April 30, 2022

EUR/USD: Euro Mencapai Paras Terendah Sepanjang Lima Tahun, Kini Menunggu Mesyuarat Rizab Persekutuan (FOMC)

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 02 - 06, Mei 20221

  • Indeks DXY yang menjadi pengukur nilai mata wang dolar AS dengan kelompok enam mata wang utama lain telah memperbaharui paras tertingginya selama 20 tahun pada hari Khamis, 28 April. Punca kepada pertumbuhan ini masih lagi sama, dan kami telah berulang kali menyatakannya: pihak Rizab Persekutuan lebih awal untuk mula mengetatkan polisi kewangan mereka berbanding bank-bank pusat yang lain. Pihak FOMC (Federal Open Market Committee) dijangka akan menaikkan kadar faedah mereka mungkin sebanyak 0.5% pada mesyuarat yang seterusnya pada 5 Mei nanti. Itu adalah kenaikan minimum. Sebagai contoh, James Bullard, ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis tidak menolak kadar itu mungkin akan terus dinaikkan sebanyak 0.75%.

    Para penggubal dasar negara lain agak lambat bertindak (atau langsung tidak mengambil apa-apa tindakan) walaupun dengan langkah hawkish yang diambil pihak Rizab Persekutuan AS. Kadar pemulihan ekonomi mereka akibat krisis yang berpunca daripada pandemik COVID-19 agak terbantut sedikit, dan perkara ini menghalang bank pusat di setiap negara itu daripada mula menamatkan program rangsangan kewangan (QE) mereka serta menaikkan kos pinjaman.

    Sudah pasti, perkara ini turut berlaku di Kesatuan Eropah yang juga terkesan dengan kemerosotan ekonomi akibat sekatan yang dikenakan kepada Rusia sebagai tindak balas serangan ketenteraan mereka di Ukraine. Jika diingat kadar kebergantungan negara-negara EU terhadap sumber tenaga di Rusia adalah sangat tinggi.

    Berdasarkan keadaan ini, nilai dolar terus menolak mata wang Eropah ke bawah, dan pasangan EUR/USD memperbaharui kedudukan terendahnya selama lima tahun, turun ke paras 1.0470 pada 28 April. Justeru, jumlah kerugian yang dialami mata wang Eropah telah melebihi 700 mata dalam bulan April saja. Sedikit perubahan arah pergerakan berlaku pada penghujung lihat hari dagangan dan kedudukan terakhir pasangan ini berada pada paras 1.0545.

    Paras 1.0500 memainkan peranannya sebagai paras sokongan, ia mungkin mendorong kepada penyusutan posisi short, dan akibatnya, berlakulah pembetulan ke arah atas yang agak kuat. Jika perkara ini tidak berlaku, maka sasaran bear yang seterusnya adalah paras terendah tahun 2016 iaitu 1.0325. Berkemungkinan kita akan dapat lihat kesetaraan nilai 1:1 antara mata wang Euro dan dolar tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada apa yang berlaku dengan kadar faedah pada mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan berlangsung pada 4 Mei nanti, serta komen pihak pengurusan penggubal dasar tersebut pada sidang akhbar selepas itu.

    Semasa ulasan ini dibuat, perbezaan pendapat para penganalisis adalah hampir sama. 35% berasa yakin nilai dolar akan terus mengukuh, 30% lagi berpendapat sebaliknya, manakala baki 35% pula mengambil pendirian tunggu dan lihat. Tidak mengejutkan, dengan melihat dinamik pergerakan pasangan itu yang seperti ini, 100% indikator trend serta pengayun pada D1 adalah berwarna merah, walaupun 25% daripada pengayun sudah menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.0500, diikuti dengan paras terendah 28 April lalu iaitu 1.0470, dan sasaran bear untuk EUR/USD yang berikutnya adalah seperti di atas tadi. Zon rintangan paling hampir adalah antara 1.0550-1.0600, 1.0750-1.0800, 1.0830-1.0860, 1.0900-1.0935 dan 1.1000.

    Untuk minggu hadapan, selain daripada perkara yang ditunggu-tunggu iaitu mesyuarat Rizab Persekutuan, kalendar ekonomi yang ada termasuklah data jualan runcit di Jerman serta data aktiviti perniagaan (ISM) bagi sektor pembuatan di AS yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 2 Mei. Presiden ECB iaitu Christine Lagarde dijangka akan berucap pada keesokan harinya. Kita akan dapat ketahui jumlah jualan runcit di Kesatuan Eropah secara keseluruhannya pada hari Rabu, 4 Mei. Laporan ADP bagi tenaga buruh dalam sektor swasta di AS juga akan dikeluarkan pada hari yang sama. Sebahagian lagi data daripada pasaran buruh di AS akan diketahui pada hari Jumaat, ini termasuklah indikator penting seperti bilangan tenaga kerja baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP).

GBP/USD: Pound Memperbaharui Paras Terendah Selama Dua Tahun, Kini Menunggu Mesyuarat Bank of England

  • Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa bull telah kalah dalam pertempuran untuk menakluk paras 1.3000. Menjawab persoalan sama ada akan berlakunya serangan balas, majoriti (65%) penganalisis mengatakan tidak, tiada serangan balas, dan nilai pound akan terus menyusut. Ternyata ramalan ini adalah tepat, walaupun terdapat isyarat lebihan jualan, pasangan GBP/USD mencecah paras 1.2410 iaitu paras terendah mingguannya pada hari Khamis, 28 April. Kali terakhir ia menduduki paras ini adalah pada bulan Jun 2020. Untuk kedudukan terakhir minggu lalu, ia berada di zon 1.2575.

    Bukan saja mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan berlangsung pada minggu hadapan, malah Bank of England juga akan bermesyuarat. Mengikut ramalan, penggubal dasar di United Kingdom itu mungkin akan menaikkan kadar faedah mereka daripada 0.75% kepada 1.0%. Namun, disebabkan mesyuarat itu hanya akan diadakan pada 5 Mei, sehari selepas Rizab Persekutuan bermesyuarat, masih ada masa lagi untuk sembilan orang ahli MPC (Monetary Policy Committee) dari Bank tersebut untuk mengubah pendirian mereka berdasarkan keputusan yang diambil rakan sejawat antarabangsanya.

    Dalam pada itu, majoriti (70%) penganalisis kekal neutral dalam menantikan kedua-dua mesyuarat. 15% daripada mereka menjangkakan penyusutan lebih rendah nilai pound British, peratusan yang sama menjangkakan pasangan ini mengalami pembetulan ke atas. Warna merah masih lagi benar-benar memiliki kelebihan dalam kalangan indikator pada D1: 100% indikator trend serta pengayun berwarna merah. Sasaran terdekat bear adalah untuk melepasi sokongan pada paras 1.2500, sasaran pasangan ini yang seterusnya adalah turun ke paras 1.2400, 1.2250, 1.2075 dan 1.2000. Bagi bull pula, jika mereka berjaya dalam usaha mereka, paras rintangan yang akan dihadapi berada di zon 1.2600, 1.2700-1.2750, 1.2800-1.2835 dan 1.2975-1.3000.

    Berkenaan pengeluaran statistik ekonomi di United Kingdom, indeks PMI (Purchasing Managers Index) dalam sektor pembuatan akan dikeluarkan pada hari Selasa, 3 Mei. Indeks PMI Komposit serta indeks PMI dalam sektor perkhidmatan akan diumumkan keesokan harinya, sebelum Bank of England bermesyuarat. Penerbitan indeks PMI dalam sektor pembinaan di UK yang akan dibuat pada hari Jumaat, 6 Mei menjadi penutup untuk gambaran aktiviti perniagaan di sana.

USD/JPY: Yen Mencapai Paras Terendah 20 Tahun yang Baru. Apa Lagi yang Perlu Dijangka?

  • Nilai anti rekod yang baru bagi mata wang Jepun adalah sebanyak 131.25 yen untuk setiap dolar. Pasangan USD/JPY mengalami pembetulan ke bawah pada permulaan minggu: sehingga mencecah 126.92. Namun kemuudian, setelah Bank of Japan bermesyuarat, dapatlah kita lihat lonjakan yang baru sebanyak 433 mata. Ia diikuti dengan perubahan arah pergerakan yang kuat sebanyak 190 mata dan berakhir pada paras 129.75.

    Sesetengah penganalisis menjangkakan penggubal dasar di Jepun mungkin akan berundur sedikit daripada meneruskan polisi kewangan mereka yang sangat longggar. Tambahan pula, sebelum  itu, terdapat ramai pegawai-pegawai kerajaan yang sering membangkitkan tentang hakikat bahawa isi rumah di Jepun tidak begitu gembira dengan lonjakan kadar inflasi, dan melihat kepada tindakan yang diambil Rizab Persekutuan AS, mungkin inilah masanya untuk mereka mengubah polisi kewangan mereka. Namun Bank of Japan terus menjadi diri sendiri, membiarkan kadar faedah negatifnya (-0.1%) tidak berubah dan menyatakan kesediaan mereka untuk membeli bon yang diperlukan tanpa mengira had jumlahnya.

    Menurut kebanyakan penganalisis, pihak Bank Negara berkenaan akan terus mengekalkan polisi kewangan yang longgar sepanjang tahun 2022, dan juga akan meneruskan pemberian insentif secara besar-besaran, mungkin sekurang-kurangnya sehingga tahun 2023.

    Nilai yen terus mendapat tekanan akibat pertambahan hasil bon Perbendaharaan AS selama 10 tahun yang naik sebanyak 48 mata asas sehingga 2.83% dalam bulan April saja, melebarkan jurang dengan sekuriti-sekuriti Jepun yang lain. Hasilnya adalah seperti berikut: jika nilai pound susut ke paras terendah sepanjang dua tahun, mata wang Euro - terendah dalam tempoh lima tahun, nilai yen turun ke paras terendahnya sejak dua puluh tahun yang lalu!

    35% penganalisis bersetuju dengan hakikat bahawa bull akan meluru ke kedudukan tertinggi yang baru, 50% lagi mengambil pendirian bertentangan. Baki 15% pula kekal neutral, menunggu mesyuarat Rizab Persekutuan untuk bulan Mei. Dalam kalangan indikator trend dan pengayun pada D1, 100% menunjukkan pertumbuhan, tetapi dalam kalangan pengayun, 15% menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian.

    Sokongan paling hampir berada di antara 129.00-129.40,  diikuti dengan 127.80-128.00, 127.45, zon antara 126.30-126.75 serta paras 126.00 dan 125.00. Rintangan berada pada paras di antara 130.00-130.35 dan 131.00-131.25. Sebarang percubaan untuk menentukan sasaran bull yang seterusnya adalah seperti menilik nasib. Satu perkara yang boleh kita jangkakan ialah pasangan ini akan mensasarkan kedudukan tertinggi pada 1 Januari, 2020 iaitu 135.19. Jika kadar pertumbuhan pasangan ini dikekalkan, ia mampu mencapai sasaran itu seawal bulan Jun.

    Tiada sebarang maklumat penting berkenaan keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini. Para pelabur juga perlu tahu tentang dua hari perayaan yang akan tiba: Jepun menyambut Hari Perlembagaan pada hari, Selasa 3 Mei, dan Hari Hijau pada Rabu, 4 Mei.

MATA WANG KRIPTO: Trend, Ramalan dan Hollywood

  • Nilai bitcoin telah bergerak di sepanjang Pivot Point di sekitar paras $40,000 sepanjang tahun 2022, cuba untuk sama ada naik ke paras $50,000 atau turun ke paras $30,000. Pertarungan antara bull dan bear juga terus berlaku pada minggu lalu. Melihat pada carta pasangan BTC/USD, jelas menunjukkan bahawa bear memiliki kelebihan besar sepanjang lima minggu lalu. Bull, sudah pasti, cuba untuk mengubah nasibnya, tetapi usaha mereka masih belum membuahkan hasil.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 29 April, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto masih lagi berada di bawah paras psikologi pentingnya iaitu $2 trilion: berjumlah $1.752 trilion ($1.850 trilion seminggu sebelumnya). Indeks Fear & Greed Kripto menunjukkan bacaan yang sedikit membimbangkan: bacaannya turun daripada 26 mata kepada 23 mata dan telah kembali menduduki zon Extreme Fear berbanding zon Fear sebelum ini. Pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar paras $38,700.

    Korelasi antara mata wang kripto terunggul itu dengan indeks saham seperti S&P500 dan indeks Komposit Nasdaq masih lagi kukuh. Pembetulan ke atas saham syarikat-syarikat teknologi di AS telah mula berlaku pada akhir tahun lalu, dan kebanyakan saham-saham dalam industri tersebut buat masa ini didagangkan pada kadar 50-70% di bawah nilai tertingginya. Para pelabur yang mengharapkan kenaikan mendadak kadar faedah Rizab Persekutuan mula beralih kepada dolar AS, tidak lagi berminat dengan aset berisiko, dan menyebabkan pasaran saham serta mata wang kripto menerima kesannya. Risiko tinggi untuk berlakunya stagflasi di kebanyakan negara-negara maju, penyebaran wabak coronavirus yang baru di China, konflik ketenteraan antara Rusia dan Ukraine yang semakin menegang, serta lain-lain perkara yang memberi kesan kepada ekonomi global tidak menambah sebarang sikap optimis. Justeru, terdapat banyak kemungkinan nilai bitcoin akan turun kepada $30,000 bagi setiap coin.

    Menurut Tony Weiss, seorang pedagang dan penganalisis, nilai mata wang kripto utama itu telah menembusi paras sokongan, maka tinggi risikonya untuk nilainya jatuh mendadak. Nilai coin ini perlu kekal berada di sekitar $39,500 untuk menghalang daripada perkara itu berlaku.

    Pelabur mata wang kripto dengan nama gelaran Kaleo juga dengan yakin percaya nilai bitcoin masih belum lagi mencapai paras yang boleh dianggap sebagai paling rendah. Beliau berpendapat, mata wang kripto itu sedang bersedia untuk menguji semula paras terendah yang dicapai pada pertengahan tahun 2021. (Jika diingat pasangan BTC/USD mencecah $29,066 iaitu paras terendah mingguannya pada 22 Jun, 2021). Buat masa ini bitcoin sedang berada dalam corak baji yang besar dan menurut Kaleo, corak tersebut akan ditembusi beberapa minggu akan datang, dengan nilai aset berkenaan dijangka akan menyusut kira-kira 28%. Disamping itu, para penganalisis memberi amaran bahawa jika nilainya naik melebihi paras $41,000, keadaannya tidak akan banyak berubah.

    Penganalisis Kevin Swanson telah mencadangkan satu kaedah untuk meramal perubahan arah trend dengan tepat. Menurut beliau, kita perlu memantau jumlah mingguan bitcoin di bursa kripto Coinbase. Indikator ini telah memberi petunjuk harga tertinggi dan terendah bitcoin dengan tepat sejak tahun 2017 kepada Swenson. Swenson maklum bahawa para pelabur perlu melihat pertambahan mendadak jumlahnya setelah pembetulan berlaku untuk benar-benar pasti tentang kedudukan terendahnya: “Terdapat peluang kecil untuk kita melihat jumlah yang banyak apabila kadarnya meningkat. Trend bullish mengambil masa untuk terbentuk. Bull akan bekerja bersama-sama untuk menaikkan harganya, manakala bear kebiasaannya bekerja secara sendiri.”

    Namun, walaupun dengan trend bearish yang berlaku sekarang, tidak semua perkara adalah mengecewakan. Harga bitcoin mungkin akan mencecah $65,185 menjelang akhir tahun 2022. Unjuran ini diberi oleh penganalisis kewangan yang di temubual oleh Finder. Menurut mereka, kos bitcoin akan menjadi sebanyak $179,280 pada 31 Disember, 2025,  dan $420,240 menjelang akhir tahun 2030. Lebih daripada dua pertiga daripada mereka yang disoal selidik percaya bahawa sekaranglah masanya untuk membeli mata wang kripto pertama anda. Hanya 9% saja yang menyuruh untuk menyingkirkan aset.

    87% responden memasukkan ethereum ke dalam senarai mata wang kripto paling efektif. Bitcoin berada di tangga kedua dengan 71%. Separuh daripada penganalisis percaya bahawa lama-kelamaan kedudukan bitcoin sebagai mata wang kripto paling popular akan digantikan dengan blockchain yang lebih canggih, 38% berasa yakin emas digital itu akan mengekalkan kedudukannya.

    Jika diingat ramalan jangka panjang oleh ketua ARK Invest, Katherine Word, dan juga CEO MicroStrategy, Michael Saylor yang menyatakan pendapat bahawa nilai mata wang kripto terunggul itu sudah pastinya akan mencecah $1 juta. Menurut mereka, perkara ini akan dicapai menjelang tahun 2030.

    Nilai $1 juta sama turut disuarakan oleh seorang lagi penganalisis pada minggu lalu, Jasin Pizzino yang menjelaskan keadaan yang bagaimanakah nilai coin akan mencapai paras itu. Untuk menjayakannya, pertama sekali mata wang kripto terunggul itu perlu menyingkirkan kebergantungannya dengan indeks Nasdaq. Jika kebergantungan ini terus berlaku, nilai bitcoin dan ethereum akan hilang. Selain itu, amat penting bagi bitcoin untuk berhenti daripada dikaitkan dengan blockchain. Mata wang kripto ini perlu lebih menjadi seperti emas dan bukannya sebahagian daripada sektor teknologi untuk menjadi aset rizab bertaraf global.

    Pizzino menekankan bahawa pertumbuhan sebanyak 25 kali ganda nilai mata wang kripto terunggul itu dilihat sangat hebat buat masa sekarang. Namun, harga aset ini telah naik sebanyak 22 kali ganda antara Disember 2018 dan November 2021, maka tiada yang mustahil untuk lonjakan seperti itu daripada berlaku.

    Penganalisis Chainalysis secara tidak langsung mengesahkan sentimen bullish Jason Pizzino itu. Menurut mereka, para pelabur kripto telah menerima sebanyak $162.7 bilion pada tahun 2021, perolehan 400% lebih banyak berbanding tahun sebelumnya, 2020 ($32.5 bilion). Hal ini berlaku kerana harga dua mata wang kripto utama, bitcoin dan ethereum, melonjak ke paras tertinggi dalam sejarahnya. Dengan jumlah sebanyak $76.3 bilion, ethereum menunjukkan prestasi lebih baik berbanding bitcoin yang memberi pulangan sebanyak $74.7 bilion kepada para pelabur. Pelabur di Amerika  mendapat pulangan paling banyak berjumlah $47 bilion, melebihi rakan pelabur mereka di UK, Jerman , Jepun dan China. Sebagai perbandingan, pelabur British “hanya” menerima $8.2 bilion.

    Pada penghujung ulasan ini, sedikit berita dari dunia … buku dan perfileman. Pertama sekali, syarikat perfileman Scott Free Productions berhajat untuk membikin filem berdasarkan buku dengan judul The Infinite Machine, yang didedikasikan buat ethereum dan juga Vitalik Buterin. Buku ini ditulis oleh Camilla Russo, seorang wartawan terkenal dalam industri kripto. Filem ini akan diterbitkan bersama-sama dengan pengarah Hollywood terkenal seperti Ridley Scott, dan antara filem-filem pecah panggung yang beliau arahkan adalah seperti Alien, Gladiator, Blade Runner dan The Martian.

    Satu lagi pembuat berita untuk minggu ini adalah bekas broker saham iaitu Jordan Belfort. Jika diingat usahawan Amerika ini didapati bersalah atas kesalahan penipuan pasaran saham pada tahun 1999, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 22 bulan. Beliau menulis sebuah memoir pada tahun 2007, The Wolf of Wall Street yang telah diadaptasikan ke dalam sebuah filem dengan judul yang sama pada tahun 2013. Kini “serigala” kewangan itu mengakui sendiri beliau telah diperdaya dengan aset kripto bernilai kira-kira $300,000 baru-baru ini. Beliau melihat wangnya dipindahkan, tetapi gagal untuk membatalkannya. Ironi sebuah takdir...

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami