Disember 23, 2022

Menjadi kebiasaan untuk kami berikan unjuran daripada institusi-institusi kewangan utama dunia menjelang akhir tahun dan tahun yang akan tiba nanti. Kami telah sediakan unjuran seperti ini pada dua tahun yang lalu, dan juga tahun lepas. Justeru, kami bukan saja perlu melihat pada masa hadapan, malah juga menganalisis sama ada unjuran yang diberi para penganalisis sebelum ini benar-benar tepat atau tidak.

Dolar dan Euro 2020-2022: Unjuran dan Realiti1 

 

2020-2021: EUR/USD in Times of COVID

Tiada siapa yang membincangkan tentang pandemik berskala global ini pada Disember 2019, semasa wabak COVID-19 pertama kali direkodkan pada bulan itu. Namun pada waktu itu, majalah Financial Times telah menyiarkan unjuran oleh penganalisis di Citigroup yang mengatakan bahawa polisi pelonggaran kuantitatif (QE) yang ingin dilaksanakan Rizab Persekutuan AS serta lambakan likuiditi dolar murah di pasaran mungkin boleh mengakibatkan kejatuhan nilai dolar.

Disebabkan penyebaran wabak yang semakin teruk, senario ini mula membuktikan kebenarannya. Mata wang dolar mula susut nilainya bermula pada minggu terakhir bulan Mac 2020. Mesin pencetak wang Rizab Persekutuan berjalan sepenuhnya, melambakkan pasaran AS dengan dolar murah yang baru. Tiada seberang rancangan yang diusul untuk menyekat program rangsangan kewangan itu, lebih-lebih lagi untuk menaikkan kadar faedahnya. Bermula di kedudukan 1.0630 pada 22 Mac, 2020, kadar EUR/USD menyambut kedatangan tahun baru 2021 pada paras 1.2300.    

Pasangan ini terus mengalami pertumbuhan dengan kedatangan tahun baru 2021. Namun trend pertumbuhan ini hanya bertahan… kurang daripada seminggu. Kedudukannya mencecah paras 1,2350 pada 6 Januari, dan kedudukan itu adalah yang tertinggi untuk tahun berkenaan. Segalanya mulai berubah pada 7 Januari, dan dolar mula kembali pulih selepas itu.

Mata wang AS bergerak mengikuti trend sinusoidal sehinggalah berakhirnya bulan Mei, turun dan naik seiring dengan perkembangan situasi coronavirus yang melanda serta kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin Rizab Persekutuan. Namun pendirian Bank Persekutuan AS mula berubah dengan jelas daripada dovish kepada hawkish sebelum musim panas tiba, keadaan ekonomi negara itu mula pulih, dan keyakinan para pelabur terhadap kadar faedah utama yang akan dinaikkan tidak lama lagi daripada kadar 0.25% yang “teruk” menjadi semakin bertambah. Akibatnya, nilai dolar mengalami pertumbuhan stabil, dan pasangan EUR/USD mengakhiri tahun 2021 di zon 1.1350, rugi hampir 1,000 mata dalam masa setahun.

 

2022: EUR/USD Sepanjang Konflik Rusia-Ukraine

Prospek mengenai pengetatan polisi Kewangan (QT) Rizab Persekutuan dan kenaikan lebih tinggi kadar faedah telah memberikan inspirasi kepada para pelabur untuk berasa optimis dengan masa depan mata wang AS. Unjuran oleh para penganalisis juga dilihat agak optimis. Ekonomi AS, termasuklah pasaran buruh kembali pulih dengan lancar, kadar KDNK dijangka naik sebanyak 5%, dan perkara-perkara ini memberi peluang kepada Rizab Persekutuan untuk membendung kadar inflasi dengan aktif. Hakikat bahawa kadar faedah akan dinaikkan sekurang-kurangnya 1.5% menjelang akhir tahun 2023 hampir tidak dapat disangkal lagi. Keyakinan terhadap pengukuhan lebih tinggi dolar telah ditambah lagi dengan pendirian dovish Bank-Bank Persekutuan negara-negara G7 yang dilihat lebih bertolak ansur dengan kenaikan harga barang.

Pakar strategi kumpulan perbankan Belanda (Internationale Nederlanden Groep) menjangkakan pasangan EUR/USD akan didagangkan pada kadar 1.1000 untuk Q4 2022. Penganalisis dari salah sebuah konglomerat perbankan terbesar dunia, HSBC (Hongkong and Shanghai Banking Corporation) memberikan pendapat yang sama dengan ING. Unjuran mereka menyatakan, “hujah utama kami adalah berdasarkan kepada dua faktor yang menyokong nilai dolar: 1. pembantutan pertumbuhan ekonomi global, dan 2. perubahan pendirian Rizab Persekutuan yang beransur-ansur untuk menaikkan kadar faedah.” Disamping itu, HSBC mengandaikan bahawa pihak ECB tidak akan menaikkan kadar faedah euro sehinggalah tahun 2022 berakhir.

Penganalisis di CIBC (Canadian Imperial Bank of Commerce) juga memihak kepada dolar AS, menetapkan sasaran yang sama untuk pasangan EUR/USD pada dua suku terakhir tahun 2022: 1.1000. Syarikat kewangan JP Morgan menilai prospek pasangan itu lebih sederhana, menunjukkan paras 1.1200.

Walau bagaimanapun, tidak semua syarikat kewangan bersetuju dengan pertumbuhan nilai dolar. Barclays Bank menganggap mata wang dolar dinilai dengan terlalu tinggi. Pakar ekonomi bank berkenaan menjangkakan penyusutan nilai mata wang yang sederhana disebabkan oleh kenaikan selera risiko dan juga komoditi akibat keadaan ekonomi global yang semakin pulih serta penurunan kadar inflasi. Senario yang diberi untuk EUR/USD oleh Barclays adalah seperti berikut: Q1 2022 - naik ke paras 1.1600, Q2 - 1.1800, Q3 dan Q4 - bergerak di zon 1.1900.   

Pihak Reuters telah menebual wakil-wakil dari syarikat perbankan terbesar di Wall Street dan telah memberikan senario bagi dinamik pasaran tukaran asing untuk 12 bulan yang akan datang. Selain daripada unjuran oleh JP Morgan dan Barclays yang telah disebutkan tadi, konglomerat perbankan Morgan Stanley, Goldman Sachs, serta syarikat pengurusan aset terbesar di Eropah iaitu Amundi adalah antara responden lain yang turut memberikan unjuran mereka.

Morgan Stanley percaya bahawa kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan akan dilaksanakan dengan lancar, manakala bank-bank persekutuan lain mungkin akan mengubah pendirian polisi kewangan mereka daripada dovish kepada hawkish. Perkara ini akan mendorong kepada pelaksanaan bersepadu oleh para penggubal dasar, seterusnya memberi tekanan kepada dolar dan menaikkan kadar EUR/USD kepada 1.1800.

Pakar strategi di Goldman Sachs mensasarkan paras 1.1800 yang sama. Syarikat Amundi menyatakan pihak Rizab Persekutuan “boleh memberi kejutan dalam jangkaan pasaran,” walaupun mereka bersetuju bahawa momentum “akan kekal positif untuk dolar.” Menurut pakar strategi syarikat itu, paras EUR/USD sepatutnya akan mengakhiri tahun 2022 di sekitar 1.1400.

Adalah selamat untuk mengatakan sekarang bahawa unjuran oleh penganalisis di ING, HSBC, dan CIBC adalah yang paling hampir tepat. Terdapat kemungkinan bahawa unjuran-unjuran ini akan menjadi 100% tepat. Atau mungkin jangkakan pesaing mereka dari Barclays, Morgan Stanley dan Goldman Sachs yang akan menjadi kenyataan. Jika keadaan menjadi kacau-bilau di seluruh dunia akibat pandemik coronavirus pada tahun 2020, peperangan pula telah berlaku pada tahun 2022. Serangan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine serta sekatan anti Rusia selepas itu telah mengakibatkan berlakunya krisis ekonomi, pengurangan bekalan sumber tenaga serta kenaikan kadar inflasi di banyak negara, walaupun berada jauh dari rantau itu.  

Jarak negara-negara EU yang hampir dengan zon peperangan, kadar kebergantungan yang tinggi terhadap sumber tenaga Rusia, ancaman serangan nuklear serta risiko serangan ketenteraan merebak ke wilayah yang lain telah memberikan tamparan hebat kepada ekonomi di Eurozone dan memaksa pihak ECB berhati-hati dalam membuat keputusan supaya ekonominya tidak jatuh sepenuhnya. Negara AS berhadapan dengan situasi yang lebih baik, dan keadaan ini bukan saja membolehkan pihak Rizab Persekutuan meneruskan kenaikan kadar faedah serta pengetatan kuantitatif (QT), malah juga mempercepatkannya. Kadar EUR/USD turun di bawah paras pariti 1.0000 buat pertama kalinya sejak 20 tahun lalu pada 14 Julai, dan mencecah kedudukan paling rendahnya iaitu 0.9535 pada 28 September.

Pendorong utama bagi pengukuhan nilai dolar adalah jangkaan terhadap pertambahan kadar pembiayaan yang naik mendadak, dan telah disokong oleh kenyataan dan juga keputusan yang diambil oleh barisan kepimpinan Rizab Persekutuan. Kadarnya adalah sebayak 0.25% antara 15 Mac, 2020 (pandemik bermula) sehinggalah 16 Mac, 2022. Kadar itu dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bp), kemudian naik lagi 50 bp, diikuti dengan kenaikan 75 bp sebanyak empat kali lagi. Kemudian Bank Persekutuan AS memperlahankan sedikit pengetatan dan kenaikan kadarnya dengan hanya menaikkan sebanyak 50 bp pada mesyuarat terakhir untuk tahun 2022 ini, dan kadar faedah mereka kini mencecah 4.50%.

Pihak ECB telah mengekalkan kadar faedah euro sebanyak 0.00% untuk masa yang panjang. Namun, mereka terpaksa mula mengetatkan polisi kewangannya untuk mengikut jejak langkah Rizab Persekutuan. Penggubal dasar itu menaikkan kadarnya kepada 0.50% pada mesyuarat 21 Julai lalu, naik lagi kepada 1.25% pada 8 September, naik kepada 2.00% pada 27 Oktober, dan akhir sekali, naik kepada 2.50% pada 15 Disember.

Hakikat bahawa pihak ECB mula mengetatkan polisi kewangan mereka telah memberi faedah kepada euro. Hakikat bahawa Kesatuan Eropah telah berjaya menyediakan bekalan gas dan minyak yang cukup sebelum tiba musim sejuk dan menemui cara untuk menggantikan sumber tenaga Rusia juga telah membantu mata wang pan-Eropah itu. Hasilnya, kadar EUR/USD sekali lagi naik di atas paras 1.0000 dan mencecah ketinggian 1.0735 pada 15 Disember.

***

Maka, mata wang biasa Kesatuan Eropah telah mengalami kerugian sebanyak 2,815 mata berbanding mata wang Amerika dari 6 Januari, 2021 sehingga 28 September, 2022. Selepas itu euro melancarkan serangan balas, dan telah berjaya memperoleh semula 1,200 mata sebelum tahun berakhir, atau lebih daripada 40% nilai kerugian. Kami akan berikan jangkaan para penganalisis terhadap kedua-dua mata wang ini untuk tahun depan, 2023 dalam ulasan kami minggu hadapan.

Sementara itu, kami ingin ucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi, memiliki kewangan yang kukuh, sihat sejahtera, dan mencapai semua yang diimpikan, walaupun untuk impian yang paling luar biasa sekali buat anda dan semua yang tersayang. Mari sama-sama berharap agar tidak seperti tiga tahun sebelum ini, tahun hadapan akan dipenuhi dengan perkara-perkara yang positif saja Selamat Tahun Baru!

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami