Disember 11, 2022

EUR/USD: Menantikan Mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 12 - 16 Disember, 20221

  • Dua perkara penting akan berlaku pada minggu hadapan. Pertama adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang akan diadakan pada hari Rabu, 14 Disember. Jika diingat kadar faedah utama dolar buat masa ini adalah 4.00%, dan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell telah mengesahkan pada 30 November lalu bahawa kadar pertumbuhan untuk kadar faedah mereka mungkin akan menjadi lebih perlahan pada bulan Disember. Kenyataan ini menyakinkan peserta pasaran bahawa kadar yang akan dinaikkan pada bulan Disember nanti bukanlah sebanyak 75 mata asas (bp), tetapi hanya 50 bp. Langkah sebenar yang akan diambil pada 14 Disember nanti akan menetapkan sikap penggubal dasar itu untuk tahun 2023. Secara umum, keputusan mengenai kadar faedah itu sendiri bukanlah faktor utama yang ada di sini, tetapi unjuran ekonomi oleh pihak FOMC serta sidang akhbar pihak pengurusan organisasi tersebut selepas mesyuarat berakhir juga memainkan peranan penting.

    Berkemungkinan besar keputusan yang diambil oleh ahli jawatankuasa itu akan dipengaruhi oleh data kadar inflasi di AS: nilai kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk bulan November akan diketahui sehari sebelum mesyuarat itu berlangsung, pada hari Selasa, 13 Disember.

    Perkara kedua adalah mesyuarat ECB yang akan diadakan pada hari Khamis, 15 Disember. Kadar faedah Euro buat masa ini adalah 2.00%, dan mengikut unjuran, penggubal dasar Kesatuan Eropah juga hanya akan menaikkannya sebanyak 50 bp, ini akan memberi kelebihan kepada mata wang AS: 4.50% berbanding 2.50%. Seperti Rizab Persekutuan AS, komen dan juga unjuran oleh para pemimpin ECB yang akan disiarkan selepas mesyuarat juga adalah penting buat peserta pasaran.

    Untuk minggu lalu, kadar Indeks Dolar DXY gagal untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya kerugian yang dialami sejak akhir September. Kali ini ia terhalang oleh statistik dari China. Dari satu sudut, sektor pembuatan di China terus menguncup: kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) susut sebanyak 1.3% untuk dua bulan berturut-turut. Dari sudut yang lain pula, kadar inflasi menjadi perlahan: kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk bulan November adalah 1.6% berbanding 2.1% pada bulan sebelumnya. Dalam situasi ini, kerajaan China telah mengambil langkah untuk melonggarkan polisi kewangan (QE) bagi menyokong ekonomi mereka. Satu kaji selidik yang dibuat oleh Bloomberg menunjukkan pasaran menjangkakan Bank Republik Rakyat China akan menurunkan kadar faedah yuan seawal Q1 2023. Berlatarbelakangkan perkara ini, kadar indeks saham terutamanya di Asia naik, manakala nilai dolar pula jatuh. Sikap optimis tentang sekatan ketat terhadap COVID-19 di China juga menyokong pasaran ekuiti dengan positif.

    Tekanan lain yang dihadapi mata wang AS telah diberikan oleh statistik pasaran buruh di AS. Jumlah permohonan awal faedah pengangguran telah dikeluarkan pada hari Khamis, 8 Disember. Data ini menunjukkan sedikit peningkatan daripada 226K kepada 230K, ianya selari dengan jumlah yang diunjur. Namun permohonan berulang telah mencecah jumlah tertinggi sejak sepuluh bulan lalu: 1671K, jumlah yang memberi petanda dan juga petunjuk kepada pihak Rizab Persekutuan tentang masalah ekonomi yang dialami.

    Sebaliknya, statistik makro di Eropah dilihat memberangsangkan. Kadar KDNK di Eurozone untuk Q3  rupa-rupanya lebih tinggi berbanding unjuran, 0.3% vs. 0.2% (suku/suku) dan 2.3% vs. 2.1% (tahun/tahun).

    Akibatnya, pasangan EUR/USD tidak lagi mengalami pembetulan yang teruk dan setelah mencecah kedudukan terendah mingguan pada paras 1.0442 pada 7 Disember, ia mengubah arah pergerakan dan naik ke paras 1.0587 pada 9 Disember. Kadar Indeks Harga Pengguna (PPI) dan juga Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan membuat sedikit pelarasan terhadap sebut harganya di hujung minggu bekerja, dan pasangan ini berakhir pada paras 1.0531 selepas itu.

    50% penganalisis menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, 25% lagi mengunjurkan kepada penurunannya. Baki 25% pula menjangkakan pergerakan mendatar. Perlu diketahui di sini bahawa apabila beralih kepada unjuran jangka sederhana, jumlah penyokong bearish yang menjangkakan penurunan pasangan ini di bawah paras pariti 1.0000 bertambah dengan mendadak, sehingga 75%.

    Gambarannya adalah berbeza untuk pengayun pada D1. 100% pengayun adalah berwarna hijau, namun 10% daripadanya berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan 100% adalah untuk warna hijau.

    Sokongan paling hampir untuk EUR/USD berada hampir dengan 1.0500, kemudian paras dan zon 1.0440, 1.0375-1.0400, 1.0280-1.0315, 1.0220-1.0255, 1.0130, 1.0070, diikuti dengan zon pariti antara 0.9950-1.0010. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0545-1.0560, 1.0595-1.0620, 1.0745-1.0775, 1.0865, 1.0935.

    Kita akan mengetahui statistik makro penting yang lain pada minggu hadapan selain daripada mesyuarat-mesyuarat yang disebutkan di atas tadi. Data kadar inflasi pengguna (CPI) dan juga indeks sentimen ekonomi (ZEW) di Jerman akan dikeluarkan pada hari Selasa, 13 Disember. Indikator aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di Jerman dan juga Eurozone serta kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) Kesatuan Eropah untuk bulan November akan diketahui pada hari Jumaat, 16 Disember.

GBP/USD: Menantikan Mesyuarat Bank of England

  • Bukan hanya ECB, malah Bank of England (BoE) juga akan membuat keputusan mengenai kadar faedah mereka pada hari Khamis, 15 Disember. Harus sedia maklum bahawa penggubal dasar United Kingdom itu adalah antara Bank Pusat negara-negara G10 yang terawal memperlahankan polisi pelonggaran kuantitatif (QE) mereka, selepas Rizab Persekutuan AS. Mereka menaikkan kadar faedah pound sebanyak 75 bp pada bulan November. Namun, seperti pihak ECB dan juga Rizab Persekutuan, mereka dijangka hanya akan menaikkan kadarnya sebanyak 50 bp untuk bulan Disember, dan kadarnya akan menjadi 3.5% selepas itu. Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Reuters, 96% pakar ekonomi bersetuju dengan senario tersebut. Hanya 4% daripada mereka berkeras kenaikannya adalah sebanyak 75 bp.

    Kebanyakan responden percaya bahawa kegawatan ekonomi yang dialami akan terus berlaku dan tidak terlalu teruk. Mengikut unjuran, ekonomi telah menguncup sebanyak 0.2% pada Q3 2022 (data yang sebenar akan diketahui pada 12 Disember) dan menyusut lagi untuk Q4 sebanyak 0.4%. Penguncupan untuk tiga suku tahun yang pertama bagi tahun 2023 masing-masing mungkin sebanyak 0.4%, 0.4% dan 0.2%.

    Untuk kadar inflasi, tinjauan yang dilakukan oleh pihak BoE menunjukkan bahawa kebimbangan penduduk UK mengenainya telah berkurang sedikit. Jika melihat pada unjuran pakar-pakar ekonomi, kadar maksimum inflasi dijangka akan mencecah 10.9% untuk Q4, dan kemudian menurun selepas itu. Kadar semasa adalah lima kali lebih tinggi berbanding kadar sasarannya iaitu 2.0%. Bank of England akan terpaksa menaikkan kadar faedahnya untuk memerangi inflasi, walaupun diancam dengan kemelesetan ekonomi yang teruk. BoE dijangka akan menaikkan kadar mereka sebanyak 50 bp dan 25 bp masing-masing untuk Q1 dan Q2 2023, menjadikan kadarnya itu 4.25%.

    Pasangan GBP/USD dan juga EUR/USD dilihat telah membentuk trend ke atas sejak akhir bulan September disebabkan oleh penyusutan nilai dolar. Disamping itu, kedudukannya menjadi lebih baik setelah berakhirnya krisis mikro fiskal dan tindakan yang diambil oleh Bank of England untuk mengetatkan polisi kewangan mereka serta menyokong pasaran bon kerajaan British. Pasangan GBP/USD mencecah kadar maksimumnya pada 5 Disember lalu pada paras 1.2344, namun, gagal untuk terus naik dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.2260 dalam menantikan keputusan mesyuarat pada minggu depan.

    Pakar strategi di German Commerzbank menganggap situasi yang berlaku sekarang ini hanyalah penangguhan sementara dan menjangkakan tekanan yang dihadapi mata wang British itu akan bertambah lebih besar. “Buat masa ini,” jelas mereka, “memang benar wujudnya perasaan lega setelah krisis fiskal berjaya dikawal, dan tiada sebarang tanda krisis tenaga akan menjadi lebih teruk. Kami berpendapat, semua ini hanyalah penangguhan sementara buat pound. Keadaan ekonomi yang dijangka semakin merosot, polisi kewangan yang tidak agresif […] dan kadar inflasi yang semakin meningkat akan terus memberi tekanan hebat kepada pound.”

    Unjuran median untuk masa terdekat ini sama sepenuhnya seperti EUR/USD: 50% penganalisis memihak kepada bull, 25% lagi memihak kepada bear, dan baki 25% pula kekal neutral. Dalam masa yang sama, keadaan sedikit berubah apabila beralih kepada unjuran jangka sederhana: jumlah penyokong bear di sini adalah 10% lebih tinggi, iaitu 85%.

    Bacaan untuk indikator trend dan pengayun pada D1 juga menyamai bacaan untuk EUR/USD: 100% berwarna hijau, dan 10% daripada pengayun sudah pun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian.

    Sokongan untuk pasangan ini berada pada paras dan zon 1.2210-1.2235, 1.2150, 1.2085-1.2105, 1.2030, 1.1960, 1.1900, 1.1800-1.1840, 1.1700-1.1720, 1.1475-1.1500, 1.1350, 1.1230, 1.1150, 1.1100. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan dengan rintangan pada paras 1.2290-1.2310, 1.2345, 1.2425-1.2450 dan 1.2575-1.2610, 1.2750.

    Seperti yang sudah kami nyatakan, data kadar KDNK negara ini yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 12 Disember adalah peristiwa yang menjadi tumpuan kerana ia membabitkan ekonomi di United Kingdom. Data pengangguran serta penggajian akan diketahui keesokan harinya, kadar indeks harga pengguna (CPI) pula akan diketahui pada hari Rabu, 14 Disember, dan kadar jualan runcit serta indeks aktiviti perniagaan di UK - pada hari Jumaat, 16 Disember. Sudah tentu, penekanan khusus harus diberi pada 15 Disember apabila pihak Bank of England memberikan keputusan mereka mengenai kadar faedahnya.

USD/JPY: Apa yang Dapat Membantu Yen

  • Kadar USD/JPY naik daripada paras terendah 2 Disember lalu iaitu 133.61 kepada 137.85 pada minggu lalu, berada sedikit tinggi daripada zon sokongan/rintangan 137.50 yang kukuh. Kedudukan terakhir minggu lalu berada pada paras 136.60.

    Masa depan pasangan ini akan terus bergantung kepada perbezaan kadar faedah antara AS dan Jepun. Jika sekurang-kurangnya pihak Rizab Persekutuan terus bersikap sederhana hawkish dan BoJ pula kekal dengan polisi ultra longgar mereka, maka dolar akan terus mendominasi yen. Ancaman campur tangan tukaran asing yang baru oleh Menteri Kewangan Jepun seperti yang dilakukan pada 10 November lalu dilihat tidak mungkin akan berlaku jika mengikut situasi sekarang. Menaikkan kadar faedah mungkin dapat membantu, namun besar kebarangkaliannya untuk Bank of Japan (BoJ) membiarkan kadar tersebut tidak berubah semasa bermesyuarat pada 20 Disember nanti: pada kadar negatif -0.1%. Perubahan radikal dalam polisi kewangan mereka dijangka hanya boleh berlaku selepas 8 April tahun hadapan. Haruhiko Kuroda, ketua Bank of Japan akan tamat perkhidmatannya pada tarikh itu, dan calon baru yang akan menggantikan beliau mungkin berpendirian lebih agresif. Namun ianya belum lagi pasti.

    Harapan lain adalah kebimbangan tentang prospek ekonomi di China yang baru. “Keadaan kadar pertumbuhan yang lemah dan penurunan hasil bon yang jelas,” pakar ekonomi di syarikat perbankan ING berkata, ”seharusnya mendorong kepada hakikat bahawa mata wang selamat seperti yen akan menunjukkan kehebatannya,” hujah ini pasti dapat menyokong mata wang Jepun.

    Unjuran para penganalisis untuk masa terdekat ini dilihat bearish: 50% daripada mereka memilih penurunan pasangan ini, baki 50% lagi berpendirian neutral. Namun, untuk jangka masa sederhana, kebanyakan (60%) penganalisis mengubah pendirian mereka kepada pertumbuhan, menjangkakan pengukuhan nilai dolar serta kembalinya pasangan ini di zon antara 145.00-150.00. Untuk pengayun pada D1, gambarannya adalah seperti berikut: 90% menunjukkan penurunan, 10% menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang menyebelahi warna merah adalah 85% berbanding 15%.

    Paras sokongan paling hampir berada di zon 136.00, diikuti dengan paras dan zon 134.10-134.35, 133.60, 131.25-131.70, 129.60-130.00, 128.10-128.25, 126.35 dan 125.00. Rintangan berada pada paras dan zon 137.50-137.70, 138.00-138.30, 139.00, 139.50-139.75, 140.60, 142.25, 143.75, 145.30, 146.85-147.00, 148.45, 149.45, 150.00 dan 151.55. Tugas utama bull adalah untuk naik dan berada di kedudukan lebih tinggi dari paras 152.00.

    Hari Rabu, 14 Disember boleh ditanda pada kalendar kerana kadar Indeks Sentimen Syarikat Pengeluar Besar dan juga Syarikat Bukan Pengeluar Tankan untuk Q4 2022 akan diumumkan. Tiada lagi indikator makro bagi ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Lonjakan Hari Krismas Selepas Pemusnahan Kripto

  • Kami telah berikan judul “Cryptogeddon Dan Bukan Musim Dingin Kripto” (sesuai dengan analogi Armageddon, tempat berlakunya pertarungan akhir dan penentu antara kuasa baik dan kuasa jahat) untuk ulasan minggu lalu. Kini terdapat satu lagi istilah “berdarah” yang baru: “pemusnahan kripto” yang memperincikan keadaan setelah runtuhnya FTX, bursa kripto kedua paling besar dari segi jumlah modal pasarannya. Para pelabur mengalami kerugian sebanyak $10.6 bilion dalam masa hanya satu minggu pada bulan November. Krisis yang berlaku ini sama seperti domino, ia mengakibatkan keruntuhan lebih banyak syarikat-syarikat lain. Mengikut tinjauan Bloomberg, kira-kira 94% responden percaya keadaan akan menjadi lebih kacau-bilau selepas FTX jatuh muflis kerana tiada lagi pembiayaan mudah selepas ini dan ia digantikan dengan situasi pasaran dan perniagaan yang sangat sukar. Untuk merumitkan lagi keadaan, antara 73% dan 81% daripada pelabur telah mengalami kerugian kerana melabur dalam mata wang kripto antara tahun 2015 dan 2022. Perkara ini telah dibuktikan oleh data daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Bank for International Settlements (BIS).

    Buat masa ini harga bitcoin mengalami penyatuan di sekitar $17,000, manakala bacaan indikator SMA100 dan SMA 200 untuk carta empat jam pula hampir mengalami penggabungan pada satu ketika. Penurunan BTC/USD telah terhenti akibat dolar yang susut nilainya sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Pasaran menjadi kaku apabila menantikan tarikh 14 Disember nanti, hari untuk Rizab Persekutuan membuat keputusan mengenai kadar faedah mereka. Perkara itu sebaliknya bergantung kepada data kadar inflasi di AS yang akan diketahui sehari sebelumnya. Unjuran Ekonomi oleh pihak FOMC (Federal Open Market Committee) juga memainkan peranan besar dalam dinamik pergerakan dolar.

    Para optimis, termasuklah komuniti kripto seperti Credible Crypto, Moustache serta Dave the Wave menjangkakan data ini akan memberi pengaruh positif kepada selera risiko di pasaran, dan lonjakan hari Krismas akan menolak nilai bitcoin ke paras $20,000. Mengikut jangkaan ahli-ahli komuniti kripto CoinMarketCap, BTC akan didagangkan pada harga purata $19,788 menjelang hujung tahun ini.

    Algoritma pembelajaran mesin PricePredictions yang turut mengandungi beberapa indikator teknikal (MA, RSI, MACD, BB, dll.) menunjukkan nilai $1,000 lebih rendah. Mengikut metrik yang telah ditetapkan, nilai mata wang kripto utama itu akan mencecah $18,797 pada 31 Disember, 2022.

    Walau bagaimanapun, semuanya tidaklah begitu indah dan jelas. Sebagai contoh, pakar strategi kanan di Bloomberg Intelligence iaitu Mike McGlone percaya bahawa mata wang kripto kini sedang melalui fasa terakhir sebelum mencecah paras paling rendahnya. Namun, beliau memberi amaran bahawa amat sukar untuk bertahan dalam fasa ini: “Kebiasaannya, bukan mudah untuk pasaran menghasilkan paras terendah berbentuk V. Mereka akan cuba sedaya upaya menyukarkan penghasilannya dengan menggunakan lebih banyak kemeruapan, mengambil semua modal dari para pelabur.”

    Menurut Michael Van De Poppe, seorang penganalisis dan juga pedagang terkenal, pasangan ini akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam menuju ke paras $19,000. Bull perlu menembusi paras rintangan penting di antara $17,400-17,600 dan kemudian cuba untuk mencecah kedudukan $18,285.

    Untuk harga ethereum, Van de Poppe percaya bahawa paras sokongan utama bagi mata wang kripto ini berada pada paras $1,200. Mike McGlone memiliki pendapat yang sama. Mengikut pengiraan yang beliau lakukan, ETH memiliki sokongan kukuh hampir pada kedudukan ia berada sekarang.

    Tidak banyak masa lagi sebelum tahun ini berakhir, dan kita akan ketahui siapa yang memberi unjuran paling tepat selepas itu. Sementara itu, semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 9 Disember), pasangan ETH/USD didagangkan di sekitar $1,260, manakala BTC/USD - $17,100. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto tidak banyak berubah sepanjang minggu lalu dan berjumlah $0.852 trilion ($0.859 trilion pada minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto hanya turun 1 mata dalam masa tujuh hari, daripada 27 kepada 26 dan masih kekal berada di zon Fear.

    Membuat kesimpulan bagi ulasan ini, sedikit perbincangan mengenai unjuran jangka panjang. Penganalisis Twitter terkenal seperti Bluntz dan Korinek_Trades tidak menolak nilai BTC/USD boleh turun ke paras $15,000 atau malah ke paras $12,000 pada Q1 2023.

    Situasi yang digambarkan oleh pakar ekonomi di Standard Chartered adalah lebih suram. Mereka menjangkakan keruntuhan bursa FTX akan terus memberi kesan terhadap mood di pasaran kripto, peserta-peserta dari industri besar akan terus muflis, lalu mendorong kepada hilangnya keyakinan yang lebih besar terhadap aset digital. Akibatnya, nilai bitcoin boleh jatuh ke paras $5,000 pada tahun 2023. Ketua Pakar Strategi Standard Chartered iaitu Eric Robertson membenarkan peralihan minat para pelabur daripada aset versi digital kepada pesaing versi fizikalnya dan nilai logam berharga itu akan naik kepada $2,250 bagi setiap auns troy. Dalam masa yang sama, Robertson menekankan bahawa senario yang dicadangkan itu bukanlah ramalan, tetapi hanyalah satu cadangan yang mungkin boleh diambil untuk keluar daripada konsensus yang ada di pasaran sekarang.

    Pengasas Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz melihat masa depan yang lebih jauh dan menemui cahaya di hujung jalan. Dalam memberikan komen kepada Bloomberg Television, beliau kekal dengan ramalan yang mengatakan nilai mata wang kripto pertama itu akan naik kepada $500,000. Namun, pada pendapat beliau, ia akan mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk bitcoin mencapai sasaran tersebut disebabkan oleh perubahan dalam situasi makroekonomi serta tindakan agresif yang diambil pihak Rizab Persekutuan.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami