April 20, 2024

EUR/USD: Terhenti Setelah Nilainya Melonjak

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 22 - 26 April, 20241

● Minggu lalu, 60% penganalisis mengambil pendirian neutral dalam membuat unjuran dan ramalan mereka terbukti tepat. Gandingan EUR/USD melalui minggu yang tenang, malah ada ketikanya membosankan, bergerak di sepanjang garis 1.0650 dalam koridor di antara 1.0600-1.0690 yang sempit. Kegembiraan peserta pasaran baru saja reda daripada lonjakan yang berlaku pada hari sebelumnya, dengan bull dolar berjaya mengaut pulangan dan golongan bear pula meratapi kesedihan. Nilai mata wang Amerika mencapai kadar tertingginya dalam tempoh lima bulan jika dibandingkan dengan euro, pound British, dolar Australia dan New Zealand, manakala gandingan USD/JPY pula sekali lagi merekodkan kedudukan paling tinggi dalam tempoh 34 tahun, dan indeks DXY mencecah paras 106.42.

Data makroekonomi di A.S yang jelas menunjukkan inflasi mula memberi kesannya pada 8 Mac dengan laporan tenaga buruh. Data NonFarm Payrolls melebihi jangkaan dengan jumlah 275K berbanding 229K pada bulan sebelumnya dan 198K yang diunjur, mendorong pertumbuhan nilai dolar. Satu lagi pendorong hadir pada 10 April dengan data inflasi di A.S. yang baru menunjukkan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk tahun ke tahun meningkat sebanyak 3.5%, kadar tertinggi dalam tempoh enam bulan, memadamkan mana-mana harapan untuk penurunan kadar akan dilaksanakan pada bulan Jun, menolak tinggi kadar Indeks Dolar ke atas.

● Data makroekonomi untuk minggu lalu hanya mengukuhkan imej ekonomi A.S. yang teguh dengan keadaan pasaran buruh yang ketat. Jumlah tuntutan bagi manfaat pengangguran berada pada nilai yang agak rendah iaitu 212K, manakala indikator bagi aktiviti pembuatan mencatatkan nilai paling tingginya dalam tempoh dua tahun. Data jualan runcit yang dikeluarkan pada 15 April lalu menunjukkan kadar yang hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding 0.4% yang diunjurkan, kadarnya adalah 0.7% untuk bulan ke bulan, berikutan kenaikan sebanyak 0.9% pada bulan Februari, dengan pertumbuhan sebanyak 4.0% untuk tahun ke tahun. Kadar-kadar ini menunjukkan bahawa sektor pembuatan dan para pengguna sudah berjaya menyesuaikan diri dengan kadar faedah yang tinggi. Jumlah tenaga kerja dan kadar pendapatan sudah cukup tinggi, menambah kebarangkalian untuk kenaikan harga barang.

● Dalam konteks ini, tiada sebab untuk Rizab Persekutuan memulakan kitaran pelonggaran polisi kewangan mereka pada bulan Jun, terutama sekali apabila kadar infalsi masih jauh daripada nilai 2.0% yang disasarkan. Peserta pasaran ini menjangkakan pemotongan kadar pertama sebanyak 25 mata asas akan dibuat pada bulan September, dengan satu lagi pemotongan yang hampir sama dilakukan menjelang akhir tahun. Unjuran ini disahkan sendiri oleh John Williams, ketua Bank Rizab Persekutuan New York yang sedia maklum dengan data inflasi terbaru yang mengecewakan dan menyatakan tiada desakan untuk kadar faedah diturunkan. Disebabkan perkara ini, hasil bon Perbendaharaan A.S. dan nilai dolar melonjak naik, manakala kadar indeks saham seperti S&P 500, Dow Jones, dan Nasdaq pula susut.

● Percubaan bull EUR/USD untuk mula mengubah arah pergerakan terhenti pada 18 April di kedudukan 1.0690 setelah Timbalan Presiden ECB dan ketua Bank of France iaitu Francois Villeroy de Galhau mengesahkan bahawa penggubal dasar Kesatuan Eropah itu mungkin akan menurunkan kadar faedah mereka pada bulan Jun jika tiada sebarang perkara mengejutkan yang berlaku. Malah penyokong  hawkish seperti Robert Holzmann iaitu ketua bank negara Austria sendiri bersetuju dengan unjuran bersifat dovish ini.

● Gandingan ini mengakhiri lima hari dagangan dengan berada pada paras 1.0656. Indikator fundamental masih lagi memihak kepada dolar, walaupun ia tidak menolak pembetulan gandingan ini ke atas, kenaikan itu mungkin tidak begitu ketara atau mengambil masa yang lama. Untuk minggu depan, sehingga malam 19 April, 80% penganalisis menjangkakan nilai dolar yang lebih kukuh, dan baki 20% lagi menjangkakan lantunan gandingan ini ke atas. Dalam kalangan indikator pada D1, 90% berwarna merah, dan 10% berwarna hijau. Kesemua pengayun menunjukkan warna merah, namun 15% daripadanya sudah berada di zon lebihan jualan. Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di antara 1.0600-1.0620, diikuti dengan 1.0560, 1.0495-1.0515, dan 1.0450, kemudian 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Zon rintangan berada di antara 1.0680-1.0695, 1.0725, 1.0795-1.0800, kemudian 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0965-1.0980, dan 1.1015, sehingga ke paras 1.1050 dan 1.1100-1.1140.

● Minggu bekerja akan datang boleh dipanggil sebagai minggu data awalan. Pada hari Selasa, 23 April, data awal bagi aktiviti perniagaan (PMI) untuk pelbagai sektor ekonomi di Jerman, Eurozone dan AS akan dikeluarkan. Hari Khamis, 25 April, kadar awal bagi KDNK di AS untuk Q1 2024 akan diketahui. Kemudian diikuti dengan data biasa bagi tuntutan manfaat pengangguran, dan pada 26 April, data perbelanjaan penggunaan peribadi di negara itu akan dikeluarkan.

 

GBP/USD: CPI Mengecewakan BoE

● Statistik makroekonomi dari United Kingdom yang dikeluarkan minggu lalu adalah tidak begitu baik. Kadar pengangguran naik dengan tiba-tiba kepada 4.2% daripada 4.0% yang diunjurkan. Jumlah tuntutan manfaat pengangguran melonjak daripada 4.1K kepada 10.9K, walaupun jumlah itu adalah lebih rendah berbanding 17.2K yang diunjur pasaran.

● Kejutan paling besar adalah daripada indikator inflasi yang dikeluarkan pada hari Rabu, 17 April. Kadar inflasi (CPI) umum susut daripada 3.4% kepada 3.2% untuk tahun ke tahun, manakala inflasi teras pula turun daripada 4.5% kepada 4.2%, dan bukannya 4.1% yang pasaran jangkakan. Kadar CPI bulanan kekal stabil pada paras 0.6%. Harga makanan yang naik dengan tiba-tiba serta kenaikan kos rumah yang mendadak pada paras 3.8% untuk bulan ke bulan menyumbang kepada kejutan inflasi ini. Barangan lebih meruap seperti buku dan permainan video juga menunjukkan kenaikan harga ketara: harga buku mengalami kenaikan bulanan paling besar pernah direkodkan iaitu 4.9%, manakala harga permainan video naik sebanyak 2.3%.

"Secara keseluruhan, ini bukanlah perkara yang Bank of England (BoE) ingin lihat,” komen penganalisis di TD Securities. Gabenor BoE iaitu Andrew Bailey terus meyakinkan orang ramai, dengan berkata, “Kita sebenarnya mengalami kadar inflasi yang sama seperti pada bulan Februari dan saya jangkakan inflasi akan turun mendadak pada bulan hadapan.” Beliau juta menyatakan bahawa kenaikan harga minyak tidak setinggi yang mereka jangkakan, dan kesan daripada konflik di Timur Tengah adalah tidak begitu membimbangkan.

● Memang benar, kenaikan harga tiket penerbangan yang besar dipengaruhi oleh kos bahan api hanyalah menyumbang kepada 0.1% untuk bulan ke bulan. Melihat kepada perayaan Easter tahun ini, kenaikan ini agak sederhana saja. Walau bagaimanapun, seorang ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan BoE iaitu Megan Greene menyampaikan kebimbangan beliau mengenai kesan yang mungkin boleh dilihat pada unjuran inflasi untuk masa depan jika harga bahan api dan lain-lain bekalan naik mendadak.

Jika diingat pada minggu lalu, dalam ruangan beliau di majalah Financial times, Megan Greene menyatakan bahawa risiko inflasi di United Kingdom adalah kekal lebih tinggi berbanding di AS, dan ‘pasaran tersilap membuat jangkaan mengenai penurunan kadar [untuk pound]’. ‘Pasaran mula percaya bahawa Rizab Persekutuan tidak akan mula memotong kadar faedah mereka dalam masa terdekat.’ Beliau menulis pada waktu itu, ‘Pada pendapat saya, kadar faedah di United Kingdom juga tidak harus dijangka akan diturunkan dalam masa terdekat ini.’ Berikutan kenyataan seperti itu, sama seperti dolar, pasaran menjangkakan Bank of England tidak akan menurunkan kadar faedah mereka lebih daripada dua kali untuk tahun ini, 25 mata asas untuk setiap kali pemotongan.

● Minggu lalu, GBP/USD dibuka pada paras 1.2448 dan ditutup pada paras 1.2370, gagal untuk menembusi paras penting 1.2500. Penganalisis berbelah bagi mengenai arah pergerakan gandingan minggu hadapan: 80% menjangkakan penurunan lebih rendah, manakala 20% lagi menjangkakan lantunan. Semua indikator trend dan pengayun pada D1 menunjukkan penurunan, walaupun satu pertiga daripada pengayun menunjukkan keadaan lebihan jualan. Jika gandingan ini turun lebih rendah, sokongan berada pada paras 1.2330, 1.2185-1.2210, 1.2110, 1.2035-1.2070, 1.1960, dan 1.1840. Jika naik, rintangan akan berada pada paras 1.2425, 1.2515, 1.2575-1.2610, 1.2695-1.2710, 1.2755-1.2775, 1.2800-1.2820, dan 1.2885-1.2900.

● Minggu depan akan menyaksikan data awal untuk aktiviti perniagaan (PMI) di United Kingdom hampir dikeluarkan serentak dengan Jerman dan Eurozone pada hari Selasa, 23 April. Tiada sebarang data ekonomi penting lain di United Kingdom yang dijangka akan dikeluarkan lagi.

 

USD/JPY: Tinggi dan Lebih Tinggi...

● Minggu lalu, gandingan USD/JPY sekali lagi mencecah kedudukan paling tingginya dalam tempoh 34 tahun, mencapai paras 154.78. Kali terakhir paras ini diduduki adalah pada tahun 1990. Menurut pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB) Singapura, dinamik harga terus menunjukkan nilai dolar yang lebih kukuh. “Risiko untuk naik lebih tinggi masih ada selagi nilai dolar terus kekal berada di atas paras 153.75, paras sokongan kukuh kami,” jelas mereka. “Jika kadarnya naik lebih tinggi daripada 155.00, fokus kami akan beralih kepada 155.50”. Sementara itu, pakar strategi di Rabobank Belanda percaya bahawa penembusan ke paras 155.00 boleh menambah risiko besar untuk campur tangan mata wang oleh Kementerian Kewangan Jepun kerana mereka ingin melindungi yen daripada menjadi lebih lemah. Mengikut hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Reuters, hampir semua responden (91%) percaya bahawa Tokyo akan membuat campur tangan pada satu ketika nanti bagi menghentikan susut nilai mata wangnya ke paras lebih rendah. Enam belas daripada dua puluh satu pakar ekonomi menjangkakan campur tangan ini akan berlaku apabila gandingan USD/JPY berada pada kadar 155.00. Yang lain meramalkan langkah sama pada paras 156.00 (2 orang responden), 157.00 (1), dan 158.00 (2).

● Pengukuhan nilai mata wang negara boleh melibatkan pengetatan polisi kewangan oleh Bank of Japan (BoJ) yang dijadual akan bermesyuarat pada hari Jumaat, 26 April. Pada mesyuarat sebelum ini iaitu pada 19 Mac, penggubal dasar Jepun itu telah mengambil keputusan yang belum pernah dibuat sebelum ini, menaikkan kadarnya daripada -0.1% kepada +0.1%, kenaikan kali pertama dalam tempoh 17 tahun. Asahi Noguchi, seorang ahli lembaga BoJ menyatakan bahawa sebarang kenaikan kadar selepas ini mungkin tidak akan dibuat dengan begitu ketara berbanding pengetatan oleh lain-lain bank negara baru-baru ini. Beliau sedar bahawa mungkin lebih banyak masa diperlukan agar kitaran kadar positif ini benar-benar terbukti stabil, menimbulkan ketakpastian sama ada jika terdapat lagi kenaikan kadar pada tahun ini atau tidak.

● Undian yang dibuat oleh Reuters menunjukkan bahawa pakar-pakar ekonomi menjangkakan kenaikan kadar oleh BoJ akan dibuat sebelum akhir bulan Jun. Namun, 21 daripada 61 orang responden percaya bahawa kadarnya akan dinaikkan pada suku tahun ketiga, dan 17 daripada 55 orang meramalkan kenaikan pada suku tahun keempat. Bagi kumpulan lebih kecil yang terdiri daripada 36 orang pakar ekonomi, 19% merasakan kenaikan pada bulan Julai adalah tidak mustahil, namun berkemungkinan kadarnya akan dinaikkan pada bulan Oktober, dengan hampir 36% menjangkakan perkara itu. Sebaliknya, 31% percaya BoJ mungkin akan menaikkan kadar mereka pada atau selepas tahun 2025.

● Gandingan ini mengakhiri minggu lalu pada kedudukan 154.63. Buat masa ini penganalisis di Rabobank melihat dolar telah dibantu oleh permintaan tinggi untuk aset selamat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Timur Tengah. Konflik antara Israel dan Iran yang semakin reda boleh menghalang pertumbuhan nilai mata wang Amerika. Unjuran median tanpa disangka selari dengan ramalan yang dibuat untuk dua gandingan sebelum ini: 80% penganalisis menjangkakan kadarnya menyusut (pergerakan menurun gandingan ini bermaksud nilai dolar lebih kukuh), manakala 20% lagi menjangkakan lantunan ke atas. Semua indikator trend serta pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, dengan 50% telah pun berada di zon lebihan belian. Paras sokongan paling berada di sekitar 154.30, dengan sokongan seterusnya berada pada paras 153.90, 153.50, 152.75, 151.55-151.75, 150.80-151.15, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, dan 146.50. Mengenal pasti paras rintangan terus memberikan cabaran setelah gandingan ini mencapai paras kemuncaknya, dengan rintangan paling hampir berada di antara 154.75-155.00, diikuti dengan 156.25. Paras lain termasuklah kedudukan tertinggi pada Jun 1990 di sekitar 155.80 dan paras kemuncak yang dicapai pada April 1990.

● Selain daripada mesyuarat BoJ yang telah dinyatakan tadi, data inflasi pengguna di kawasan Tokyo akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 26 April. Tiada sebarang perkara penting lain berkenaan ekonomi Jepun dijangka akan diketahui pada minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Adakah ETF-BTC China akan Memacu Pasaran?

● Analisis ini dibuat beberapa jam sebelum tibanya “hari X”: pelaksanaan pengurangan penghasilan yang dijadualkan pada hari Sabtu, 20 April. Kami akan huraikan dengan teliti reaksi pasaran terhadap perkara penting ini pada minggu hadapan. Sementara itu, mari fokus kepada perkara-perkara yang berlaku sebelum tibanya hari tersebut.

Beberapa hari sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan, mata wang kripto utama tidak membawa kegembiraan kepada para pelabur. Bermula pada 8 April, nilai bitcoin mengikuti trajektori ke bawah. Kadar susut nilai mingguan BTC adalah yang terbesar sejak lapan bulan lalu, dalam bentuk dolar pula, penurunan ini adalah yang paling mendadak sejak keruntuhan bursa FTX pada November 2022. Mengikuti bitcoin, nilai lain-lain altcoin utama juga jatuh menjunam, rugi kira-kira satu pertiga daripada nilainya. Paras terendah mingguan bagi BTC/USD yang direkodkan pada 17 April adalah di sekitar $59,640. Pada waktu itu, penganalisis dan juga pengasas bersama syarikat modal teroka CMCC Crest iaitu Willy Woo memberi amaran bahawa jika nilai bitcoin turun dan berada lebih rendah berbanding paras sokongan pemilik jangka pendek iaitu $58,900, pasaran mungkin akan memasuki fasa bear. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku, dan nilainya kembali berada di sekitar $62,000.

● Penganalisis di CryptoQuant percaya bahawa penurunan yang berlaku baru-baru ini perlu berlaku bagi menetapkan semula untung tidak direalisasikan para pedagang kepada sifar - isyarat biasa bagi paras terendah dalam pasaran bull. Willy Woo menyatakan bahawa “sentimen bearish yang ada sekarang sebenarnya adalah petanda untuk bullish,” dan paras di mana pencairan besar-besaran akan berlaku untuk seketika yang berikutnya adalah di antara $71,000 dan $75,000. Pedagang terkenal iaitu RektCapital meyakinkan para pelabur dengan mengatakan bahawa penurunan nilai sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan adalah trend yang biasa. “Tidak perlu panik kerana penurunan ini berlaku dalam semua kitaran. Tiada yang berbeza pada kali ini,” beliau menekankan.

● Namun, terdapat teori lain yang kedengaran mengenai susut nilai pada kali ini. Antaranya, penurunan nilai bitcoin telah berlaku akibat ketegangan konflik di Timur Tengah dan juga serangan Iran ke atas Israel. CEO Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz membuat spekulasi bahawa bitcoin boleh merekodkan nilai paling tinggi yang baru jika konflik di rantau itu berakhir. Dalam konteks ini, beliau menggesa para pemimpin dunia untuk mengawal keadaan bagi menghalang kejatuhan nilai kesemua aset kewangan, termasuklah mata wang kripto.

Sebaliknya, Michael Saylor selaku presiden MicroStrategy percaya bahawa ketegangan geopolitik sebenarnya memberi kelebihan kepada bitcoin, mencadangkan bahawa “keadaan kacau bilau adalah baik untuk bitcoin.” Logiknya, perkara ini masuk akal: mata wang kripto dihasilkan sebagai respon kepada krisis ekonomi pada tahun 2008, menjadikannya sebagai satu alternatif untuk mengekalkan jumlah modal semasa keadaan bergolak. (Sila maklum bahawa dengan 205,000 BTC dalam penyata imbangnya, MicroStrategy adalah pemilik awam bitcoin terbesar dan memang wajar mereka sangat berminat dengan kenaikan harganya.)

● ChatGPT oleh OpenAI juga memberikan situasi yang tegang di peringkat antarabangsa sebagai alasan. Sistem kepintaran buatan ini percaya bahawa jika krisis antara Israel dan Iran menjadi semakin tegang, nilai mata wang kripto utama itu hanya akan susut sedikit, dan penurunan ini hanyalah reaksi jangka pendek. Kesan lebih teruk mungkin akan menimpa aset seperti saham. Walau bagaimanapun, nilai bitcoin dijangka akan pulih dengan cepat. Seperti Michael Saylor, ChatGPT juga menjangkakan nilainya akan susut terlebih dahulu dan diikuti dengan lonjakan bullish kerana para pelabur mencari-cari tempat selamat, mendorong kepada “emas digital” menduduki paras tertinggi dalam sejarah yang baru iaitu $75,000. Jika ketegangan di Timur Tengah berlarutan sehingga menyebabkan beberapa siri konflik yang lebih kecil, ChatGPT meramalkan julat turun naik bitcoin akan menjadi lebih besar: dengan penurunan awal ke paras $55,000 dan diikuti dengan lonjakan ke paras $80,000.

● Perlu diketahui bahawa penurunan kadar BTC/USD berlaku akibat pengukuhan ketara nilai mata wang Amerika. Perkara ini bukan saja disebabkan oleh peranan dolar sebagai aset selamat di tengah-tengah ketegangan geopolitik malah turut berpunca daripada penundaan jangkaan pasaran berkenaan waktu pelonggaran polisi kewangan oleh pihak Rizab Persekutuan. Setelah data inflasi dikeluarkan pada 10 April, peserta pasara memutuskan bahawa pemotongan pertama kadar faedah tidak akan berlaku pada bulan Jun tetapi pada bulan September, mengakibatkan kadar Indeks Dolar (DXY) naik dengan mendadak. Sewajarnya, pengukuhan sesuatu aset dalam gandingan mata wang akan menyebabkan nilai aset satu lagi menjadi lemah: prinsip leveraj tidak boleh disangkal lagi.

● Sekarang, beberapa perkara mengenai apa yang menanti mata wang kripto utama setelah penghasilannya dikurangkan. Tahun ini, 75% daripada influks pelaburan adalah datang daripada ETF spot bitcoin yang baru dilancarkan di A.S. Modal pasaran mereka kini adalah berjumlah $12.5 bilion, dengan A.S. menyumbang lebih daripada 95% aliran masuk ke dalam dana dagangan bursa kripto di peringkat global. Minat terhadap ETF sangat mendalam sehinggakan dana BlackRock menjadi dana paling cepat berkembang dalam sejarah.

Menurut penganalisis CryptoQuant, rizab bitcoin yang ada di bursa hanya akan dapat bertahan untuk beberapa bulan saja jika melihat pada keadaan sekarang. Jumlah keseluruhan rizab yang ada di bursa telah berkurang lebih daripada 800,000 BTC dan telah mencecah nilai paling rendah dalam sejarah pemerhatiannya sepanjang dua tahun. Sehingga 16 April, jumlahnya adalah kira-kira 2 juta BTC. Mengandaikan influks harian ke dalam ETF-BTC adalah kira-kira $500 juta yang bersamaan dengan kira-kira 8,025 coin mengikut kadar semasa, ia hanya akan mengambil masa sembilan bulan untuk rizab sedia ada habis digunakan.

Hasil pengiraan menggunakan model Stock-to-Flow (S2F) yang mendemonstrasikan hubung kait antara penggunaan aset dan juga rizab yang dimiliki menunjukkan bahawa pekali S2F bitcoin akan mencecah 112 mata setelah penghasilannya dikurangkan. Nilai ini adalah hampir dua kali lebih tinggi daripada S2F untuk emas (60 mata), menunjukkan bahawa menjelang Januari 2025, bitcoin akan menjadi komoditi yang lebih sukar untuk didapati berbanding logam berharga paling popular itu.

● Dalam senario seperti itu, satu lagi pendorong baru yang kuat boleh wujud. Mengikuti A.S., aliran masuk pelaburan ke dalam mata wang kripto yang hampir sama boleh dihasilkan oleh ETF spot di China. Mengikut maklumat dalaman Bloomberg, pihak SEC Hong Kong boleh memberikan keputusan positif berkenaan pelancaran dana seperti itu dalam masa beberapa hari lagi. Mungkin ramalan CEO ARK Invest iaitu Cathy Wood dan juga penulis buku iaitu Robert Kiyosaki yang menjangkakan nilai bitcoin mampu mencecah $2.3 juta bagi setiap coin menjelang tahun 2030 bukanlah omong kosong saja.

● Sehingga Jumaat malam, 19 April, BTC/USD didagangkan di sekitar paras $64,150. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.32 trilion, lebih rendah berbanding $2.44 minggu lalu. Kedudukan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 79 mata kepada 66 mata, beralih daripada zon Extreme Greed kepada zon Greed.

● Akhir sekali, sedikit maklumat menarik buat para pengumpul. Seperti yang telah diketahui, para penghasil sudah mula bersiap sedia untuk “memburu” coin Satoshi “epik” pertama dengan aktif setelah proses penghasilannya dikurangkan pada kali ini. Sesiapa yang berjaya menghasilkannya mungkin akan menerima keuntungan besar kerana nilai coin digital “koleksi” ini dianggarkan berjumlah puluhan juta dolar. Kira-kira dua tahun lalu, Casey Rodarmor, pencipta protokol Ordinals pada blockchain mata wang kripto pertama itu telah membangunkan satu sistem pengelasan tahap kejarangan bagi setiap coin individu. Dengan pelancaran “inskripsi”, penomboran serta penjualan sebahagian daripada bitcoin seperti token NFT dapat dijalankan. Rodarmor menghasilkan beberapa skala termasuklah coin satoshi “luar biasa” pada setiap blok sehinggalah skala “mistik” - coin pertama dalam sejarah blockchain. Antara skala paling jarang ditemui adalah “epik”, dihasilkan pada blok pertama setelah penghasilannya dikurangkan. Ada kemungkinan aset seperti itu dinilai sehingga $50 juta oleh para pengumpul. (Ingatlah bahawa satu satoshi adalah bersamaan dengan satu per sejuta bitcoin (0.00000001), dan mengikut nilai semasa BTC, nilai bagi coin biasa dan bukan koleksi hanyalah sebanyak $0.00064).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami