Mei 28, 2023

EUR/USD: Dolar Menunggu A.S. Bankrap

  • Nilai dolar semakin kukuh sejak 4 Mei lalu. Pada minggu lepas, 26 Mei, Indeks DXY mencecah kadar 104.34. Ini adalah ketinggian yang biasa didudukinya sejak pertengahan Mac 2023. Apa yang mendorong pertumbuhan nilai mata wang A.S. itu, dan seterusnya, menolak pasangan EUR/USD ke bawah? Menurut para penganalisis di Commerzbank, “keadaan yang benar-benar tenang dalam pasaran opsyen menggambarkan bahawa kuasa pendorong di sebalik kadar tukaran EUR/USD adalah pertimbangan mengenai polisi kewangan dan bukannya rundingan kadar siling hutang A.S.” Perlu sedia maklum bahawa kadar kebarangkalian untuk kenaikan kadar faedah semasa mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) pada 14 Jun nanti semakin bertambah sepanjang bulan Mei. Pada awal bulan, kemungkinan kadar faedahnya dinaikkan adalah hampir 0%, tetapi menjelang akhir bulan, kadar kebarangkaliannya telah mencecah 50%. Ekonomi A.S. rupa-rupanya dapat bertahan dengan lebih baik berbanding ekonomi di negara lain, manakala kemerosotan jumlah pembiayaan tidaklah seteruk dan sepantas seperti yang dibimbangi pada awalnya.

    Benar,  50% masih lagi separuh daripada 100%. Lebih-lebih lagi, pihak FOMC telah mengeluarkan minit mesyuarat kali terakhir mereka pada hari Rabu, 24 Mei, dan frasa utama mengenai pengetatan polisi kewangan tambahan yang mungkin dilaksanakan langsung tidak dinyatakan. Dokumen tersebut juga mendedahkan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa mengenai kenaikan lebih tinggi kadar faedah. Namun, walaupun dengan semua perkara itu, peningkatan selera pasaran terhadap aset selamat dalam menjangkakan A.S. yang berpotensi untuk gagal membayar hutang terus memberikan sokongan kepada dolar.

    Kerajaan Amerika Syarikat telah mentadbir dengan hutang yang sudah pun berjumlah lebih daripada $31 trilion. Jika pihak Kongres tidak menaikkan had yang dibenarkan menjelang 1 Jun nanti, kerajaan A.S akan diisytihar sebagai gagal membayar hutang. Setiausaha Perbendaharaan iaitu Janet Yellen telah berulang kali memberikan amaran tentang perkara ini. Walau bagaimanapun, tarikh sebenar untuk negara itu jatuh muflis mungkin lain sedikit berbanding “Hari X” iaitu 1 Jun. Sebagai contoh, Deutsche Bank menjangkakan akhir Julai adalah tarikh sebenar, manakala Morgan Stanley pula menyebut sama ada 7-14 Jun atau 21-28 Julai, dan Goldman Sachs pula menjangkakan akhir bulan September.

    Penulis-penulis majalah The Economist dari British menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan para pembaca mereka dengan menyatakan bahawa kebankrapan negara A.S. akan menyebabkan pasaran saham global runtuh dan menanam perasaan panik dalam ekonomi global. Mengikut anggaran Majlis Penganalisis Ekonomi di White House, pasaran sekuriti akan jatuh sebanyak 45% pada bulan pertama setelah berlakunya krisis. Agensi Moody menjangkakan penurunan kira-kira 20%, namun kadar pengangguran akan meningkat sebanyak 5%.

    Bagi ahli politik, perbincangan berkenaan penambahan had siling hutang terus berjalan. Pada hari Rabu, 24 Mei lalu, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat iaitu Kevin McCarthy maklum bahawa masih ada perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai persetujuan. Namun, tambah beliau lagi negara itu tidak akan jatuh muflis. Presiden Joe Biden juga menyampaikan rasa yakin beliau tentang persetujuan yang akan dicapai bersama pihak Republikan. Kedua-dua pihak ingin mencapai persetujuan kerana tahun depan adalah tahun pilihan raya di Amerika Syarikat.

    David Malpass, Presiden Bank Dunia dalam satu temubual bersama CNN menyatakan bahawa beliau tidak bimbang tentang kegagalan membayar hutang kerana situasi itu berlaku setiap beberapa tahun. (Untuk rujukan, had siling hutang A.S. telah wujud sejak tahun 1917 dan telah dinaikkan sebanyak 78 kali sejak tahun 1960).

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, statistik menunjukkan bahawa ekonomi di A.S. dijangka akan kukuh. Kadar anggaran KDNK untuk Q1 telah disemak semula dan dinaikkan daripada 1.1% kepada 1.3%. Dalam masa yang sama, jumlah tuntutan awal manfaat pengangguran sebenarnya turun kepada 229K dan bukannya 250K seperti yang diunjur. Jumlah pesanan barang tahan lama naik sebanyak 1.1%. Jumlah ini mengikuti pertumbuhan yang sama untuk bulan Mac iaitu 3.3% dan jauh melebihi jangkaan pasaran yang menjangkakan penurunan sebanyak 1.0%. Akhir sekali, kadar Indeks Aktiviti Kebangsaan dari Rizab Persekutuan Chicago untuk bulan April naik daripada -0.37% kepada +0.07.

    Bank pelaburan Goldman Sachs menjangkakan nilai dolar yang lebih kukuh disebabkan oleh kurangnya daya penarik daripada mata wang alternatif yang lain. Menurut para penganalisis bank tersebut, buat masa ini tiada pesaing serius di dunia yang mampu merebut status rizab daripada dolar, termasuklah euro. Tidak seperti ekonomi Amerika, ekonomi di Eurozone tidak menggembirakan para pelaburnya. Jika anggaran awal kadar KDNK Jerman untuk Q1 adalah -0.1%, realiti sebenar menunjukkan penurunan kepada -0.3%. Selain itu, kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan di Jerman susut (42.9 berbanding 44.5 untuk nilai sebelum ini dan 45.0 yang diunjur), perkara sama turut berlaku kepada indeks suasana perniagaan (IFO) di negara itu (91.7 berbanding 93.4 untuk kadar sebelum ini dan 93.0 yang diunjur).

    Memulakan minggu pada kedudukan 1.0805, kadar EUR/USD mencecah paras terendah mingguannya iaitu 1.0701 pada 25 Mei, dan menjelang berakhirnya minggu lima hari bekerja (petang Jumaat, 26 Mei), pasangan itu didagangkan di sekitar 1.0725. Untuk prospek jangka pendek, buat masa ini majoriti penganalisis (55%) menjangkakan pembetulan ke atas. 20% lagi mengunjurkan nilai dolar yang lebih kukuh, manakala baki 25% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan indikator pada carta harian (D1), kelebihan besar memihak kepada dolar: 100% pengayun berwarna merah (walaupun satu pertiga daripadanya telah menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan), dan dalam kalangan indikator trend, 85% memihak warna merah (15% berwarna hijau). Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0680-1.0710, diikuti dengan zon dan paras 1.0620 dan 1.0490-1.0525. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0800-1.0835, diikuti dengan 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985, 1.1045, 1.1090-1.1110, 1.1230, 1.1280, dan 1.1355-1.1390.

    Minggu hadapan akan dipenuhi dengan beberapa perkara penting. Kadar Indeks Keyakinan Pengguna AS akan diketahui pada hari Selasa, 30 Mei. Data pengangguran serta kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan dikeluarkan keesokan harinya, manakala hari Khamis pula, kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam aktiviti perniagaan di Jerman akan dikeluarkan. Pada 1 Jun, kadar awal Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone serta minit mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank Negara Kesatuan Eropah yang terkini akan diketahui. Disamping itu, terdapat sejumlah besar data ekonomi di AS yang akan dikeluarkan, termasuklah data pasaran buruh serta kadar PMI Institute for Supply Management's (ISM) dalam sektor pembuatan di AS. Menjadi kebiasaan, hari Jumaat pertama untuk musim panas kali ini akan memberikan beberapa statistik dari pasaran buruh di AS, termasuklah kadar pengangguran dan juga jumlah pekerjaan bukan dalam sektor perladangan yang ada di negara itu. Pedagang juga perlu maklum bahawa hari Isnin, 29 Mei adalah Hari Peringatan di Amerika Syarikat, maka tiada sebarang dagangan akan dijalankan.

GBP/USD: Satu Langkah Ke Depan, Satu Langkah Ke Belakang

  • Memang benar, pasangan GBP/USD telah bergerak satu langkah ke depan dan satu langkah ke belakang baru-baru ini. Walaupun ia kelihatan seperti menuju ke bawah, jika melihat carta dengan lebih dekat, pasangan ini mengakhiri minggu 26 Mei, hari Jumaat, pada kedudukan sama yang pernah didudukinya pada bulan April dan juga seminggu lalu. Dari satu sudut, nilai dolar yang lebih kukuh telah menolak pasangan ini ke bawah. Dari sudut yang lain pula, harapan bahawa kadar inflasi akan menggesa Bank of England (BoE) meneruskan kenaikan kadar faedah mereka untuk menghalang inflasi daripada naik lebih tinggi telah hancur berkecai.

    Kadar inflasi pengguna (CPI) di UK yang baru ternyata lebih tinggi berbanding jangkaan. Laporan bulan April menunjukkan peningkatan harga pengguna sebanyak 1.2% berbanding 0.8% pada bulan sebelum ini. Indeks teras CPI mencecah kadar tertinggi dalam beberapa tahun ini, mencecah 6.8% untuk tahun ke tahun dan bukan 6.2% seperti yang diunjur. Walaupun kadar inflasi tahunan sedikit menurun daripada 10.1% kepada 8.7%, kadar itu masih lagi tinggi berbanding 8.2% yang disasarkan. Walaupun itu adalah kadar paling rendah dalam tempoh 13 bulan, ia masih kekal tinggi berbanding kadar sasarannya.

    Sebagai respon kepada data-data ini, salah seorang ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of England iaitu Jonathan Haskel menyatakan bahawa beliau enggan memberikan komen mengenai harga pasaran tetapi tidak menolak kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi. Seorang lagi tokoh ternama, Jeremy Hunt selaku Kaunselor Perbendaharaan UK turut menyampaikan sokongan beliau terhadap polisi kewangan yang lebih ketat, walaupun jika langkah itu boleh memudaratkan ekonomi. Dalam satu temu bual bersama Sky News, beliau menyatakan bahawa “ini bukanlah satu persaingan antara membendung inflasi dan juga menghalang kegawatan ekonomi; akhirnya, satu-satunya jalan untuk pertumbuhan ekonomi yang lestari adalah dengan menurunkan kadar inflasi.” Ramai penganalisis percaya jika benar Bank of England akan menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 1.0% lagi, ekonomi UK akan mengalami kegawatan, memberikan tekanan besar kepada pound.

    Semasa ulasan ini dibuat, pasangan GBP/USD didagangkan di sekitar 1.2350. Pendapat para penganalisis buat masa ini adalah hampir neutral, dengan 40% memihak bullish, 30% memihak bearish, dan 30% lagi enggan memberi sebarang komen. Dalam kalangan pengayun pada tempoh masa D1, 100% mengesyorkan untuk jual (20% menunjukkan keadaan lebihan jualan). Dalam kalangan indikator trend, nisbah antara warna merah dan hijau adalah 65% dan 35%. Jika pasangan ini bergerak ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2300-1.2330, 1.2275, 1.2200, 1.2145, 1.2075-1.2085, 1.2000-1.2025, 1.1960, dan 1.1900-1.1920. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2390, 1.2480, 1.2510, 1.2540, 1.2570, 1.2610-1.2635, 1.2675-1.2700, 1.2820, dan 1.2940.

    Untuk perkara yang akan berlaku minggu hadapan, para pedagang boleh mengambil cuti pada hari Isnin, 29 Mei, kerana tarikh itu adalah hari cuti umum di UK dan AS. Namun, pada hari Khamis, 1 Jun, sedia maklum bahawa kadar Indeks Pengurusan Pembelian Pembuatan (PMI) dalam sektor pembuatan di negara itu akan dikeluarkan.

USD/JPY: Yen Mendapat "Tiket ke Bulan"

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 29 Mei - 02 Jun, 20231

  • Disebabkan oleh polisi berterusan Bank of Japan (BoJ) yang sangat-sangat longgar serta kenyataan Gabenor baru mereka iaitu Kadsuo Ueda yang sama sifatnya, yen telah menjadi mata wang paling lemah dalam kelompok mata wang DXY untuk bulan April. Dengan kadar kebarangkalian yang tinggi, ia juga dijangka akan kekal memegang gelaran itu pada bulan Mei. Minggu lalu, pasangan USD/JPY meneruskan perjalanannya ke bulan. Memulakan hari Isnin pada paras 137.93, ia menduduki paras yang lebih tinggi daripada 140.70 pada petang Jumaat, dan mengakhiri minggu sedikit rendah di zon 140.60.

    Mengikut kebanyakan penganalisis, pendirian dovish Bank of Japan boleh terus melemahkan lagi nilai mata wang Jepun dan mencadangkan laluan untuk USD/JPY yang paling kurang rintangannya adalah ke atas. Hal ini disokong dengan prospek kenaikan kadar faedah dolar AS serta pertambahan hasil perolehan bon Perbendaharaan yang baru, melebarkan lagi jurang kadar faedah antara AS dan Jepun serta menggalakkan aliran masuk modal dari JPY ke USD.

    Berkenaan prospek jangka pendek USD/JPY, perbezaan pendapat para penganalisis adalah seperti berikut. Buat masa ini, 75% daripada mereka berharap agar nilai mata wang Jepun akan menjadi kukuh walaupun untuk jangka masa pendek dan seterusnya mengalami pembetulan ke bawah. Hanya 25% penganalisis yang bersetuju dengan trajektori berterusan ke atas. Dalam kalangan indikator pada carta harian, dolar AS benar-benar memiliki kelebihan, dengan 100% indikator trend serta 100% pengayun menunjukkan pertumbuhan (namun 25% daripada pengayun menunjukkan situasi lebihan belian pasangan ini). Sokongan paling hampir berada di zon 139.85, diikuti dengan zon dan paras 138.75-139.05, 137.50, 135.90-136.10, 134.85-135.15, 134.40, 133.60, 132.80-133.00, 132.00, 131.25, 130.50-130.60, dan 129.65. Rintangan paling hampir berada pada paras 141.40, dan bull akan berdepan halangan pada paras 142.20, 143.50, dan 144.90-145.10. Paras tertinggi Oktober 2022 iaitu 151.95 tidak jauh dari kedudukan itu.

    Tiada sebarang maklumat penting berkaitan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Bitcoin Memerlukan Pencetus

  • Bitcoin terus menerima tekanan daripada para penjual untuk sepuluh minggu berturut-turut. Namun, walaupun sedang bergelut, ia berjaya kekal berada di zon sokongan/rintangan yang kukuh di sekitar paras $26,500. Pada hari Khamis, 25 Mei, di tengah-tengah nilai dolar yang menjadi semakin kukuh, bear melancarkan satu lagi serangan dan telah menolak pasangan BTC/USD ke bawah pada paras $25,860. Serangan yang sama dilihat telah berlaku pada 12 Mei apabila kedudukan pasangan ini turun kepada $25,799. Namun kedua-dua serangan itu telah berjaya ditangkis, dan tiada sebarang ribut yang berlaku.

    Para pelabur berasa nostalgia dengan mengingati permulaan hebat mata wang kripto terunggul itu pada suku pertama tahun ini. Namun, sejak daripada itu, telah berlakunya satu tempoh yang tenang serta penurunan aktiviti dagangan ke paras paling rendah sejak tiga tahun lalu. Sesetengah penganalisis percaya bahawa penurunan harga yang berlaku baru-baru ini telah gagal menimbulkan keghairahan dalam kalangan penjual dan pembeli. Dalam situasi ini, para pelabur teragak-agak untuk membelanjakan wang mereka. Menurut agensi analisis Glassnode, pemilik jangka panjang (lebih 155 hari) telah mengumpul sebanyak 14.5 juta coin BTC. Jika kita campurkan rizab yang ada pada bursa mata wang kripto serta lain-lain pusat pengumpulan ke dalam jumlah ini, nilai keseluruhannya adalah lebih tinggi. Malah para spekulator jangka pendek juga telah berhibernasi. Pasaran memerlukan pencetus, sama ada keputusan Rizab Persekutuan mengenai polisi kewangan mereka atau pun pengumuman kerajaan AS gagal membayar hutangnya.

    Terdapat dua senario yang boleh berlaku: sama ada diisytihar gagal membayar hutang (mungkin tidak berlaku), atau sebaliknya. Bagi situasi pertama, jika gagal membayar hutang, keyakinan para pelabur mengenai dolar AS sebagai mata wang rizab akan jatuh mendadak, memberi kelebihan kepada bitcoin sebagai aset selamat. Untuk situasi kedua, jika had siling dinaikkan, keadaan akan menjadi lebih mencabar buat mata wang kripto. Untuk menambah semula rizab tunai, pihak Perbendaharaan AS akan mengeluarkan sejumlah besar bon, menyebabkan pertambahan hasil perolehannya, dan para pelabur akan lebih berminat untuk melabur wang mereka ke dalam sekuriti-sekuriti ini berbanding BTC.

    Walau bagaimanapun, sangat penting untuk mengetahui bahawa pengumuman gagal membayar hutang boleh memberi kesan besar terhadap pasaran stablecoin. Ingatlah bahawa Tether, pengeluar coin USDT adalah salah satu pemegang terbesar bon Perbendaharaan AS, melebihi bon yang dimiliki negara-negara seperti Thailand dan juga Israel. Jumlah hutang ke atas sekuriti-sekuriti ini pada penyata imbang Tether adalah sebanyak $53 bilion, atau 64% daripada jumlah rizab mereka sendiri. Jumlah rizab inilah yang memberi sokongan kepada likuiditi USDT. Jika gagal membayar hutang, maka 1 stablecoin hanya bernilai 36 sen dan bukannya $1. Alternatif yang lain adalah USDT mungkin akan dihapuskan kewujudannya bersama-sama dengan Tether.

    Benar, situasi sekarang ini benar-benar kabur. Lebih-lebih lagi, peserta industri terus berasa bimbang dengan peningkatan tekanan undang-undang. Ketahuilah bahawa pada tahun 2023 saja, pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) AS telah memfailkan aduan terhadap bursa mata wang kripto Bittrex, Coinbase, Kraken, Gemini, dan Genesis. Disamping itu, pihak Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC) telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Binance dan CEO bursa tersebut iaitu Changpeng Zhao. Menurut Yassine Elmandjra, seorang penganalisis di ARK Invest, situasi ini telah mematahkan semangat pelabur-pelabur baru serta memberikan kesan negatif terhadap syarikat-syarikat sedia ada, memaksa mereka keluar dari Amerika Syarikat dan berpindah ke negara-negara yang lebih mesra kripto seperti UAE, Korea Selatan, Australia, dan Switzerland. (Menurut Coin Metrics, jumlah dagangan bitcoin di AS telah jatuh sebanyak 75% sejak dua bulan lalu, daripada $20 juta setiap hari pada bulan Mac kepada $4 juta pada bulan Mei).

    Michael Saylor, CEO syarikat MicroStrategy percaya bahawa campur tangan undang-undang secara aktif sebenarnya akan memberi manfaat kepada bitcoin kerana ia akan menimbulkan masalah kepada para pesaingnya. Saylor memberi penekanan terhadap pertambahan minat pelabur yang beralih daripada token lain kepada bitcoin. Menurut beliau, pesaing-pesaing BTC secara semulajadi akan pupus setelah menerima desakan undang-undang industri secara berterusan. Perkara ini menjadi lebih ketara setelah Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler menyebut bahawa “semua kecuali bitcoin” adalah tertakluk di bawah undang-undang sekuriti. Saylor percaya bahawa “token kripto serta sekuriti kripto akan dikawal selia, dan mungkin akan pupus. Bitcoin adalah satu-satunya komoditi yang tidak akan dikawal selia oleh SEC. Bitcoin adalah rangkaian serta aset paling selamat.” Beliau menjangkakan aliran modal akan berterusan keluar daripada coin-coin kripto lain dan masuk ke dalam Bitcoin, dan beliau sudahpun melihat permulaan kepada kitaran bullish yang baru. (Sehingga 4 April, 2023, MicroStrategy bersama-sama anak syarikatnya memiliki kira-kira 140,000 BTC, menjadikannya salah satu pemilik terbesar mata wang kripto. Syarikat itu telah membayar sebanyak $4.17 bilion untuk coin-coin tersebut. Justeru, harga purata pembeliannya adalah $29,803 bagi setiap bitcoin).

    Pendapat berbeza telah diberikan oleh penganalisis Bloomberg iaitu Mike McGlone yang menjangkakan harga bitcoin jatuh ke paras sokongan $7,366. Jangkaan ini adalah berdasarkan kepada pergerakan menurun bagi pergerakan purata (MA) sepanjang 52 minggu yang dilihat pada carta BTC. McGlone sedar bahawa sebelum lonjakan hebat yang berlaku pada tahun 2020, garis ini bergerak ke atas dan tidak seharusnya turun. Menurut penganalisis itu, trend negatif ini akan terus berlaku, dan mata wang kripto akan berdepan dengan keadaan yang mencabar. (Sedia maklum bahawa tidak lama sebelum ini, pada hujung tahun lalu, McGlone melihat sepenuhnya pada arah bertentangan. Ketika itu, menurut jangkaan beliau, nilai bitcoin seharusnya naik kepada $100,000).

    Disebabkan ketiadaan pencetus fundamental, para penganalisis memberikan lebih perhatian kepada analisis teknikal. Sebagai contoh, pedagang dengan nama gelaran Dave the Wave yang telah beberapa kali meramal dengan tepat percaya bahawa buat masa ini Bitcoin sedang mengalami penyatuan di “zon beli” dalam lengkung pertumbuhan logaritma. Lengkung ini menilai kedudukan tertinggi dan terendah jangka panjang mata wang kripto terunggul itu sepanjang kitaran hidupnya, menyingkirkan kemeruapan jangka masa pendek. Penganalisis itu maklum bahawa berdasarkan kepada struktur pasaran semasa, penembusan keluar dari saluran penyatuan ini boleh menjadi isyarat kepada pertumbuhan nilai melebihi $32,000. Justeru, menurut Dave the Wave, sebarang pembelian lebih rendah daripada $31,000 masih dianggap sebagai urusan jual beli yang cemerlang. Berdasarkan kepada anggaran bersifat konservatif, beliau mensasarkan harga bitcoin seharusnya berada di sekitar $40,000 menjelang hujung tahun ini.

    Michael van de Poppe, seorang penganalisis, pedagang dan pengasas platform rundingan EightGlobal memaklumkan para pengikut Twitter beliau bahawa kejayaan menguji semula paras sokongan $26,280 (MA200) boleh menjadi petanda bahawa sudah berakhirnya proses pembetulan dan penyatuan mata wang kripto terunggul itu. Justeru, adalah dinasihatkan untuk membeli bitcoin pada harga tersebut. “Jika melihat keadaan sebelum-sebelum ini, tempoh menguji semula garis purata pergerakan 200 hari sering menjadi waktu terbaik untuk mengumpul bitcoin. Sepanjang enam bulan lalu, Bitcoin menghabiskan masanya bergerak di bawah indikator ini, menjadikannya [BTC] dinilai lebih rendah. Minggu hadapan adalah sangat penting - menguji semula dengan cepat dan bergerak ke atas akan menandakan berakhirnya pembetulan bitcoin,” jelas penganalisis kripto tersebut. Michael van de Poppe berasa yakin bahawa untuk bitcoin mengesahkan pertumbuhan nilainya pada masa hadapan, ia perlu teguh berada di atas paras $27,000 dengan sendirinya.

    Benarlah seperti apa yang sering orang katakan, “Lain penyakit, lain ubatnya.” Dalam perkara ini, bolehlah disebut sebagai “Lain analisis, lain unjurannya.” Pandangan daripada wakil-wakil komuniti kripto menerusi kaji selidik penerbitan online iaitu BeInCrypto juga agak bertentangan rupa-rupanya. Sebagai contoh, unjuran oleh blogger popular iaitu CryptoKaleo tidak menolak tentang kemungkinan bitcoin mencecah paras tertinggi mingguan yang baru. Isyarat yang menunjukkan pertumbuhan nilai coin itu turut dapat dikesan oleh pedagang yang dikenali sebagai DaanCrypto. Beliau menumpukan perhatian pada lantunan BTC daripada purata pergerakan MA200 mingguan. Dari sudut analisis teknikal, pergerakan mata wang kripto seperti itu mungkin menunjukkan peningkatan selera pembeli.

    Dari sudut yang lain pula, blogger kripto Nebraskangooner melihat isyarat nilainya menjadi lemah pada carta. Unjuran beliau tidak menolak penurunan harga mata wang kripto kepada $25,500. Menurut blogger itu, hal ini ditunjukkan oleh pergerakan coin itu yang keluar daripada formasi segitiga simetri pada carta. Unjuran negatif Bitcoin turut mendapat sokongan daripada penganalisis Inmortal yang biasanya bersikap optimis, beliau mensasarkan penurunan ke paras $22,000. Namun, Inmortal berasa yakin bahawa mata wang kripto itu mampu untuk pulih ke kedudukan asalnya dengan cepat.

    Sehingga malam Jumaat, 26 Mei, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $26,755. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $1.123 trilion ($1.126 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto kekal tidak berubah secara relatifnya sepanjang tujuh hari lalu dan buat masa ini berada di zon Neutral pada paras 49 mata (48 mata seminggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami