 trilion, pada paras $1,880 trilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto juga tidak berada di zon sebelum ini: ia turun daripada 37 kepada 22 mata dan kembali ke zon Extreme Fear.

    Kami nyatakan sebelum ini bahawa bitcoin sudah menjadi sebahagian daripada ekonomi global dan kini menunjukkan hubung kait yang kuat dengan indeks saham. Justeru, carta sebut harganya sangatlah sepadan terutama sekali dengan carta indeks S&P500. Menurut Arcana Research, setakat Mac 2022, pekali bagi korelasi antara BTC dan S&P500 adalah 0.497. Kenaikan dan penurunan mata wang kripto utama tersebut mengikuti pasaran saham. Oleh itu, pertumbuhan dan penyusutannya bergantung kepada tindakan yang diambil oleh pihak Rizab Persekutuan AS. Tiada lagi persoalan mengenai bitcoin yang tidak bergantung pada apa-apa.

    Seperti yang sudah kami nyatakan, trend pengumpulan emas digital ini jelas dapat dilihat sejak kebelakangan ini. Jumlah pengumpulan yang mula melebihi kadar pengeluaran telah banyak kali berlaku. Menurut Glassnode, kadar aliran keluar coin dari platform bersepadu telah bertambah kepada 96,200 BTC setiap bulan, sesuatu yang sangat jarang berlaku sebelum ini dalam sejarahnya. Selain daripada “jerung”, pelabur yang digelar sebagai “bilis” (merujuk kepada pemilikan kurang daripada 1 BTC) juga turut menyumbang kepada pengumpulan tersebut. Jadi mengapa sentimen memeram tidak mendorong kepada kenaikan harganya?

    Jawapannya mudah: tiada pelabur baru. Sama ada pelabur-pelabur lama ini mula berubah menjadi pelabur coin jangka panjang, atau mereka menjualnya. Kira-kira $439 juta dalam bentuk posisi kripto telah dicairkan pada 12 April sahaja, menurut Coinglass. Dalam masa yang sama, lebih daripada 88% daripada order yang ditutup adalah posisi long. Kontrak hadapan bitcoin dengan nilai $160 juta juga telah ditutup. Namun tiada pelaburan baru yang besar mengalir masuk ke dalam sektor kripto.

    Para pelabur telah hilang selera dengan aset berisiko sejak akhir Mac lalu, indeks dolar DXY dan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS sering mencatatkan jumlah tinggi yang baru. Disebabkan oleh pertambahan kadar inflasi yang mencecah 8.5% pada bulan Mac di AS, pasaran menunggu Bank Pusat AS untuk menaikkan lagi kadar faedah mereka pada mesyuarat bulan Mei, bukan sebanyak 0.25% tetapi terus kepada 0.5%. Inilah sebabnya mengapa faedah daripada aset berisiko tinggi mengalir masuk ke dalam instrumen yang lebih konservatif.

    Menurut penganalisis Bloomberg, nilai mata wang kripto terkenal itu mungkin akan susut kepada $26,000 tidak lama lagi. Para penganalisis menekankan bahawa jika analisis teknikal yang digelar sebagai “bear flag” itu tepat, maka senario yang dinyatakan tadi tidak akan dapat dielakkan lagi. Pada pendapat mereka, kadar BTC sekarang sedang berada dalam landasan untuk menguji paras sokongan utama di sekitar $37,500. Jika ia tidak dapat bertahan di atas paras tersebut, bencana akan melanda pasaran.

    Ramalan yang disuarakan oleh penganalisis Jeffrey Halley dilihat agak optimis sedikit. Beliau percaya bahawa mata wang kripto terunggul itu akan terus didagangkan dalam julat sedia ada, dan $36,500 menjadi nilai had bawahnya. Jika nilai BTC turun lebih rendah, ia boleh mengakibatkan kerugian teruk kepada para pedagang dan pelabur. Walau bagaimanapun, jika nilai bitcoin naik melebihi had atas bagi julat $47,500 dalam masa terdekat nanti, ia akan menjadi prasyarat sebelum mencecah paras tertinggi dalam rekod yang baru.

    Terdapat juga orang berpengaruh yang langsung tidak risau atau bimbang dengan keadaan pasaran sekarang. Mereka ini termasuklah Michael Saylor, CEO Microstrategy, syarikat yang terkenal kerana pelaburan mereka dalam bitcoin, serta Cathie Wood, ketua syarikat pelaburan Arch Invest yang masih percaya pada bitcoin dan menunggu pertumbuhannya.

    Saylor dan Wood berucap pada persidangan Bitcoin 2022 yang diadakan di Miami dan mereka menyimpulkan bahawa polisi kewangan Rizab Persekutuan akan terus mengakibatkan inflasi, menolak lagi harga pengguna ke atas. Menurut Cathie Wood, dalam situasi seperti ini, bitcoin yang dijadikan sebagai pelindung nilai berpotensi besar untuk mengalami pertumbuhan dan nilainya mampu mencecah rekod baru $1 juta bagi setiap coin. “Sedikit usaha perlu diambil untuk menjayakannya,” ketua Arch Invest itu berkata. “Tidak banyak mana pun. Apa yang diperlukan hanyalah menukar 2.5% daripada semua aset ke dalam bitcoin.”

    Penulis dan pelabur terkenal iaitu Robert Kiyosaki juga mempunyai pendapat yang sama, beliau percaya bahawa mata wang dolar AS dan lain-lain pasaran sedang berada di ambang keruntuhan akibat kenaikan harga makanan, minyak dan sumber tenaga, serta kadar inflasi yang tinggi. Penulis buku paling laris Rich Dad Poor Dad itu memberi jaminan apa yang berlaku dalam dunia kewangan sekarang ini adalah petanda bagi krisis yang bakal tiba, dan krisis tersebut akan menghapuskan separuh daripada populasi di AS. Beliau sedar dalam situasi ini mata wang kripto menjadi sebuah alat terbaik untuk mengurangkan risiko, tetapi tidak semua orang akan menggunakan aset daripada kelas ini sebagai jalan keluar. Kiyosaki menekankan 40% daripada penduduk Amerika sekarang ini tidak memiliki $1,000 pun dalam simpanan mereka. Kadar inflasi semakin naik, jumlah ini akan mencecah 50% tidak lama lagi. Menurut pelabur itu, revolusi akan bermula selepas itu.

    Pelabur Morningstar telah menerbitkan satu laporan yang mendakwa mata wang kripto adalah tidak setanding dengan pasaran bon dan saham dari segi pulangan. Dalam masa yang sama, mereka maklum dengan hakikat bahawa bitcoin “masih terlalu berisiko berbanding emas.” Penulis laporan itu mendakwa walaupun terdapat prospek untuk para pelabur menerima untung yang besar dari pasaran mata wang kripto, namun mereka perlu berhati-hati. “Setiap lonjakan ke paras paling tinggi yang berjaya dicapai, kejatuhan yang tidak kurang hebatnya juga berlaku akhirnya,” jelas penganalisis Morningstar.

    Agak sukar untuk memberikan hujah sama ada spekulasi atau melabur dalam aset digital adalah sesuatu yang berisiko. Namun, seperti perkara lain, perniagaan ini juga memiliki sesuatu yang membolehkan anda menerima faedah sampingan. Perkara-perkara inilah yang sering kami bincangkan dalam bahagian petua hidup kripto kami. Kali ini berkenaan tenaga haba dan seorang lelaki bernama Jonathan Yuan, bapa kepada anak-anak yang suka berada di dalam kolam renang. Namun, mereka hampir tidak menggemarinya kerana suhu air yang terlalu sejuk.

    Yuan sendiri terlibat secara aktif dalam penghasilan coin dan perhatiannya tertumpu dengan hakikat bahawa peralatannya menjana terlalu banyak haba. Beliau membeli sistem penukar haba dan memasangnya untuk menghangatkan air. Menurut beliau, disebabkan oleh ciptaannya itu, suhu air dalam kolam renangnya dapat dikekalkan pada 32°C, dan ladang kripto beliau pula menerima sistem penyejukan air. Jonathan maklum bahawa hampir semua benda boleh dihangatkan dengan menggunakan prinsip tersebut: rumah, garaj, dan lain-lain lagi. Suhu pemanasan maksimum dijangka boleh mencecah sehingga 60°C.

    Namun, terdapat nuansa lain di sini. Apabila beliau menggunakan sepenuhnya penghasil ASIC miliknya itu, suhu air dalam kolam renang naik melebihi 43°C. Anak-anak beliau tidak sukakannya dan mereka berhenti berenang semula. Jadi, benarlah kata-kata Hippocrates, “bapa” perubatan Yunani, “dos kecil memberi kebaikan”.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami