Jun 1, 2024

EUR/USD: Menunggu Minggu yang Bergelora

● Jika diingat, hari Isnin, 27 Mei adalah hari cuti umum di AS. Walau bagaimanapun, pada hari Selasa, bull dolar mengawal keadaan, dan kadar Indeks DXY mula naik, didorong dengan pertumbuhan mendadak kadar Indeks Keyakinan Pengguna AS (daripada 97.5 kepada 102.0 berbanding 96.0 yang diunjurkan). Disebabkan itu, kedudukan EUR/USD turun ke bawah.

Tekanan turut dirasai euro disebabkan oleh kemungkinan pihak Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) akan menurunkan kadar faedah utama mereka sebanyak 25 mata asas (bp) daripada 4.50% kepada 4.25% semasa bermesyuarat pada 6 Jun nanti. Pemotongan ini telah mendapat pengesahan ketua Bank of Finland iaitu Olli Rehn yang menyatakan pada hari Isnin bahawa beliau menganggap inilah masanya untuk beralih kepada retorik dovish pada bulan Jun. Pandangan sama turut disuarakan oleh rakan sejawat beliau iaitu François Villeroy de Galhau, ketua Bank of France, dan ketua Bank of Austria iaitu Robert Holzmann pada 28 Mei pula.

● Tidak seperti pendirian dovish yang dicadangkan oleh pegawai tertinggi di Eropah, wakil daripada Rizab Persekutuan (Rizab) mengambil pendekatan yang lebih ketat dan ingin memastikan bahawa kadar inflasi di AS bergerak dengan stabil menuju kadar 2.0% yang disasarkan.

Jika diingat laporan oleh Biro Statistik Buruh (BLS) AS yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu menunjukkan bahawa kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) turun daripada 0.4% kepada 0.3% untuk bulan ke bulan (m/m) berbanding 0.4% yang diunjurkan. Bagi tahun ke tahun pula, kadar inflasi juga sedikit turun daripada 3.5% kepada 3.4%. Jualan runcit menunjukkan penurunan yang lebih teruk, jatuh daripada 0.6% kepada 0.0% m/m (diunjur 0.4%). Data-data ini menunjukkan bahawa inflasi di negara itu masih mengalami penurunan walaupun menerima tentangan dalam beberapa sektor. Jika sebelum ini peserta pasaran menjangkakan pemotongan pertama kadar faedah pada hujung tahun 2024 atau malah awal tahun 2025, setelah penyiaran data-data ini, perbincangan mengenai kemungkinan kadar faedah diturunkan seawal musim bunga ini oleh pihak Rizab Persekutuan telah bersambung semula. Sebelum data awal KDNK di AS dikeluarkan, kebarangkalian untuk kadar faedah diturunkan pada bulan September adalah sebanyak 41%.

● Laporan yang dikeluarkan pada hari Khamis, 30 Mei oleh pihak Biro Analisis Ekonomi menunjukkan bahawa mengikut data awal, kadar pertumbuhan ekonomi di AS untuk Q1 menjadi lembab dengan begitu ketara kepada kadar tahunan sebanyak 1.3%, lebih rendah berbanding 1.6% yang diunjur serta kadar untuk Q4 2023 iaitu 3.4%.

Para penganalisis memberikan faktor dinamik perbelanjaan pengguna sebagai punca utama kepada pertumbuhan KDNK yang lemah pada awal tahun ini. Untuk Q1, perbelanjaan pengguna naik sebanyak 2.0%, bukan 2.5% seperti yang dijangkakan. Jabatan Perdagangan AS juga menyemak semula kadar indeks Penggunaan Perbelanjaan Peribadi (PCE) Teras mereka yang mengecualikan harga makanan serta bahan api. Untuk hujung Q1, kadarnya adalah 3.6%, bukan 3.7%. Penganalisis percaya bahawa penurunan kesemua indikator ini adalah disebabkan oleh kombinasi beberapa faktor: kehabisan dana terkumpul populasi mereka semasa berlakunya pandemik COVID-19, kitaran pengetatan polisi kewangan Rizab Persekutuan, serta kekangan pertumbuhan hasil pendapatan.

● Berdasarkan perkara-perkara ini, nilai dolar susut sedikit, dan kadar EUR/USD naik ke atas. Gandingan itu menerima satu lagi impuls bullish setelah pihak Eurostat membentangkan satu anggaran awal kadar inflasi di Eurozone pada hari Jumaat, 31 Mei yang bertumbuh buat pertama kalinya untuk tahun ini. Maka, kadar pertumbuhan tahunan indeks harga pengguna (CPI) pada bulan Mei adalah 2.6% berbanding 2.4% untuk bulan April, kadar paling rendah sejak November tahun lalu. Unjuran sepakat menjangkakan kadar inflasi hanya akan naik kepada 2.5%. Kadar inflasi teras (CPI Core) yang mengecualikan harga makanan serta bahan api juga meningkat daripada 2.7% pada bulan April kepada 2.9% untuk bulan Mei (diunjur kepada 2.8%). Ini adalah satu peringatan kepada para pelabur yang berharap pihak ECB akan terus menurunkan kadar faedah mereka dan bukan hanya menurunkan sekali pada tahun ini.

● Menjelang berakhirnya minggu bekerja, fokus pasaran tertumpu kepada data pasaran pengguna di AS. Menurut pihak Biro Analisis Ekonomi, kadar inflasi di negara itu yang diukur menerusi Indeks Harga Perbelanjaan Pengguna Peribadi (PCE) terus stabil pada bulan April iaitu 2.7% untuk tahun ke tahun. Kadar PCE Core yang mengecualikan harga makanan serta bahan api naik sebanyak 2.8% tahun/tahun, sama seperti kadar yang diunjur. Laporan lain menunjukkan bahawa hasil pendapatan peribadi naik sebanyak 0.3% bulan ke bulan untuk bulan April, manakala perbelanjaan peribadi meningkat sebanyak 0.2%.

● Selepas data-data ini dikeluarkan, Indeks DXY Dolar menerima sedikit tekanan, dan gandingan EUR/USD mendapat impuls bullish ketiga. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak berpanjangan, dan akhirnya, setelah mengalami turun naik seperti itu, kedudukan EUR/USD kembali berada pada paras Pivot Point sejak dua minggu setengah lalu, ditutup pada paras 1.0848. Mengenai unjuran penganalisis untuk minggu hadapan, sehingga petang 31 Mei, kesemua mereka (100%) bersetuju dengan nilai dolar yang menjadi lebih kukuh. Unjuran yang diberikan ini dapat difahami jika kita melihat kepada pihak ECB yang di jangka akan menurunkan kadar faedah mereka pada 6 Jun nanti. Namun apa yang berlaku jika tiada pemotongan? Atau adakah unjuran ini telah pun mengambil kira senario itu? Jika benar, kita akan melihat pergerakan bertentangan apabila nilai dolar menjadi lemah.

Semua indikator trend pada D1 100% berwarna hijau, manakala 50% pengayun pula berwarna hijau, 15% berwarna merah, dan 35% lagi berwarna kelabu neutral.

Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon antara 1.0830-1.0840, diikuti dengan 1.0800-1.0810, 1.0725-1.0740, 1.0665-1.0680, 1.0600-1.0620. Zon rintangan berada pada paras 1.0880-1.0895, 1.0925-1.0940, 1.0980-1.1010, 1.1050, 1.1100-1.1140.

● Minggu depan dilihat agak sibuk dan bergelora. Hari Isnin, 3 Jun dan hari Rabu, 5 Jun, data PMI untuk sektor Perkhidmatan dan Pembuatan di AS akan dikeluarkan. Pada 4, 6, dan 7 Jun pula, terdapat beberapa statistik dari pasaran buruh AS akan diketahui, termasuklah data penting mengenai kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan (NFP). Namun begitu, hari paling memberi kesan untuk minggu hadapan mungkin adalah pada hari Khamis, 6 Jun. Pada hari itu, data jualan runcit di Eurozone akan dikeluarkan, diikuti dengan mesyuarat ECB. Pasaran bukan saja akan memfokuskan kepada keputusan ECB berkenaan kadar faedah mereka malah juga kepada sidang akhbar serta komen mengenai masa depan polisi kewangan yang akan diadakan selepas itu.

 

GBP/USD: Keadaan Tak Menentu, Unjuran Tak Jelas

● Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa prospek mengenai mata wang British dan juga ekonomi negara itu dilihat agak samar-samar. Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) menunjukkan penurunan, dan bukan itu saja. Kebanyakan sikap pesimis adalah berkaitan dengan penurunan mendadak jualan runcit untuk bulan April, susut sebanyak 2.7% untuk tahun ke tahun berbanding kadar pertumbuhan sebanyak 0.4% sebelum itu. Keadaan menjad lebih tak menentu dengan hakikat bahawa pilihan raya parlimen mengejut dijadual akan diadakan pada 4 Julai nanti. Perdana Menteri Rishi Sunak menyatakan bahawa “ketakstabilan ekonomi ini adalah permulaan”. Ia kedengaran menakutkan, bukan? Jika ini adalah satu permulaan, apa yang bakal berlaku? Apa yang mengejutkan, dengan situasi yang berlaku ini, nilai pound menjadi lebih kukuh sejak 22 April. Sepanjang tempoh ini, kadar GBP/USD telah naik sebanyak 500 mata dan ia merekodkan paras maksimum di sekitar paras 1.2800 pada 28 Mei.

● Mengenai masa untuk Bank of England (BoE) menurunkan kadar faedah mereka, segalanya juga dilihat agak sama seperti kabus di Sungai Thames. Sementara masih lagi mengikut unjuran mereka iaitu pemotongan kadar pada bulan Ogos, penganalisis JPMorgan (JPM) memberi amaran bahawa “jelaslah kini risiko penurunan sudah beralih kepada hujung tahun. Persoalannya kini adalah sama ada Bank of England boleh melonggarkan polisi mereka pada tahun ini”. Pakar strategi di Goldman Sachs, Deutsche Bank, dan HSBC juga telah mengubah unjuran bagi pemotongan kadar, mengubah tarikhnya daripada bulan Jun kepada Ogos.

GBP/USD menutup minggu lalu pada paras 1.2741. Pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB) Singapura percaya bahawa pengukuhan nilai mata wang British yang berlaku sekarang sudah berakhir. UOB menganggap bahawa dalam tempoh 1-3 minggu akan datang, “pound mungkin didagangkan mengikut trend penurunan, namun penurunan lebih rendah diperlukan untuk berada di bawah paras 1.2670. Sebaliknya, jika pound menembusi paras 1.2770 (paras ‘rintangan kukuh’), ia mungkin bermaksud gandingan ini akan didagangkan dalam julat dan bukan turun ke bawah."

Unjuran median para penganalisis untuk minggu depan adalah seperti berikut: 75% bersetuju dengan penurunan gandingan ini, manakala baki 25% lagi menjangkakan pergerakan ke atas.

Untuk analisis teknikal, tidak seperti penganalisis, 100% indikator trend dan pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, walaupun 15% daripada pengayun sudah pun menunjukkan keadaan lebihan belian. Jika gandingan ini meneruskan penurunannya, paras dan zon sokongan berada pada kedudukan 1.2670-1.2700, 1.2575-1.2600, 1.2540, 1.2445-1.2465, 1.2405, 1.2300-1.2330. Jika gandingan ini naik, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2760, 1.2800-1.2820, 1.2885-1.2900.

● Tiada sebarang statistik ekonomi penting yang dijadual akan dikeluarkan di UK pada minggu depan.

 

USD/JPY: Minggu yang Sangat Tenang

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 03 - 07 Jun, 20241

● Agak mengejutkan keadaan pada minggu lalu adalah tenang buat yen. Gandingan USD/JPY bergerak dalam julat mendatar yang sangat sempit antara 156.60-157.00 pada awal minggu, namun kemudian, di tengah-tengah penyiaran data di AS serta statistik makro di Jepun, julat dagangan sedikit mengembang kepada 156.36-157.70. Jika dibandingan pergerakan nilai pada penghujung bulan April dan awal Mei, sukar untuk dipercayai kedua-duanya adalah hasil daripada gandingan mata wang yang sama. Apa yang menarik, pihak berkuasa kewangan Jepun masih belum mengesahkan secara rasmi sama ada jika mereka melaksanakan pembelian yen secara intensif pada 29 April dan 1 Mei bagi menyokong kadar tukarannya. Namun, Bloomberg melaporkan bahawa dengan membandingkan jumlah deposit dalam Bank of Japan, kira-kira ¥9.4 trilion ($60 bilion) mungkin telah dibelanjakan untuk campur tangan mata wang ini, jumlah tertinggi bulanan yang baru untuk melaksanakan operasi kewangan seperti itu.

● Walau bagaimanapun, jika $60 bilion dapat membantu, ia adalah bantuan yang kecil - dolar sudahpun mendapat semula separuh daripada kerugian yang dialami. Disebabkan kadar faedah di AS dan Eropah masih belum lagi diturunkan, dan kadar yen pula terus berada pada paras yang rendah iaitu 0.1%, para pegawai di Kementerian Kewangan Jepun serta Bank of Japan (BoJ) cuba untuk melengahkan masa sehingga jurang ini menjadi semakin dekat. Komen daripada ahli Lembaga BoJ iaitu Seiji Adachi yang menyatakan pada 30 Mei bahawa bank negara Jepun boleh menaikkan kadar faedah mereka jika yen mendapat sedikit sokongan. Namun, persoalan mengenai bilakah perkara itu akan berlaku masih lagi timbul, dan para pegawai enggan memberikan jawapan. Dalam ucapan pada hari Jumaat, 31 Mei, Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki seperti biasa mengulangi semula tentang kadar tukaran seharusnya mencerminkan indikator fundamental dan beliau akan memberi respon sesuai jika berlakunya pergerakan melampau.

● Pada hari Jumaat, 31 Mei, pelbagai statistik makroekonomi penting tentang keadaan ekonomi Jepun telah dikeluarkan. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Tokyo menunjukkan kadar inflasi naik kepada 2.2% untuk tahun ke tahun pada bulan Mei. Untuk bulan April, kadarnya adalah 1.8%, menyamai kadar terendah untuk 26 minggu. Kadar inflasi teras di Tokyo juga naik daripada 1.6% kepada 1.9% untuk tahun ke tahun, manakala kadar CPI yang mengecualikan harga makanan serta bahan api naik daripada 1.8% kepada 2.2% untuk tahun ke tahun. (Perlu diketahui bahawa kadar inflasi di Tokyo biasanya lebih tinggi berbanding di seluruh negara, dan ia disiarkan tiga minggu kemudian. Justeru, kadar CPI di Tokyo adalah data awal dan bukan indikator dinamik inflasi bagi keseluruhan negara.)

Pertambahan kadar inflasi yang berlaku sekarang mungkin akan menambah keyakinan terhadap pengetatan polisi kewangan BoJ pada masa hadapan. Namun, kebimbangan terhadap kadar inflasi yang rendah serta nilai yen yang naik mendadak boleh menghalang BoJ daripada menaikkan kadar faedah serta merapatkan jurang dengan kadar mata wang global utama yang lain. Penurunan penghasilan industri yang susut  sebanyak -0.1% pada bulan April untuk bulan ke bulan dan tahun ke tahun tidak menggalakkan kos pinjaman untuk dinaikkan.

● Kedudukan akhir mingguan bagi USD/JPY berada pada paras 157.25. Penganalisis di United Overseas Bank (UOB) percaya bahawa dalam tempoh 1-3 minggu lagi, “dolar berpotensi untuk mengalami pertumbuhan, namun melihat kepada momentum ke atas yang lemah, pendakian ke paras lebih tinggi mungkin akan perlahan. Paras 157.50 mungkin agak sukar untuk ditembusi, manakala rintangan pada paras 158.00 mungkin tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat ini."

Bercakap tentang unjuran purata para penganalisis, hanya 20% menjangkakan penurunan, manakala baki 80% lagi berpendirian neutral dan mengunjurkan pergerakan mendatar. Tiada pertikaian atau keraguan yang ditunjukkan oleh analisis teknikal. Maka, 100% indikator trend dan pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, dengan 15% daripada pengayun sudah pun berada di zon lebihan belian. Perlu diketahui bahawa jika warna hijau/pertumbuhan yang ditunjukkan indikator untuk euro dan pound British bermaksud pertumbuhan, bagi yen pula, ia sebaliknya menunjukkan nilai yang lebih lemah. Maka, pedagang mungkin boleh memberi tumpuan kepada gandingan EUR/JPY dan GBP/JPY kerana dinamik yang ditunjukkan baru-baru ini agak cemerlang.

Paras sokongan paling hampir berada di sekitar 156.25-156.60, diikuti dengan zon dan paras 155.50-155.90, 153.10-153.60, 151.85-152.35, 150.80-151.00, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, 146.50. Rintangan paling hampir berada di zon 157.40, diikuti dengan 157.70-158.00, 158.60, dan 160.00-160.20.

● Tiada sebarang penyiaran penting tentang ekonomi Jepun akan dibuat pada minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Prospek Bullish dan Bearish Ethereum

● Untuk minggu kedua, fokus peserta pasaran tertumpu kepada altcoin utama. Pada 23 Mei, pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) AS telah meluluskan permohonan 19b-4 oleh lapa pengeluar dana dagangan bursa spot yang berasaskan Ethereum. (Menurut penganalisis JPMorgan, keputusan ini bukan dibuat kerana keinginan untuk mengembangkan aset digital tetapi satu langkah politik yang bertujuan untuk memberi sokongan kepada Joe Biden menjelang pilihan raya presiden AS). Tak kira apa pun punca kepada keputusan itu, kini semua orang menunjukkan minat kepada pertumbuhan harga Ethereum.

● ETF-ETH yang baru dilancarkan ini hanya boleh mula didagangkan setelah pihak SEC meluluskan permohonan S-1. Menurut penganalisis Bloomberg iaitu James Seyffart, kelulusan itu boleh mengambil masa “berminggu atau berbulan”, walaupun ia mungkin diluluskan pada pertengahan Jun nanti. Menurut CEO DeFiance Capital iaitu Arthur Chong, malah nilai Ethereum boleh naik mencecah $4,500 sebelum ia dagangan bermula. Penganalisis CCData percaya bahawa dalam masa 100 hari selepas ETF-ETH dilancarkan, nilai setiap coin boleh naik mencecah $5,000. Unjuran ini dibuat berdasarkan kepada regresi linear dan juga statistik nilai bitcoin setelah ETF spot BTC dilancarkan. Penganalisis CCData mengandaikan bahawa aliran masuk modal ke dalam dana Ethereum yang sama akan sekurang-kurangnya menyamai 50% aliran masuk modal ke dalam ETF-Bitcoin, bermaksud jumlahnya adalah kira-kira $3.9 bilion dalam tempoh 100 hari.

● Penganalisis popular iaitu Lark Davis menjangkakan nilai bitcoin pada masa hadapan adalah $150,000 manakala untuk Ethereum pula adalah $15,000, menjelaskan kenaikan mendadak itu adalah disebabkan oleh wujudnya dinamik di pasaran. Davis juga memetik, ETF-BTC sebagai punca utama kepada pertumbuhannya, dan ETF-ETH kini turut menyertainya. Hal ini akan merancakkan lagi semangat dalam pasaran mata wang kripto. Buat masa ini, ETF-BTC spot memiliki coin sebanyak 1,002,343 (≈ $68 bilion), kira-kira 5% daripada bekalan aset  terunggul yang berada dalam edaran. Davis percaya jumlah memberangsangkan ini jelas menunjukkan mata wang kripto semakin mendapat pengiktirafan minat yang bertambah daripada pelabur berinstitusi, terutama sekali dari AS.

● CEO Strike iaitu Jack Mallers menjangkakan nilai bitcoin boleh mencecah $250,000 semasa lonjakan bull berlaku, malah juga mungkin boleh naik kepada $1 juta. Dalam satu podcast bersama pengasas Pomp Investments iaitu Anthony Pompliano, Mallers menjelaskan unjuran berani beliau dengan menyatakan seperti bitcoin masih berada dalam peringkat pembangunan awal. Menurut beliau, pasaran bon buat masa ini sedang berhadapan masalah, maka bank-bank pusat mungkin akan menyuntik sejumlah besar likuiditi ke dalam sistem kewangan untuk menstabilkannya. Kemasukan likuiditi ini akan mencetuskan pertambahan nilai aset berisiko, termasuklah mata wang kripto utama itu.

Jack Mallers tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa bitcoin adalah satu gelembung atau alat untuk spekulasi. Aset tersebut menjadi lebih popular dalam kalangan gergasi kewangan di Wall Street, dan bekalannya yang terhad sebanyak 21 juta coin menjadikan BTC sebagai satu aset yang berketahanan tinggi terhadap inflasi, tidak seperti mata wang fiat dan emas. “Bitcoin boleh digelar sebagai bentuk wang yang paling sukar – disebabkan jadual pengeluaran yang telah ditetapkan serta pengurangan penghasilan setiap empat tahun. Kadar pengeluaran coin baru semakin lama semakin berkurang, justeru menambah nilai jangka masa panjang bitcoin,” CEO Strike itu mempertikaikan.

● Penganalisis dari syarikat pelaburan kewangan Motley Fool juga mensasarkan nilai enam digit. Mereka menjangkakan nilai bitcoin boleh mencecah $400,000 dan malah mungkin boleh mencecah $1 juta. Sebabnya adalah, seperti yang telah banyak kali disebutkan sebelum ini, aliran masuk modal daripada pelabur berinstitusi menerusi ETF spot. Penganalisis Motley Fool sedar bahawa lebih banyak dana-dana pencen dan lindung nilai yang menguruskan aset bernilai berbilion dolar masuk ke dalam pasaran bitcoin. Disebabkan ETF mata wang kripto, mereka boleh menyertakan bitcoin (dan Ethereum tidak lama lagi) ke dalam portfolion pelaburan mereka.

Menurut para penganalisis, terdapat sekitar 700 syarikat pelaburan yang sudah pun melabur di dalam dana seperti itu. Namun begitu, peratusan pelabur berinstitusi dalam ETF bitcoin buat masa ini hanyalah kira-kira 10% daripada jumlah keseluruhan. Motley Fool menganggarkan bahawa jika institusi kewangan melabur kira-kira 5% daripada aset mereka ke dalam bitcoin, jumlah modal pasaran mata wang kripto pertama boleh mencecah $7 trilion, menjelaskan nilai $400,000 yang diunjurkan.

● Sikap optimis yang agak rendah boleh didengari daripada unjuran penganalisis kanan Bloomberg iaitu Mike McGlone. Menurut beliau, kadar kemeruapan bitcoin telah meninggalkannya lebih jauh di belakang emas dan dolar AS dalam tarikan pelaburan. Disamping itu, beliau percaya bahawa pasaran saham akan runtuh tidak lama lagi di tengah-tengah kegawatan yang dijangka, namun BTC akan menerima kesan lebih teruk jika dibandingkan dengan pasaran saham. McGlone memberi penekanan bahawa stablecoin Tether (USDT) yang disandarkan pada dolar AS biasanya akan didagangkan dua kali lebih banyak berbanding bitcoin dalam sehari. “Saya boleh mengakses dolar AS di mana-mana saja di dunia menerusi telefon dengan menggunakan Tether. Tether adalah token dagangan nombor satu. Ia adalah mata wang kripto nombor satu untuk dagangan. Ia adalah dolar. Seluruh dunia telah beralih kepada dolar. Kenapa? Kerana ia adalah yang paling tidak teruk dalam kalangan mata wang fiat,” jelas penganalisis Bloomber itu.

● Sementara Mike McGlone merendah-rendahkan tarikan yang ada pada bitcoin, pengasas Cardano iaitu Charles Hoskinson dengan mudah menidakkannya. Beliau menyamakan bitcoin dengan agama dan menyatakan bahawa industri ini telah melangkaui kebergantungannya. Menurut Hoskinson, “industri ini sudah tidak lagi bergantung kepada bitcoin untuk terus wujud”. Beliau menunjukkan kepada ancaman kritikal terhadap mata wang kripto utama itu, termasuklah kebolehsuaian yang rendah serta kebergantungan kepada algoritma Proof-of-Work.

Sebaliknya, penganalisis di Franklin Templeton mempertimbangkan protocol L2, bersama-sama dengan Ornidals, Runes dan DeFi primitive sebagai salah satu pendorong kepada kebangkitan semula inovasi bitcoin. CEO Strike iaitu Jack Mallers mempertahankan mata wang kripto pertama itu. Menurut beliau, Lightning Network yang dihasilkan untuk transaksi segera dan murah, solusi peringkat kedua berasaskan blockchain BTC boleh menambah permintaan lebih besar untuk mata wang kripto pertama tersebut. Mallers percaya bahawa disebabkan rangkaian itu, bitcoin boleh digunakan dalam pembelian harian, seperti membayar secawan kopi. Bekas CEO BitMEX iaitu Arthur Hayes menggelar token natif dalam blockchain Cardano (ADA) sebagai “tidak berguna” kerana protocol yang kurang digunakan.

● Semasa ulasan ini dibuat pada malam 31 Mei, ADA didagangkan pada nilai USD 0.45 bagi setiap coin, manakala bitcoin dan Ethereum pula adalah jauh lebih baik: BTC/USD didagangkan pada kadar $67,600, manakala ETH/USD pula $3,790. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $2.53 trilion ($2.55 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Bitcoin kekal hampir tidak berubah dan terus berada di zon Greed pada bacaan 73 mata (74 mata minggu lalu).

● Perlu diketahui bahawa gandingan ETH/USD telah gagal untuk menembusi paras rintangan $4,000 pada minggu lalu. Paras maksimum minggu lalu telah direkodkan pada hari Isnin, 28 Mei, pada kedudukan $3,974. Ketiadaan dorongan segera telah dijelaskan dengan hakikat bahawa semua yang ingin memberli Ethereum dalam menjangkakan keputusan bersejarah oleh pihak SEC sudah pun berbuat demikian. Sementara itu, menurut sebilangan penganalisis, terdapat kemungkinan besar bahawa sejurus selepas dana dagangan spot yang ditunggu-tunggu itu dilancarkan, Ethereum akan turun ke paras yang rendah, sama seperti yang berlaku kepada bitcoin pada Januari lalu. Kemudian, selepas 12 hari, nilainya turun sebanyak 21%.

Antara punca utama kepada penurunan nilai BTC pada waktu itu adalah pelancaran dana aset GBTC oleh Grayscale yang telah mengubah satu dana amanah menjadi dana spot. Pelaburannya mula hilang pada kadar $500 juta sehari selepas itu. Perkara sama mungkin boleh berlaku kepada Ethereum di mana dana ETHE milik Grayscale adalah bernilai $11 bilion dalam bentuk ETH. Sejurus selepas dana ini diubah kepada dana spot dan aset di dalamnya dibuka, pelabur jangka masa pendek akan mula mengambil untung, berpotensi untuk mengakibatkan kadar ETH/USD turun ke zon sokongan antara $2,900-3,200 yang kukuh.

● Golongan pesimis dalam kalangan bearish juga memetik status kesahihan altcoin yang tidak pasti kerana pihak SEC masih lagi belum mentakrifkan sama ada ETH adalah satu komoditi ataupun sekuriti. Disamping itu, penggubal dasar itu menerima banyak aduan mengenai program staking.

Staking adalah satu kaedah bagi mendapatkan mata wang kripto dengan “mengunci” sejumlah coin tertentu dalam walet pada algoritma Proof of Stake (PoS) bagi menyokong rangkaian. Sebagai balasan, pengguna akan menerima ganjaran dalam bentuk coin tambahan. Menurut lagenda Wall Street iaitu Peter Brandt, “bencana paling besar dalam gelembung mata wang kripto yang masih belum berlaku akan ada kaitan dengan staking”. Penganalisis tersebut sedar bahawa aset seperti Ethereum sering diberi pinjam untuk mendapatkan ganjaran sebegitu, ganjaran dalam bentuk faedah, mengingatkan beliau dengan keruntuhan piramid kewangan. Disebabkan kaedah staking digunakan secara meluas sekarang, Brandt memberi amaran bahawa perkara itu boleh menarik perhatian bank-bank negara, pihak perbendaharaan, serta lain-lain pihak berkuasa. Hal ini mampu mendorong kepada undang-undang yang lebih ketat, mengubah gelembung kripto dengan ketara dan berpotensi menyebabkan pembatalan kaedah staking serta kebankrapan mereka yang terlibat.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami