Disember 29, 2022

Minggu lalu, kami telah membuat analisis tentang apa yang berlaku kepada dua mata wang paling popular antara tahun 2020-2022, apakah unjuran yang diberi oleh pakar-pakar strategi institusi kewangan utama terhadap EUR/USD pada waktu itu, dan berapa tepatkah ramalan mereka. Tiba masanya untuk kami sampaikan apakah ramalan mereka untuk tahun 2023.

Apa yang Boleh Dijangka Daripada Dolar dan Euro Untuk Tahun 20231 

Perlu segera maklum bahawa ramalan-ramalan ini adalah berbeza: pelbagai “kejutan” telah berlaku beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya telah meninggalkan lebih banyak masalah yang tiada penyelesaiannya pada masa akan datang.

Bagaimanakah situasi geopolitik yang akan dihadapi, apakah pendirian serta kadar pelaksanaan polisi kewangan pihak Rizab Persekutuan dan ECB, apakah yang akan berlaku kepada pasaran buruh serta kadar inflasi, adakah terdapat kemungkinan kadar inflasi serta harga bahan api dapat dibendung? Kami masih belum ada jawapan terhadap pertanyaan ini dan banyak lagi persoalan lain. Terdapat banyak ketaktentuan yang timbul dan menghalang penganalisis untuk sama-sama bersetuju dalam membuat unjuran.

Sesetengah daripada mereka percaya bahawa pasangan EUR/USD akan mencecah paras terendah antara tahun 2000-2002 di sekitar 0.8500, dan ada yang percaya bahawa kedudukannya akan melonjak naik ke paras 1.6000 seperti yang berlaku pada tahun 2008. Paras-paras ini sudah pastinya dilihat agak keterlaluan. Berkemungkinan besar pasangan ini tidak akan mencecah kedua-dua paras melampau itu, manakala julat ayunannya pula adalah lebih kecil. Paling tidak, itulah yang dinyatakan oleh penganalisis-penganalisis terkemuka, dan kami akan sampaikan ramalan mereka.

 

Apa yang Bull Jangkakan untuk EUR/USD

Pakar strategi di Deutsche Bank menjangkakan pasangan ini mungkin akan kembali berada di kedudukan antara Februari-Mac 2022 pada tahun 2023 (pada julat turun naik selama dua bulan antara 1.0800-1.1500). Mereka berpendapat, hal ini akan terjadi jika situasi geopolitik tidak bertambah baik dan sama seperti yang dialami pada enam bulan terakhir tahun 2022. Namun, pada pandangan mereka, keadaan dolar yang lemah seperti itu hanya akan berlaku jika pihak Rizab Persekutuan mula melonggarkan polisi kewangan mereka pada enam bulan terakhir tahun 2023.

Ini pula yang mungkin tidak akan berlaku. Jika diingat, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berkata pada sidang akhbar mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) untuk bulan Disember lalu bahawa penggubal dasar berkenaan akan memastikan kadar faedah mereka kekal pada nilai tertinggi sehinggalah mereka benar-benar pasti kadar inflasi mengikuti trend penurunan yang stabil. Kadar asasnya boleh dinaikkan sehingga 5.1% dalam tahun 2023 dan terus kekal tinggi sehinggalah tahun 2024. (Jika diingat 4.6% adalah kadar paling tinggi yang dinyatakan dalam sidang akhbar bulan September). Menurut Jerome Powell, Rizab Persekutuan sedar bahawa kenaikan ini akan mencetuskan kegawatan ekonomi, namun mereka sanggup menanggung kesannya bagi mengawal kadar inflasi.

Perlu diketahui bahawa pendirian Bank Persekutuan AS agak bertentangan dengan pendirian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mencadangkan supaya menghentikan terlebih dahulu kenaikan kadar faedah. Pihak PBB percaya bahawa keadaan polisi kewangan yang lebih ketat boleh mengakibatkan kerosakan teruk kepada negara-negara membangun, dan negara-negara ini sudah pun menderita daripada kenaikan kos barangan dari Amerika Syarikat.

Selain daripada memberi tekanan kepada Rizab Persekutuan, terdapat cara lain untuk mengimbangkan nilai dolar, malah mungkin melemahkannya. Inilah tindakan yang dilaksanakan oleh pihak ECB dan beberapa lagi Bank Negara lain yang ditunjukkan beberapa bulan kebelakangan ini dengan menaikkan kadar faedah mereka sendiri. Seperti yang kami nyatakan dalam ulasan sebelum ini, mata wang Kesatuan Eropah telah berjaya memberi saingan hebat kepada dolar sepanjang tiga bulan terakhir dalam tahun 2022 dan menolak kedudukan EUR/USD kira-kira 1,200 mata ke atas.

Sebagaimana rakan sejawatnya di luar negara, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde juga menunjukkan pendirian hawkish semasa berlangsungnya sidang akhbar pada 15 Disember lalu dan menyatakan dengan jelas bahawa pengetatan kuantitatif (QT) di Eurozone belum berakhir lagi: kadar faedah euro akan mengalami beberapa kenaikan lagi dalam tahun 2023. Pihak ECB juga merancang untuk mengurangkan jumlah penyata imbang mereka bermula pada bulan Mac nanti.

Untuk permulaan tahun 2023, jurang antara kadar faedah dolar dan euro adalah 200 mata asas (masing-masing 4.5% dan 2.5%). Pasaran swap menjangkakan penggubal Kesatuan Eropah itu mungkin akan menaikkan 100 bp lagi pada tahun depan, dan kenaikan ini akan memberi sedikit sokongan kepada EUR/USD.

Pakar ekonomi di Bank of America Global Research bersetuju dengan perkembangan ini. “Mengikut senario yang menjadi garis dasar kami,” jelas mereka, “nilai dolar AS akan terus kukuh pada awal 2023 dan kedudukannya itu akan mengikuti trajektori menurun yang stabil setelah pihak Rizab Persekutuan memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka.” Menurut BofA, bermula pada Q2, nilai dolar akan menjadi lemah, dan kadar EUR/USD akan naik kepada 1.1000.

German Commerzbank menyokong senario ini. “Melihat kepada perubahan pendirian Rizab Persekutuan terhadap kadar faedah mereka serta keengganan pihak ECB untuk menurunkan kadar faedahnya […], kami mensasarkan kadar EUR/USD untuk tahun 2023 adalah 1.1000,” ramal pakar ekonomi kumpulan perbankan itu.

Konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale juga bersetuju dengan nilai dolar yang lemah serta pertumbuhan kadar pasangan ini. Jelas Kit Juckes, Ketua Strategi FX Global di SocGen, “kami jangkakan perbezaan hasil bon 10 tahun AS dan Jerman akan berkurang daripada 180 mata asas kepada 115 mata asas menjelang akhir Q1, manakala perbezaan antara kadar faedah 2 tahunnya akan turun daripada 190 bp kepada kurang dari 1%. Kedudukan EUR/USD adalah melebihi 1.1500 pada kali terakhir kita melihat perbezaan antara kadar faedah dan hasil perolehan seperti ini, dan paras inilah yang akan dicapainya pada hujung Q1 jika pertumbuhannya terus berlaku pada kadar yang sama seperti ketika ia mencecah paras 0.9500 pada hujung September lalu ".

 

Apa yang Bear Jangkakan untuk EUR/USD

Penganalisis di Agensi Ramalan Ekonomi menjangkakan pertumbuhan pasangan ini ke paras 1.1160 pada tahun hadapan, namun, mereka berpendapat, kedudukannya itu akan turun dengan stabil dan mencecah 1.0430 pada akhir Q2, 1.0050 pada hujung Q3, dan 0.9790 menjelang akhir tahun.

Pakar ekonomi di Internationale Nederlanden Groep mengambil pendirian yang lebih radikal. ING berasa sangat yakin bahawa semua tekanan yang dihadapi pada tahun 2022 akan terus berlaku pada tahun 2023. Harga sumber tenaga yang tinggi akan terus memberi tekanan kepada ekonomi di Eropah. Tekanan yang lebih besar akan mereka hadapi jika pihak Rizab Persekutuan AS menghentikan pencetakan wang murahnya terlebih dahulu berbanding ECB. Para penganalisis kumpulan perbankan terbesar di Belanda ini percaya bahawa kadar tukaran euro berbanding dolar sebanyak 0.9500 adalah mencukupi pada Q1 2023, namun, mungkin akan naik ke kadar pariti 1.0000 pada Q4.

Kebanyakan penganalisis berwibawa yang lain turut memberi sokongan kepada mata wang AS. Antaranya, Dave Schabes dari  Fakulti Polisi Umum Harris di University of Chicago percaya bahawa peperangan antara Rusia dan Ukraine memberi ancaman kepada pertumbuhan ekonomi yang lemah di seluruh Eropah serta memanjangkan lagi krisis tenaga di benua itu sehingga tahun 2023 malah mungkin tahun 2024. Menurut ahli sains berkenaan, ini adalah faktor khusus yang menyumbang kepada pengukuhan nilai dolar. “Dolar AS sering dianggap sebagai mata wang selamat nombor satu di dunia sewaktu berlakunya pergolakan politik mahupun ketenteraan,” beliau berkata.

Eric Donovan, ketua Pelaburan Berinstitusi FX di StoneX, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan turut berkongsikan pendapat yang sama. “Punca kepada pengukuhan lebih tinggi nilai dolar adalah kerana ia masih dianggap sebagai mata wang selamat dan nilainya akan terus kukuh selagi pasaran berada di dalam keadaan berhati-hati,” jelas beliau. Justeru, dolar akan terus kukuh berbanding mata wang Eropah selagi peperangan belum berakhir.

***

Tahun 2022 yang telah berlalu dipenuhi dengan rintangan: masalah yang berpunca daripada pandemik coronavirus telah bertambah dengan peristiwa tragik yang berlaku di Ukraine, semua ini telah memberi kesan teruk kepada ekonomi global. Namun, seperti yang dikatakan oleh Raja Solomon kepada Raja Etiopia: “Semua ini pasti akan berakhir.” Kami benar-benar ingin mempercayainya.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami