Disember 23, 2023

Unjuran: Perkara yang Boleh Dijangka Daripada Euro dan Dolar Untuk tahun 20241 

Menjadi kebiasaan, kami akan berikan unjuran daripada institusi-institusi kewangan global berkenaan mata wang pada penghujung tahun semasa dan permulaan tahun baru. Dengan mempraktikkan perkara ini untuk beberapa tahun, kami bukan saja dapat meninjau tentang perkara yang bakal berlaku, malah juga mengulas ramalan-ramalan yang diberikan penganalisis sebelum ini serta menilai kadar ketepatannya.

 

2022: Permulaan

Sama seperti dunia yang baru mula menyesuaikan diri untuk hidup dalam keadaan kuarantin akibat daripada coronavirus, peperangan pula memunculkan diri. Serangan ketenteraan Rusia terhadap Ukraine pada Februari 2022 serta sekatan anti Rusia yang dilaksanakan selepas itu telah memburukkan lagi masalah ekonomi yang dihadapi serta menambah kadar pertumbuhan inflasi di kebanyakan negara, walaupun jauh daripada rantau itu.

Disebabkan kedudukan negara-negara EU yang agak hampir dengan zon konflik, kebergantungan mereka terhadap sumber tenaga asli Rusia, ancaman serangan nuklear, serta konflik yang berpotensi untuk merebak ke negara-negara lain memberi tamparan hebat kepada ekonomi di Eurozone. Dalam keadaan seperti itu, pihak Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) perlu bertindak dengan berhati-hati bagi mengelak daripada ekonominya benar-benar runtuh. Amerika Syarikat mendapati keadaan yang dialami mereka adalah lebih baik, hal ini membolehkan pihak Rizab Persekutuan yang mensasarkan untuk mengurangkan tekanan inflasi memulakan kitaran kenaikan kadar faedah mereka pada 16 Mac. Langkah ini bertindak menjadi pemangkin kepada pengukuhan nilai dolar, dan pada 14 Julai, kadar EUR/USD berada di bawah paras pariti 1.0000 buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, mencecah kedudukan terendahnya iaitu 0.9539 pada 28 September. Pada pertengahan Julai, Bank Negara Kesatuan Eropah juga mula menaikkan kadar euro secara beransur-ansur. Hasilnya, memasuki tahun baru 2023, pasangan EUR/USD berada pada paras 1.0700.

 

2023: Ramalan Siapakah Terbukti Lebih Tepat

Pandemik coronavirus mula reda, dan pada 5 Mei, WHO telah mengisytiharkan bahawa COVID-19 bukan lagi satu bentuk darurat di peringkat global. Secara beransur-ansur, pelbagai negara mula melonggarkan pelaksanaan kuarantin mereka. Serangan ketenteraan di Ukraine berubah menjadi satu konflik berpanjangan. Perang terhadap inflasi secara perlahan-lahan mula menunjukkan kejayaan, dan ekonomi pula telah berjaya menerima keadaan kadar faedah serta harga bahan api yang tinggi. Bencana di peringkat global telah berjaya dielakkan, dan cadangan-cadangan mengenai pelonggaran polisi terutama sekali bagi ekonomi di A.S. dan mungkin juga di Eurozone semakin kuat dikemukakan.

Pada tahun 2022, julat maksimum turun naik EUR/USD adalah melebihi 1,700 mata, namun pada tahun 2023, nilainya adalah separuh iaitu 828 mata. Pasangan ini mencecah paras kemuncaknya pada 18 Julai, naik ke paras 1.1275. Ia berada pada kedudukan paling rendahnya iaitu 1.0447 pada 3 Oktober dan mengakhiri bulan Disember dengan berada di antara 1.0900-1.1000 (semasa ulasan ini dibuat), tidak jauh daripada paras pada bulan Januari.

Maka, bagaimanakah unjuran yang diberi penganalisis untuk tahun 2023? Unjuran paling terpesong telah diberikan oleh pihak Internationale Nederlanden Groep. ING dengan yakin menyatakan bahawa semua faktor-faktor yang memberi tekanan pada tahun 2022 tetap akan terus berlaku pada tahun 2023. Harga bahan api yang tinggi akan terus membebankan ekonomi di Eropah. Tekanan yang lebih besar boleh dihadapi jika Rizab Persekutuan A.S. berhenti daripada mencetak wang kertas lebih awal berbanding ECB. Menurut penganalisis dari kumpulan perbankan utama Belanda itu, kadar euro sebanyak 0.9500 bagi setiap dolar telah diramal untuk Q1 2023, dan boleh naik lagi selepas itu, mencecah nilai setara 1.0000 pada Q4.

Ramalan penganalisis di The Agency for Economic Forecasting adalah tepat bagi dinamik EUR/USD untuk Q1: mereka menjangkakan kadarnya naik kepada 1.1160 (realitinya, ia naik kepada 1.1033). Namun, mereka mengunjurkan penurunan berterusan pasangan ini, mencecah paras 1.0050 menjelang hujung Q3 dan mengakhiri tahun pada paras 0.9790. Jangkaan ini salah sama sekali.

Namun bukan bear saja yang salah memberikan unjuran; bull bagi pasangan euro/dolar juga membuat kesilapan. Sebagai contoh, konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale menjangkakan nilai dolar menjadi lemah serta pertumbuhan kadar pasangan ini. Namun, unjuran pertumbuhan di atas paras 1.1500 menjelang akhir Q1 yang mereka berikan adalah terlalu radikal. Pakar strategi di Deutsche Bank melihat turun naik pasangan ini di antara julat 1.0800-1.1500. Namun, pada pandangan mereka, pertumbuhan pasangan ini ke kedudukan sempadan atas hanya boleh berlaku jika pihak Rizab Persekutuan mula melonggarkan polisi kewangan mereka pada setengah tahun kedua 2023. (Kini kita tahu tiada pelonggaran dibuat, tetapi kadarnya kekal pada 5.50% sejak bulan Julai).

Ramalan paling tepat telah diberikan oleh Bank of America dan juga Commerzbank di Jerman. Mengikut senario asas yang dibuat oleh Bank of America, dolar A.S. dijangka terus kukuh pada awal 2023 dan mula lemah secara perlahan-lahan, menyebabkan pasangan EUR/USD naik ke paras 1.1000 setelah Rizab Persekutuan menghentikan sementara pengetatannya. Commerzbank menyokong senario ini, dan menyebut, “Mengambil kira perubahan kadar faedah Rizab Persekutuan serta mengandaikan bahawa pihak ECB enggan menurunkan kadar faedah mereka […], kadar sasaran kami untuk EUR/USD bagi tahun 2023 adalah 1.1000”, sebagai kata putus oleh pakar strategi dari konglomerat perbankan itu.

 

2024: Apa yang Bakal Tiba Pada Tahun Baru

Apakah yang akan menanti euro dan dolar pada tahun 2024 yang bakal tiba nanti? Penting untuk ketahui bahawa terdapat perbezaan ketara dalam unjuran disebabkan oleh bermacam-macam “kejutan” yang wujud baru-baru ini serta pelbagai masalah berbangkit yang perlu diselesaikan pada masa hadapan. Persoalan-persoalan yang timbul adalah mengenai situasi geopolitik, pendirian  dan rentak polisi kewangan Rizab Persekutuan serta Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB), keadaan ekonomi serta pasaran buruh, sejauh manakah pengawalan harga bahan api, siapa yang akan dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat pada November nanti, pengakhiran perang antara Rusia dan Ukraine serta perkembangan konflik antara Israel dan Hamas, dan keseimbangan kuasa dalam persaingan antara U.S.-China. Jawapan kepada semua ini dan lain-lain persoalan masih belum lagi diketahui. Dengan pelbagai faktor yang tidak menentu, para penganalisis masih belum mencapai kata sepakat.

Komen bersifat dovish yang dibuat oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell baru-baru ini serta kenyataan yang agak hawkish oleh Presiden ECB iaitu Christine Lagarde telah menyebabkan pasaran untuk percaya bahawa Rizab Persekutuan akan menerajui pelonggaran polisi kewangan dan menurunkan kadar faedah mereka pada tahun 2024. Jika pasaran tidak menerima isyarat sebaliknya, dolar A.S. akan terus berdepan tekanan. Societe Generale percaya kadar Indeks Dolar (DXY) boleh susut daripada kedudukan 102.50 sekarang kepada paras lebih rendah daripada 100, mungkin serendah 97 mata. Satu undian yang dijalankan Reuters terhadap para penganalisis juga menunjukkan nilai dolar A.S. seharusnya menjadi lebih lemah pada tahun hadapan. Satu ulasan oleh laman web Investing.com menjangkakan bahawa pasangan EUR/USD berpotensi untuk mencecah paras 1.1500, tertakluk kepada pelbagai keadaan keadaan geopolitik dan makroekonomi.

Mengikut senario asas yang diberi oleh UBS Wealth Management, kelembapan pertumbuhan ekonomi di A.S., penurunan kadar inflasi, serta jangkaan kadar faedah yang rendah seharusnya menyokomg pasaran saham dan bon. Berkenaan dengan pasangan EUR/USD, UBS menjangkakan ia berada pada paras 1.1200. Penganalisis di bank tersebut menjangkakan pengukuhan sementara euro berbanding dolar sebelum menjadi lemah selepas itu. Mereka meramalkan kadarnya akan naik kepada 1.1200 pada Jun 2024, kemudian turun kepada 1.0800 menjelang Mac 2025.

Pakar ekonomi di ING membuat kira-kira bahawa pada setengah tahun kedua 2024, kadar EUR/USD masih lagi akan naik menuju paras 1.1800. Walau bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa unjuran ini berdasarkan kepada trajektori polisi Rizab Persekutuan dan ECB sepenuhnya. Mereka maklum, “Perbezaan kadar bukan satu-satunya faktor penentu kepada pergerakan EUR/USD”. Kadar pertumbuhan yang rendah di Eurozone serta keadaan politik yang tak menentu berkenaan pengenalan semula Pakatan Kestabilan dan Pertumbuhan (Stability and Growth Pact) mencadangkan bahawa pasangan EUR/USD akan mengakhiri tahun ini pada paras 1.0600, manakala paras tertinggi untuk tahun 2024 adalah hampir kepada 1.1500 dan bukannya 1.1800.

Pakar-pakar ekonomi di Fidelity International, JPMorgan, dan HSBC tidak menolak senario di mana penggubal dasar seperti ECB dan Bank of England mungkin akan menjadi yang terdahulu sebelum Rizab Persekutuan dalam melonggarkan polisi kewangan mereka.

Pakar strategi di Goldman Sachs percaya bahawa walaupun prospek bagi dolar mungkin menjadi lebih teruk pada tahun 2024, ekonomi A.S. yang kukuh dan stabil akan mengehadkan penurunan nilai mata wangnya. Mereka menjangkakan bahawa dolar masih lagi dipandang tinggi, dan pelabur lebih cenderung dengan hakikat tersebut, sesuatu yang akan terus “kukuh buat jangka masa panjang”, dan sebarang penurunan adalah tidak begitu ketara. Ekonomi A.S. adalah sangat kukuh untuk mereka menurunkan sepenuhnya 150 mata asas pada tahun 2024.

Danske Bank, Westpac, dan HSBC juga percaya bahawa menjelang hujung tahun 2024, nilai dolar akan menjadi lebih kukuh berbanding euro dan pound British. Unjuran ABN Amro bagi akhir tahun hadapan pula mengandaikan ia berada pada kadar 1.0500, manakala Agency for Economic Forecasting pula mengunjurkan paras 1.0230.

***

Dalam perjanjian tentera kuno China “The Thirty-Six Stratagems” ada menyatakan, “Mereka yang ingin meramal segalanya tidak lagi akan berwaspada”. Benar, agak mustahil untuk meramalkan segalanya. Namun satu perkara yang benar-benar pasti: dua belas bulan yang bakal tiba nanti akan dipenuhi dengan kejutan, sama seperti dua belas bulan sebelum ini. Maka, terus berwaspada, dan rezeki akan menjadi milik anda.

Selamat Tahun Baru 2024 yang bakal tiba! Tahun yang akan menjadi sangat menarik.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami