Mac 28, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Status matawang dolar telah berubah secara berkala sejak bermulanya pandemik COVID-19, sama ada menjadi matawang selamat ataupun aset berisiko buat para pelabur. Sebagai contoh, nilai matawang AS turun walaupun kadar pasaran saham bertambah antara bulan November-Disember 2020. Sejak bulan Januari, nilai dolar mula naik bersama-sama dengan kadar S&P500. Indeks tersebut kini berada pada kadar tertinggi dalam sejarahnya: 3.795. Kadar indeks dolar DXY juga berada di sekitar paras tertinggi tahunannya: 92.72.
    Punca utama bagi kemeruapan nilai USD ini adalah disebabkan situasi coronavirus yang dihadapi serta respon kerajaan AS terhadapnya. Pihak Rizab Persekutuan sekali lagi berteka-teki pada minggu lalu. Jika diingat segalanya makin jelas bahawa pihak Rizab Persekutuan AS tidak berniat untuk menaikkan kadar faedah mereka sekurang-kurangnya sehingga tahun 2023 selepas berakhirnya mesyuarat Open Market Committee (FOMC). Rizab juga Persekutuan tidak akan mengubah mana-mana parameter dalam program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Menurut pihak Rizab, rang undang-undang berkenaan pakej bantuan baru dengan nilai $1.9 trilion yang ditandatangani oleh Presiden AS Joe Biden sudah cukup untuk merangsang ekonomi negara itu.
    Beberapa hari selepas itu, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell telah mengumumkan pihaknya akan menghentikan pembelian aset bulanan berjumlah $120 bilion apabila ekonomi di AS hampir pulih sepenuhnya. Mengikut ramalan Rizab Persekutuan, perkara ini mungkin boleh berlaku pada musim panas nanti.
    Tanpa disedari, Kerajaan dan pihak Senat mungkin akan memulakan debat berkenaan penamatan QE tidak lama lagi. Bagaimana pula dengan maklumat mengenai Pentadbiran Biden yang kini membincangkan tentang satu lagi pakej rangsangan fiskal baru berjumlah $3.0 trilion?
    Kali ini pasaran “menyebelahi” Jerome Powell, dan nilai dolar terus mengukuhkan kedudukannya. Seperti ramalan utama yang dibuat oleh majoriti penganalisis (65%), pasangan EUR/USD jatuh, menembusi paras rintangan SMA selama 200 hari pada 1.1825, turun hampir pada paras 1.1760. Ia diikuti dengan lantunan kecil dan mengakhiri minggu pada paras 1.1790;
  • GBP/USD. Setelah kekal berada di saluran mendatar antara 1.3775-1.4000 selama dua minggu, pengukuhan besar-besaran nilai dolar telah menarik pasangan ini ke bawah. 55% daripada penganalisis memihak kepada bear, ternyata ramalan mereka tepat. Pasangan GBP/USD mencecah paras terendah mingguannya iaitu 1.3670 pada hari Khamis, 25 Mac, dan kemudian kembali ke sempadan bawah saluran sisi yang berubah daripada paras sokongan menjadi rintangan. Paras terakhir untuk minggu tersebut dicatatkan pada 1.3790;
  • USD/JPY. Pembetulan ke bawah berskala besar terhadap pasangan ini tidak berlaku. 50 mata sudah cukup buat pasangan ini: setelah turun ke paras 108.40, arah pergerakannya berubah dan naik ke atas sekali lagi akibat pengukuhan nilai dolar. Sasaran bull yang paling hampir berada pada ketinggian 110.00, dan pasangan ini hampir mencapainya: paras tertinggi mingguan dicatatkan pada 109.85. Kemudian ia mengalami sedikit penurunan dan mengakhiri lima hari dagangan pada kedudukan 109.67;
  • Matawang Kripto. Ramalan minggu lalu yang mendapat sokongan majoriti penganalisis bukanlah ramalan paling optimis buat bull. Ramalannya adalah pertumbuhan akan terhenti, nilai bitcoin turun ke sempadan bawah saluran menaik dan pergerakan lateral pada julat antara $50,000-60,000. Malang buat para pelabur, itulah yang benar-benar berlaku. Pasangan BTC/USD mencecah kedudukan $60,000 pada 20 Mac, tetapi turun ke paras terendah mingguan di sekitar $50,290 pada hari Khamis, 25 Mac. Jika penurunan bitcoin adalah 16%, kerugian yang dialami sesetengah altcoin terkenal adalah kira-kira 25%.
    Antara yang memberi pulangan adalah ripple. Bermula pada paras $0.4652 tujuh hari sebelumnya, paras tertinggi yang dicapai pada 22 Mac ialah $0.5955, dan pada petang Jumaat 26 Mac, ia didagangkan pada $0.5450.
    Secara umum, seperti yang kami ramalkan, pasaran kripto ternyata sudah semakin panas. Kenyataan Elon Musk yang mengatakan bitcoin yang diterima sebagai bayaran kereta Tesla tidak lagi akan ditukar kepada dolar juga gagal menghentikannya. Jika dulu, maklumat seperti itu pasti akan menaikkan pasaran ke atas, namun kini ia hanya memberi dorongan jangka pendek yang kecil.
    Menurut CEO Skybridge Capital yang juga bekas pengarah komunikasi White House iaitu Anthony Scaramucci, sekarang Tesla memiliki kira-kira $1.5 bilion dalam bentuk BTC. Secara keseluruhan, Elon Musk memiliki bitcoin dengan nilai lebih daripada $5 bilion dalam Tesla, SpaceX dan juga persendirian. Mungkin jumlah itu sudah tidak lagi cukup, dan bitcoin memerlukan dorongan yang lebih hebat daripada Tesla atau MicroStrategy untuk menaikkan pasaran ke atas.
    Namun kenyataan kecil yang dibuat penggubal dasar seperti pihak Rizab Persekutuan mampu menjatuhkannya. Ketua Sistem Rizab Persekutuan AS iaitu Jerome Powell telah mempersoalkan mengenai kualiti yang dimiliki matawang kripto pertama itu sebagai alat simpanan dan juga bayaran. Ketika beliau berucap pada sidang kemuncak Bank of International Settlements yang diadakan secara maya, beliau sedar tentang kecairan aset digital yang sangat tinggi, disebabkan itulah, beliau berpendapat, ianya tidak berguna jika dikumpulkan. “Matawang kripto tidak bersandar pada apa-apa dan sering digunakan sebagai alat spekulasi, justeru ianya tidak begitu popular untuk dijadikan sebagai kaedah bayaran. Aset kripto mungkin lebih sesuai menggantikan emas berbanding dolar,” jelas Powell.
    Terbukti bahawa kejatuhan kadar BTC/USD adalah kesan daripada kejatuhan nilai indeks S&P500 kerana ianya lebih banyak berkorelasi dengan aset berisiko seperti “emas digital” itu. Pelabur telah menutup kira-kira 240,000 posisi sepanjang beberapa hari lalu, dan jumlah keseluruhan modal pasaran kripto turun daripada $1805 bilion kepada $1,680 bilion. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto bergerak daripada 71 ke zon tengah semasa hari bekerja dan bacaannya kini adalah 54, yang bermaksud rata. Namun, ini mungkin menjadi situasi tenang sebelum ribut melanda.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Terdapat tiga faktor utama yang memihak kepada matawang Amerika. Pertama sekali adalah kejayaan program vaksinasi ke atas populasi mereka, ini bukan saja berkenaan jumlah yang telah berjaya dicapai, tetapi termasuklah juga dengan janji Presiden Biden untuk memberi 200 juta vaksin kepada rakyat AS dalam tempoh 100 hari beliau berada di White House. Faktor kedua ialah pertambahan minat pelabur asing terhadap bon kerajaan. Manakala faktor ketiga pula adalah pengukuhan ekonomi AS yang mampu bersama-sama menaikkan ekonomi di lain-lain negara.
    Eropah tidak memiliki faktor-faktor ini. Naib Presiden ECB iaitu Luis de Guindos berkata jika menjelang musim panas nanti program vaksinasi di Eurozone menunjukkan peningkatan mendadak, ekonomi di Eropah pasti akan menunjukkan pertumbuhan pada Q3 dan Q4. Namun semua itu hanyalah kata-kata.
    Buat masa ini, 70% daripada penganalisis menjangkakan nilai dolar akan terus mengukuh dan pasangan EUR/USD akan turun ke zon di antara 1.1640-1.1700. Sasaran utamanya adalah paras terendah yang dicapai pada September-November 2020 iaitu di sekitar 1.1600. Ramalan ini disokong oleh 85% indikator trend pada H4 dan 100% pada D1, serta 75% pengayun pada D1. Baki 25% lagi memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan.
    Sila maklum bahawa analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan nilai euro mungkin akan mengukuh ke paras 1.1880 tidak lama lagi, dan hanya selepas itu pasangan ini akan turun.
    Anda juga harus maklum apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada ramalan bulanan, sudah terdapat 60% penganalisis yang bersetuju dengan pertumbuhan pasangan EUR/USD. Paras 1.2000 dan 1.2200 menjadi sasaran mereka.
    Bagi perkara yang bakal berlaku pada minggu depan, data pasaran pengguna di Jerman dan Eurozone yang masing-masing akan dikeluarkan pada 30 dan 31 Mac perlu diberi perhatian, serta data pasaran buruh AS yang akan diketahui pada hari Rabu, 31 Mac (laporan ADP) dan hari Jumaat, 2 April (NFP). Ucapan oleh Presiden A.S. Joe Biden pada 31 Mac juga agak menarik. Pasaran akan menunggu isyarat beliau mengenai langkah-langkah yang bakal diambil oleh pentadbirannya dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi negara itu;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 29 Mac - 2 April, 20211

  • GBP/USD. Kita akan ketahui data KDNK bagi Q4 2020 di UK pada hari Rabu, hari terakhir bulan Mac. Mengikut ramalan, indikator ini akan kekal pada paras sebelumnya iaitu 1%. Perkara ini mungkin tidak menambah sebarang sikap optimis kepada para pelabur, namun ia juga tidaklah begitu mengecewakan. Justeru, 50% daripada penganalisis memilih trend mendatar, 40% lagi bersetuju dengan pengukuhan nilai dolar dan hanya 10% yang berpihak dengan pengukuhan nilai pound British.
    Bacaan analisis teknikal adalah seperti berikut. Pada H4: 50% daripada pengayun menunjukkan pertumbuhan, 50% lagi penurunan. Indikator trend menunjukkan corak yang hampir serupa. D1 didominasi oleh warna merah. 65% pengayun serta 70% indikator trend juga berwarna merah.
    Sokongan paling hampir berada pada paras 1.3760, 1.3700, 1.3670, rintangan pula berada pada paras 1.3820, 1.3900, 1.3960. Sasarannya masing-masing adalah 1.4000 dan 1.3600;
  • USD/JPY. Minggu lalu pasangan ini mencapai kedudukan tertingginya sepanjang sembilan bulan dengan berada pada paras 109.85, peningkatan memberangsangkan hampir 730 mata sejak dalam tempoh tiga bulan lalu. Perkara ini menunjukkan alat selamat tradisional seperti yen kini mendapat perhatian para pelabur.
    Berkemungkinan besar indeks Tankan tidak akan memberi banyak kesan terhadap sentimen pasaran. Dikeluarkan oleh Bank of Japan, indeks ini memberi gambaran keadaan perniagaan secara umum bagi syarikat-syarikat pembuatan utama. Tankan menjadi indikator ekonomi di Jepun yang amat bergantung pada industri berorientasikan eksport. Nilai indeks di atas 0 menjadi faktor positif kepada yen, dan sama sekali, nilai di bawah 0 menjadi faktor negatif. Namun, mengikut ramalan, nilai indeks ini yang akan diketahui pada hari Khamis, 1 April tidak akan berada di atas mahupun di bawah, tetapi tepat-tepat pada 0. Ini adalah bacaan neutral. Walaupun begitu, mungkin agaknya ia mampu menyokong matawang Jepun kerana kadar indeks Tankan berada pada kedudukan negatif 10 pada suku sebelum ini. Berkemungkinan hanya pembetulan kecil ke atas pasangan USD/JPY yang akan menyebabkan penurunannya.
    Secara keseluruhan, kebanyakan penganalisis (60%) kekal menyebelahi bullish, menjangkakan penyatuan nilainya hampir pada 110.00. Sasarannya adalah pada paras 111.70 dan 112.20. 100% indikator trend serta 75% pengayun bersetuju dengan perkembangan itu. Baki 25% lagi memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Baki 40% lagi penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik masih berharap pembetulan ke bawah akan berlaku. Dalam masa yang sama, apabila beralih daripada ramalan bulanan ke ramalan suku tahunan, bilangan mereka meningkat kepada 75%. Jika pasangan ini mengalami penurunan, sokongan berada pada paras 109.00, 108.60, 108.40, 106.65. Sasaran mereka ialah zon 106.00;
  • Matawang Kripto. Hasil pemerhatian mendapati bukan tumbuhan saja yang mula tumbuh pada musim bunga, sebut harga bitcoin juga mengalami perkara yang sama. Kadar pasangan BTC/USD naik sebanyak 40% secara purata pada bulan April sepanjang tiga tahun yang lalu. Kali ini, kadarnya patut akan berada di sekitar $70,000-75,000 menjelang akhir April. Opsyen call dengan tarikh akhir pada 30 April juga menunjukkan jangkaan yang serupa. Ia kini dibuka dengan harga $80,000 pada bursa derivatif dengan jumlah keseluruhan sebanyak $240,000,000. Pengeluarannya secara aktif ke dalam walet simpanan terus berlaku dengan harapan matawang kripto utama akan melalui kitaran pertumbuhan nilai yang baru.
    Kami telahpun nyatakan berulang kali mengenai pakej bantuan ekonomi AS berjumlah $1.9 trilion, dan daripada jumlah itu, mengikut kaji selidik Mizuho Securities, rakyat AS akan membelanjakan antara $20-25 bilion untuk membeli matawang kripto. Selepas pakej anti-Covid ini, berkemungkinan terdapat lagi satu pakej yang akan menyusul dengan jumlah sebanyak $3.0 trilion. Jika perkara itu diteruskan, ia juga akan dapat memberi faedah kepada pasaran kripto. Namun semua itu adalah rancangan masa hadapan. Dalam masa yang sama, 60% penganalisis percaya bahawa pasangan BTC/USD akan bergerak di sepanjang Pivot Point $50,000 untuk satu atau dua minggu lagi, mengalami turun naik pada julat antara $46,500-56,000.
    Jika bercakap mengenai ramalan jangka panjang, menurut pengasas bersama yang juga bekas CEO bursa matawang kripto BTCC iaitu Bobby Lee, harga bitcoin boleh naik sehingga $300,000, dan selepas itu pertumbuhannya digantikan dengan penurunan jangka panjang. “Kitaran pasaran bull bagi bitcoin berlaku setiap empat tahun sekali, dan yang ada sekarang agak besar kitarannya. Saya merasakan nilai bitcoin mungkin akan mencecah $100,000 pada musim panas nanti,” beliau berkata. Walau bagaimanapun, setelah mencecah rekod nilai tertingginya iaitu $300,000, gelembung harganya akan pecah walaupun dengan penurunan nilai yang kecil. Lee berpendapat musim dingin kripto yang baru akan terus berlaku antara dua ke tiga tahun, dan “para pelabur harus bersedia dengan hakikat bahawa harga bitcoin akan jatuh 80-90% daripada nilai tertinggi dalam sejarahnya."
    Menyimpulkan ulasan ini, kami ingin menunjukkan “peranti ajaib” baru untuk tajuk kecil kami iaitu “Petua Kripto” kepada anda. Baru-baru ini WiseMining telah memperkenalkan dandang pelombong Sato ASIC yang membolehkan anda memanaskan air dengan melombong bitcoin. Penyejuk yang menjadi pengantara pada dandang adalah sejenis penyejuk dielektrik khas. Cecair tersebut akan mendidih dan menyejat dalam unit penyejuk ASIC, kemudian wap akan naik ke tangki gegelung dan memeluwap, menukar haba kepada cecair. Penyejatan masuk semula ke dalam unit penyejuk pelombong. Pembangun sistem ini berkata pemanas air tersebut mungkin boleh disambungkan ke sistem pemanasan utama rumah. Sato akan mula dijual seawal bulan April ini.
    Satu lagi “petua” adalah daripada dunia jenayah. Menurut satu kaji selidik baru oleh syarikat analisis Elliptic, pasaran terbesar darknet, Hydra telah menghasilkan cara baru untuk menukar matawang kripto kepada wang fiat. Harta karun yang diisi dengan wang dan dipek menggunakan vakum akan ditanam “5-20cm di dalam tanah”, dan koordinat GPS yang tepat akan diberi kepada pembeli. Kaedah sama seperti ini telah lama digunakan bagi tujuan menjual bahan-bahan terlarang seperti dadah. Walau bagaimanapun, cara ini agak berisiko kerana kadangkala penjenayah akan menjejaki para pelanggan dan mengambil “bungkusan” mereka. Akibat daripada menggunakan kaedah ini adalah tidak menentu.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami