Jun 18, 2022

EUR/USD: Keputusan Mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 20 - 24 Jun, 20221

  • Pergerakan minggu lalu adalah berdasarkan kepada statistik kadar inflasi AS yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 10 Jun, dengan jumlah sebanyak 8.6% berbanding 8.3% yang diunjur. Mengetahui data yang membimbangkan itu, peserta pasaran mula menyertakan kadar faedah yang mungkin dinaikkan sebanyak 0.75% ke dalam sebut harga dolar dan bukannya 0.5% seperti yang diramal sebelum ini. Malah ada segelintir peserta yang bersikap terburu-buru mengatakan kadarnya akan terus dinaikkan sebanyak 1.0%. Oleh itu, pihak FOMC (Federal Open Market Committee) yang bermesyuarat pada hari Rabu, 15 Jun telah menaikkan kadar utama mereka sebanyak 0.75%, menjadikan jumlahnya 1.75% sekarang.

    Menurut Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, ini adalah langkah pengetatan kewangan yang paling agresif pernah diambil sejak tahun 1994. Disamping itu, walaupun dengan ancaman kemelesetan, Bank Pusat AS berniat untuk bertindak lebih jauh, menaikkan kadar faedahnya sebanyak 50 atau 75 mata asas lagi pada mesyuarat yang berikutnya.

    Berikutan daripada mesyuarat FOMC, anggaran kadar inflasi untuk tahun 2022 telah disemak semula daripada 3.4% kepada 5.2%, dan unjuran kenaikan kadar faedahnya pula dinaikkan daripada 1.9% kepada 3.4%. Dalam masa yang sama, Jerome Powell berharap perkara ini tidak akan memberi kejutan kepada ekonominya memandangkan pasaran buruh serta sektor pengguna di AS yang kukuh. Benar, walaupun ketua Rizab Persekutuan itu bersikap optimis, unjuran bagi kadar pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2022 telah diturunkan daripada 2.8% kepada 1.7%, manakala unjuran bagi kadar pengangguran pula adalah sebaliknya, dinaikkan daripada  3.5% kepada 3.7%.

    Secara umumnya, komen Jerome Powell mengenai rancangan pihak penggubal dasar itu rupa-rupanya agak samar, dan pasaran tidak dapat memahami sejauh mana pengetatan kuantitatif (QT) akan dilakukan serta apakah prospek untuk kadar pembiayaan persekutuan akan dinaikkan kepada 4.0%. Seperti yang dikatakan oleh ketua Rizab Persekutuan itu, “kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas kebiasaannya tidak tinggi,” maka beliau tidak merasakan “kenaikan seperti itu akan kerap berlaku."

    Akibatnya, kadar indeks dolar DXY mencecah paras maksimumnya (105.47), manakala pasangan EUR/USD pula berada pada paras minimumnya (1.0358) semasa mesyuarat FOMC sedang berlangsung, bukan setelah ia berakhir. Punca kepada pengukuhan mendadak dolar pada awal minggu bukan saja disebabkan oleh jangkaan kenaikan yang belum pernah berlaku sebelum ini, tetapi juga akibat daripada statistik makroekonomi yang teruk di Eropah. Kadar penurunan penghasilan industri di Eurozone memecut daripada -0.5% kepada -0.2%, walaupun perkara ini sudahpun dijangka akan berlaku. Punca utamanya masih lagi krisis bahan api yang disebabkan oleh sekatan anti Rusia akibat serangan ketenteraan Rusia terhadap Ukraine.

    Dolar dilihat sudah kehabisan potensi untuk naik ke atas pada petang 15 Jun, menyebabkan perubahan arah pergerakan yang mendadak pada 16 Jun, meletakkan EUR/USD jauh di atas pada kedudukan 1.0600. Untuk hari bekerja terakhir minggu lalu, trend pergerakannya berubah sekali lagi setelah pihak ECB berjanji untuk menyediakan sokongan baru bagi membendung kos pinjaman dalam kalangan negara-negara di selatan Eurozone. Kedudukan terakhir pasangan ini untuk tempoh lima hari adalah di zon 1.0500, pada paras 1.0495.

    Kebanyakan penganalisis percaya bahawa mata wang AS dan Eropah ini akan mencapai kesetaraan 1:1 menjelang akhir tahun ini (malah mungkin lebih awal). Dalam masa yang sama, pendapat para penganalisis pada petang 17 Jun terbahagi seperti berikut: 30% berpihak kepada bull, 20% - memihak kepada bear, dan 50% lagi tidak dapat membuat sebarang ramalan. Indikator pada D1 memberikan isyarat yang agak kurang jelas. Dalam kalangan pengayun, 100% adalah berwarna merah, dalam kalangan indikator trend, 90% berwarna merah dan 10% lagi berwarna hijau. Selain daripada 1.0500, sokongan paling hampir berada di zon 1.0600, jika berjaya, bull akan cuba untuk menembusi rintangan pada paras 1.0640 dan naik ke zon di antara 1.0750-1.0760, sasaran selepas itu ialah 1.0800. Untuk bear, tugas utamanya adalah melepasi paras sokongan di sekitar 1.0460-1.0480, dan kemudian memperbaharui paras terendah 13 Mei lalu iaitu 1.0350. Jika berjaya, ia akan turun ke paras terendah 2017 iaitu 1.0340, di bawah paras itu hanyalah paras sokongan daripada 20 tahun yang lalu.

    Untuk perkara-perkara yang akan berlaku minggu hadapan, hari Isnin, 20 Jun adalah hari cuti umum di AS, negara itu menyambut hari Juneteenth. Data daripada pasaran hartanah akan diketahui pada hari Selasa, 21 Jun dan Jumaat, 24 Jun, serta data dari pasaran buruh di AS yang akan dikeluarkan pada hari Khamis. Disamping itu, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijangka akan berucap sebanyak dua kali di hadapan Kongress pada 22 dan 23 Jun. Kami juga mengesyorkan untuk memberi tumpuan kepada data aktiviti perniagaan di Jerman dan di Eurozone secara keseluruhannya yang akan dikeluarkan pada 23 Jun.

GBP/USD: Kejutan Menyenangkan oleh Bank of England

  • Sebelum berlangsungya mesyuarat Rizab Persekutuan AS, nilai dolar adalah lebih kukuh berbanding pound sebanyak 585 mata dalam masa 3 hari bekerja, dari 10 hingga 14 Jun, manakala kadar pasangan GBP/USD susut kepada 1.1932, paras terendah sejak Mac 2020. Namun kemudian penggubal dasar di United Kingdom membuat kemunculan.

    Semasa bermesyuarat pada hari Khamis, 16 Jun, pihak Bank of England telah menaikkan kadar utama mereka daripada 1.00% kepada 1.25%. Sepertinya kenaikan 25 mata asas itu hanyalah satu pertiga daripada kenaikan 75 mata asas kadar faedah oleh Rizab Persekutuan sehari sebelum itu, tetapi nilai pound melonjak naik dan pasangan ini menduduki paras 1.2405 sebagai paras tertinggi mingguannya. Nilai mata wang British itu mengalami pengukuhan sebanyak 365 mata dalam masa beberapa jam saja.

    Seperti yang sering berlaku, punca kepada lonjakan ini adalah jangkaan. Pertama sekali, 3 daripada 9 orang ahli Lembaga Pengurusan Bank menyokong kenaikan kadar pembiayaan semula sebanyak 50 mata asas sekaligus dan bukannya 25 mata asas. Yang kedua, komen yang diberikan selepas berakhirnya mesyuarat menunjukkan kemungkinan pengetatan polisi kewangan akan dilaksanakan dengan lebih cepat, bermula pada mesyuarat penggubal dasar ini yang berikutnya. Ini bermakna, kadarnya mungkin mencecah 1.75% seawal 4 Ogos nanti, dan kadar itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan pasaran. Disamping itu, Bank of England tidak berniat untuk berhenti pada kadar tersebut dan menaikkannya lagi.

    Tidak seperti komen samar-samar yang diberi oleh pihak Rizab Persekutuan, Bank of England sangat jelas tentang polisi kewangan mereka sehingga memberikan kesan positif kepada para pelabur. Penganalisis juga sedia maklum bahawa tidak seperti rakan sejawat mereka di seberang Atlantik, pucuk pimpinan Bank of England tidak menyalahkan China dan Rusia untuk kenaikan inflasi.

    Mata wang pound berundur daripada posisi untung menjelang hujung minggu, dan pasangan ini mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.2215. Buat masa ini, 50% penganalisis percaya bahawa tidak lama lagi pasangan ini akan cuba untuk menguji rintangan pada paras 1.2400 sekali lagi, 10% pula adalah sebaliknya, menunggu untuk menguji paras sokongan di sekitar 1.2040, dan baki 40% penganalisis mengambil pendirian neutral.

    Dalam kalangan indikator trend dan juga dalam kalangan pengayun, 90% menunjukkan penurunan, manakala baki 10% lagi menunjukkan arah bertentangan. Sokongan terletak pada paras 1.2155-1.2170, kemudian 1.2075 dan 1.2040. Kedudukan kukuh pasangan ini terletak pada paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000, diikuti dengan paras terendah 14 Jun iaitu 1.1932. Jika berlakunya pertumbuhan, pasangan ini berhadapan rintangan di zon dan paras 1.2255, 1.2300-1.2325, 1.2400-1.2430, 1.2460, kemudian diikuti dengan sasaran di sekitar 1.2500 dan 1.2600.

    Bagi data makroekonomi yang melibatkan United Kingdom pada minggu depan, kami akan tumpukan kepada nilai Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk bulan Mei yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 22 Jun, serta keseluruhan pakej indeks PMI yang menggambarkan aktiviti perniagaan dalam setiap sektor dan juga keadaan ekonomi negara secara umumnya yang akan diketahui pada keesokan harinya, 23 Jun. Data jualan runcit di UK untuk bulan Mei akan diumumkan pada hari Jumaat, 24 Jun.

USD/JPY: Tiada Kejutan Oleh Bank of Japan

  • Nilai dolar yang semakin naik telah menolak kedudukan pasangan USD/JPY berkali-kali ke paras tertinggi sepanjang 20 tahun yang baru. Minggu lalu, ia berjaya memecahkan rekod yang dicapai pada 1 Januari, 2002 iaitu 135.19 apabila mencecah ketinggian 135.58. Ia diikuti pula dengan penurunan mendadak ke paras 131.48 dan perubahan arah ke atas yang sama kuatnya, dan selepas itu pasangan ini mengakhiri minggu hampir dengan paras 135.00, di sekitar 134.95.

    Nilai yen yang lemah, terutama sekali ketika berhadapan dengan kenaikan kadar inflasi bukan saja menjadi masalah besar buat isi rumah di Jepun, malah memberi kesan terhadap seluruh ekonominya kerana ia menaikkan kos bahan-bahan mentah serta sumber tenaga yang diimport masuk ke dalam negara itu. Namun, Bank of Japan masih berdegil untuk mengekalkan polisi kewangan mereka yang amat longgar, berbanding Bank-Bank Pusat di negara lain yang gigih mengetatkannya. Setelah pihak Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah mereka pada minggu lalu, Bank Negara Swiss dan Bank of England turut mengambil langkah yang sama, namun pihak Bank Kebangsaan Jepun mengekalkan kadar faedahnya pada paras negatif sebelum ini - negatif 0.1% semasa bermesyuarat pada hari Jumaat, 17 Jun, serta berjanji untuk mengekalkan hasil bon 10 tahun kerajaan pada kadar 0%. Terdapat beberapa percubaan untuk menetapkan kadar hasil sebanyak 0.25% ke atas hutang kerajaan beberapa minggu yang lalu, tetapi pembelian semula sekuriti-sekuriti ini secara agresif telah memberikan respon dengan serta-merta.

    Pegawai kerajaan Jepun cuba untuk memberi sokongan kepada yen pada pagi 17 Jun. Pihak kerajaan dan juga Bank of Japan mengeluarkan kenyataan bersama (jarang dibuat) yang menjelaskan kebimbangan mereka mengenai penyusutan mendadak nilai mata wang negara berkenaan. Kenyataan ini seharusnya memberitahu para pelabur kemungkinan polisi kewangan mereka yang akan berubah tidak lagi dapat dikecualikan kelak. Namun tiada sebarang bayangan yang terdapat dalam kenyataan itu menyebut bila atau bagaimana perubahan itu akan dilaksanakan, maka tiada sebarang reaksi yang diberikan pasaran terhadapnya.

    Sebilangan penganalisis, sebagai contoh, penganalisis kumpulan perbankan terbesar Belanda iaitu ING, percaya bahawa masih terdapat “risiko besar kadar USD/JPY akan mencecah 135.00 dalam masa beberapa hari lagi jika pihak berkuasa Jepun enggan mengambil langkah drastik dan melaksanakan campur tangan terhadap mata wang mereka”.

    Kebanyakan penganalisis (55%) telah menunggu lama untuk campur tangan daripada pihak berkuasa, atau setidak-tidaknya kebangkitan semula kadar faedah yen sebagai mata wang selamat. Walau bagaimanapun, jangkaan ini masih belum menjadi kenyataan untuk beberapa minggu. Namun begitu terdapat kemungkinan pembetulan yang kuat mungkin akan berulang, seperti yang berlaku antara 15-16 Jun lalu, ketika kadar pasangan ini susut sebanyak 410 mata. 35% daripada penganalisis mengharapkan agar ia memperbaharui paras tertingginya di kedudukan 135.58, manakala 10% lagi percaya bahawa pasangan ini akan menghela nafas, dan bergerak mengikuti trend mendatar. Bagi indikator pada D1, gambarannya adalah sangat berbeza jika dibandingkan dengan pendapat para penganalisis. Untuk indikator trend, 100% daripadanya berwarna hijau, untuk pengayun pula, 90% berwarna hijau, 10% daripadanya sudah pun berada di zon lebihan belian, manakala baki 10% lagi berwarna merah. Sokongan terdekat berada pada paras 134.50, diikuti dengan zon dan paras 134.00, 133.50, 133.00, 132.30, 131.50, 129.70-130.30, 128.60 dan 128.00. Sukar untuk menentukan sasaran bull selepas ia memperbaharui paras tertinggi pada 1 Januari, 2002. Kebanyakannya paras dengan nombor bulat seperti 134.00, 137.00, 140.00 dan 150.00 yang disebut-sebut dalam ramalan. Jika kadar pertumbuhan pasangan ini kekal seperti yang berlaku sejak 3 bulan lalu, kedudukannya mampu mencecah zon 150.00 pada hujung Ogos atau awal September.

    Selain daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 22 Jun, tiada berita utama lain dijangka akan berlaku pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: Pertumpahan Darah atau Bertarung untuk $20,000

  • Anthony Scaramucci, pengasas syarikat SkyBridge Capital yang memiliki dana pelaburan sebanyak $3.5 bilion menggelarnya sebagai “pertumpahan darah.” Sukar untuk tidak bersetuju dengan kata-kata beliau itu.

    Secara keseluruhan, bitcoin telah susut 70% daripada nilainya antara 11 November, 2021 dan 15 Jun, 2022. Pada minggu lalu saja ia telah susut kira-kira satu pertiga daripada nilainya. Mengikut sebilangan penganalisis, penyusutan kali ini telah disebabkan oleh pengumuman platform pinjaman kripto iaitu Celcius Network yang menggantung sementara pengeluaran dana daripada bursa mereka dan juga membuat pemindahan antara akaun “akibat keadaan pasaran yang sangat ekstrem.” (Sehingga bulan Mei, platform itu menguruskan $11 bilion aset milik penggunanya.)

    Walau bagaimanapun, data makroekonomi yang umumnya adalah negatif mungkin punca yang paling harus dipersalahkan. Pendapat ini telah disuarakan oleh peserta industri dalam satu kaji selidik oleh The Block. Kebanyakan penganalisis percaya bahawa pasaran kripto “akan tetap jatuh walaupun tanpa pengumuman Celcius.” Bloomberg sedar bahawa pasaran kini telah memasuki “tempoh untuk menjual semuanya kecuali dolar.” Para pedagang beralih kepada “lubuk selamat” akibat daripada pengetatan polisi kewangan yang lebih agresif oleh pihak Rizab Persekutuan AS (QT) akibat peningkatan kadar inflasi. Pasaran menyingkirkan aset berisiko mereka dengan aktif, kadar indeks saham S&P500, Dow Jones serta Nasdaq jatuh, membawa bersama-sama bitcoin dan lain-lain mata wang kripto dengannya.

    Nilai BTC turun hampir mencecah $20,000 pada hari Rabu, 15 Jun, nilai sebut harga ethereum susut sebanyak $1,000, dan jumlah keseluruhan modal pasaran kripto turun kepada $0.86 trilion. Jika diingat jumlahnya itu mencecah $2.97 trilion 7 bulan lalu, pada November 2021.

    Pasaran bear mengecewakan para pelabur. Namun kekecewaan yang dialami oleh dua pemilik bitcoin berinstitusi paling besar berada pada tahap berbeza. Jumlah kerugian yang mereka alami daripada aset ini adalah kira-kira $1.4 bilion. Mengikut sumber analisis oleh Bitcointreasuries.net, hampir 130,000 bitcoin yang dimiliki oleh MicroStrategy dan 43,200 bitcoin milik Tesla telah menjadikan pemiliknya jauh lebih miskin (kita bercakap tentang kerugian belum direalisasi).

    CEO MicroStrategy iaitu Michael Saylor telah membelanjakan hampir $4 bilion ($3,965,863,658) untuk membeli 129,218 BTC, lebih kurang 0.615% daripada jumlah mata wang kripto pertama yang telah dikeluarkan. Penyusutan nilai bitcoin telah mengurangkan jumlah pelaburan syarikat tersebut kepada $3.1 bilion, maka jumlah kerugian yang dialami adalah sebanyak $900 juta. Disamping itu, saham Microstrategy juga jatuh ke paras terendahnya dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Pelaburan Elon Musk, di mana syarikat kereta Tesla miliknya yang telah membeli lebih daripada 40,000 bitcoin semasa pasaran bull 2021 juga menerima tamparan hebat. Pelaburan beliau mengalami kerugian kira-kira $500 juta.

    Sudah tentu, bukan Michael Saylor dan Elon Musk saja yang sedang bergelut. Kejatuhan pasaran kripto juga memberi kesan kepada bursa kripto terbesar AS. Coinbase Global telah mengumumkan pemberhentian kerja seramai 1,100 orang pekerja (kira-kira 18% daripada keseluruhan pekerjanya). Saham syarikat Coinbase itu sendiri susut nilainya sebanyak 26% sepanjang minggu lalu, manakala jumlah keseluruhan modal pasarannya jatuh kepada $11.5 bilion. Pengarah syarikat itu yang juga pengasas bersama iaitu Brian Armstrong menyatakan bahawa “kemelesetan boleh menyebabkan kedinginan kripto yang baru untuk jangka masa yang panjang.”

    Stablecoin juga menambah keperitan jiwa dalam kalangan pelabur. Keghairahan terhadap USD (Terra) masih belum lagi reda, kini USDD dalam rangkaian Tron pula berhadapan dengan krisis sistemik. Nilai USDD tidak lagi disandarkan dengan dolar pada 13 Jun, manakala nilai TRX susut sebanyak 22%.

    Semasa ulasan ini dibuat, bull/bear pasangan BTC/USD sedang merebut untuk nilai purata pergerakan sepanjang 200 minggu (200WMA). WMA ini digunakan sebagai sokongan yang kukuh dalam semua fasa pasaran bear yang berlaku sebelum ini. Sehingga kini, bitcoin tidak pernah berjaya untuk berada di bawah garis ini, dan kita akan mengetahuinya pada hari Isnin, 20 Jun nanti jika ia berjaya melakukannya. (Maksud pedagang untuk “menjejakkan kaki” adalah penutupan candle di bawah paras tertentu).

    Arcane Research percaya bahawa $20,000 adalah paras kritikal buat bitcoin dalam konteks analisis teknikal. “Justeru, penurunan yang mungkin berlaku di bawah paras ini akan mendorong kepada pengunduran ramai hodler dan deleveraj.” Terdapat juga minat terbuka yang besar untuk opsyen bitcoin di sekitar paras $20,000. Inilah faktor yang memberi tekanan tambahan kepada pasaran spot jika paras yang disebutkan tadi tidak mampu bertahan dengan serangan bear.

    Pedagang dan penganalisis terkenal iaitu Tone Vays memetik Indikator Perubahan Momentum (Momentum Reversal Indicator atau MRI) Bitcoin yang membuat ramalan untuk kitar hidup sesuatu trend. Buat masa ini, MRI menunjukkan penurunan untuk beberapa hari lagi (4-5), selepas itu perubahan arah pergerakan di pasaran mungkin akan berlaku.

    Menurut Vays, berkemungkinan besar kadar BTC tidak akan jatuh di bawah paras $19,000. Namun penurunan ke paras lebih rendah tidak juga diketepikan: “Adakah mungkin nilainya akan mencecah $17,180? Saya rasa mungkin. Namun jika pergerakan ke bawah terus berlaku, paras berikutnya mungkin berada di sekitar $14,000. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya, nilai bitcoin tidak akan banyak jatuh, dan paras $19,000 adalah yang paling rendah,” penganalisis itu berkata.

    Jangkaan ini boleh dianggap sebagai optimis. Sebagai contoh, presiden syarikat broker Euro Pacific Capital, Peter Schiff menjangkakan penurunan ke paras $8,000 sebulan lalu. Pakar ekonomi Amerika yang juga pemenang Hadiah Nobel iaitu Paul Krugman memanggil mata wang kripto sebagai satu penipuan dan gelembungnya akan pecah tidak lama lagi.

    Setakat petang Jumaat, 17 Jun, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $0.895 trilion ($1.192 trilion seminggu lalu). Pasangan BTC/USD didagangkan pada nilai $20,500. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto terus terperuk di zon Extreme Fear dan berada pada bacaan 7 mata daripada 100 mata keseluruhan (13 minggu lalu). Nilai ini menyamai bacaan pada bulan Mac 2020. Kemudian harga bitcoin menjunam kepada $3,800. Menurut penganalisis di Arcane Research, bacaan indeks ini telah berada di zon Fear sejak 12 April lalu, mencatatkan rekod paling lama. “Tidak diragui lagi peserta pasaran sudah bosan dengan penurunan nilai ini, ramai yang berundur. Mengikut sejarah, membuat pembelian semasa pasaran diselubungi ketakutan adalah strategi yang menguntungkan. Walau bagaimanapun, agak sukar untuk menangkap pisau yang jatuh,” para penganalisis berkongsikan pendapat mereka.

    Akhir sekali, sedikit rasa optimis oleh pengasas SkyBridge Capital, Anthony Scaramucci yang kami petik kenyataannya pada permulaan ulasan ini. Dalam temubual beliau bersama CNBC, bekas ahli politik dan juga pengarah bahagian komunikasi White House ini bukan saja menggelar apa yang berlaku sebagai “pertumpahan darah,” malah juga menambah bahawa beliau telah berjaya menghadapi tujuh kali pasaran bear dan berharap mampu untuk “merangkak keluar daripada pasaran bear kali kelapan ini.

    “Semua aset kripto memiliki perspektif jangka masa panjang, selagi mereka tidak berdepan dengan kerugian jangka masa pendek,” pakar kewangan itu berkata. “Jika ia mengalami kerugian, maka para pelabur akan mula hilang arah dan naik gila. Lebih baik membeli aset kripto yang berkualiti tanpa diganggu oleh perkara lain dan mengekalkan disiplin tanpa melihat kepada pasaran bear yang kadang kala berlaku. Jika anda kekal tenang sepanjang tempoh ini, anda akan menjadi kaya,” kata-kata dorongan oleh Scaramucci kepada para pelabur.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami