Mei 21, 2022

EUR/USD: Mengalami Pertumbuhan Akibat Pembetulan Indeks DXY

  • Indeks dolar DXY mencecah kadar tertinggi dalam beberapa tahun iaitu 105.05 pada hari Jumaat, 13 Mei setelah mengalami pertumbuhan sepanjang enam minggu. Kali terakhir ia berada pada kadar itu adalah pada 20 tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, arah pergerakannya berubah, dan kedudukan indeks DXY berada di bawah kadar 103.00 pada 19-20 Mei. Menurut sebilangan penganalisis, penurunan seperti itu berkemungkinan adalah berpunca daripada pembetulan teknikal, bukan disebabkan oleh perubahan faktor fundamental. Mata wang Amerika masih mengekalkan faktor fundamental mereka. Namun, isyarat yang agak membimbangkan sudah pun mula kelihatan kerana pengetatan mendadak polisi kewangan oleh pihak Rizab Persekutuan menambah perasaan takut berkenaan pertumbuhan ekonomi AS dan meningkatkan lagi kebarangkalian untuk berlakunya kemelesetan ekonomi.

    Namun, sekali lagi, faktor fundamental masih lagi berpihak kepada dolar. Justeru, data jualan runcit di AS yang dikeluarkan pada 17 Mei menunjukkan peningkatan aktiviti pengguna pada bulan April sebanyak 0.9%, lebih tinggi berbanding yang diunjur iaitu 0.7%. Pengeluaran industri juga melebihi jangkaan: meningkat sebanyak 1.1% berbanding 0.5% yang dijangka.

    Minggu lalu, ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell sekali lagi mengesahkan keinginan beliau untuk menaikkan kadar faedah utama mereka sebanyak 0.5% pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) bulan Jun dan Julai. Jika diingat penggubal dasar AS itu sudah pun menaikkan kadar mereka sebanyak dua kali dalam tahun ini. Sudah pasti, hal ini mendorong kepada kenaikan kos untuk pelbagai jenis pembiayaan bukan saja dalam sektor industri, malah untuk populasi negara tersebut, termasuklah pinjaman perumahan, pembiayaan pengguna, faedah kredit kad, dll.

    Walau bagaimanapun, pada hari Selasa, 17 Mei, Jerome Powell dengan jelas menyatakan Rizab Persekutuan mungkin akan terus mengetatkan polisi dan menaikkan kadar dengan agresif hanya jika pihaknya menerima “bukti yang kukuh dan jelas” mengenai penurunan kadar inflasi. Jika penurunan kadar inflasi tidak memuaskan hati Bank Pusat tersebut, mereka mungkin tidak akan berhenti pada kadar 3.0%, tetapi menaikkan kepada 4.0% dalam tempoh 12-15 bulan. Ini akan memberi dolar kedudukan yang lebih baik berbanding lain-lain mata wang dalam kelompok DXY, termasuklah mata wang euro.

    Tidak seperti ekonomi di AS, para pelabur lebih berasa bimbang tentang prospek ekonomi di Eropah. Kebimbangan paling utama adalah disebabkan kebergantungan yang amat tinggi pihak Kesatuan Eropah terhadap sumber tenaga Rusia. Pada Isnin, 16 Mei, negara-negara EU memulakan rundingan terhadap enam pakej sekatan yang dikenakan ke atas Rusia akibat serangan ketenteraan di Ukraine. Bukan rahsia lagi, kami memperkatakan antara lainnya adalah mengenai pengenalan embargo terhadap pembelian sumber minyak dan gas dari Rusia. Masih tidak jelas sama ada embargo yang akan dikenakan itu adalah menyeluruh atau sebahagian, bila ia akan diperkenalkan dan juga jangkaan mengenainya, tetapi apa yang jelas adalah ia akan mewujudkan masalah yang serius bukan saja kepada Rusia, malah ekonomi di Eropah. Hal ini menimbulkan kebimbangan kepada para pelabur.

    Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen menambah terdapat ketaktentuan lain dalam situasi kompleks ini. Beliau menyebut negara-negara G7 sedang berbincang tentang idea berkenaan duti maksimum yang boleh dikenakan ke atas sumber tenaga dari Rusia. Dari satu sudut, tidak masuk akal dalam hal ini untuk mengenakan embargo ke atas bahan yang mereka bekalkan. Dari sudut lain pula, poket pengguna di Eropah yang cuba untuk mengelak daripada tidak mendapat bekalan secukupnya akan menerima tamparan yang hebat.

    Situasi mengenai kadar inflasi di Eurozone masih lagi belum jelas. Mengikut data yang dikeluarkan pada hari Rabu, 18 Mei, kadarnya kekal berada pada paras tertinggi iaitu 7.4%, 3.7 kali lebih tinggi berbanding kadar 2.0% yang disasarkan ECB. Ketua Bank Negara Finland, Olli Rehn, berkata dalam situasi seperti ini, ahli-ahli Majlis Pentadbir ECB bersetuju terdapat keperluan untuk beralih daripada kadar faedah negatif “dengan cepat”. Jika diingat kadar deposit di euro kini berada pada kadar negatif 0.5%, dan sudah 8 tahun kadarnya itu negatif, sejak tahun 2014. Namun, maksud “dengan cepat” itu agak samar-samar, tidak seperti keputusan khusus yang dibuat pihak Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan kadar dolar sebanyak 1.0% lagi dalam tempoh dua bulan seterusnya.

    Perbezaan antara polisi kewangan bersifat hawkish pihak Rizab Persekutuan dengan polisi dovish samar-samar ECB membayangkan nilai mata wang AS akan terus mengukuhkan kedudukannya. Namun begitu perkara sebaliknya yang berlaku pada minggu lalu: dolar mengalami kerugian kira-kira 150 mata daripada euro antara 16 Mei dan 20 Mei, dan pasangan EUR/USD mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.0557. Walau bagaimanapun, menurut sebilangan penganalisis, apa yang berlaku adalah disebabkan oleh pembetulan indeks DXY secara umum dan sesuai dengan trend jangka sederhana ke bawah pasangan ini.   

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang 20 Mei, pendapat penganalisis terbahagi seperti berikut: 45% penganalisis begitu yakin pasangan EUR/USD akan kembali bergerak ke bawah, jumlah yang sama menanti untuk pembetulan ke atas akan terus berlaku, manakala baki 10% lagi mengambil pendirian neutral. Terdapat perbezaan yang pasti dalam bacaan indikator pada D1 yang berpunca daripada pembetulan. Dalam kalangan indikator trend, 40% daripada mereka berpihak kepada warna merah, 60% berpihak kepada warna hijau. Pengayun menunjukkan gambaran lebih jelas: 70% berwarna hijau, 20% berwarna merah dan 10% lagi berwarna kelabu neutral. Rintangan paling dekat berada di zon 1.0600, jika berjaya, ia akan cuba menembusi rintangan pada paras 1.0640 dan naik ke zon 1.0750-1.0800. Bagi bear, tugasan paling utamanya adalah untuk melepasi paras sokongan di sekitar 1.0500, kemudian 1.0460-1.0480, dan selepas itu paras terendah pada 13 Mei lalu iaitu 1.0350. Jika berjaya, ia akan bergerak ke paras terendah tahun 2017 iaitu 1.0340, dan lebih rendah daripada paras itu adalah paras sokongan dari 20 tahun lalu.

    Untuk kalendar minggu hadapan, agak berguna jika tumpuan diberikan kepada data aktiviti perniagaan (Markit) di Jerman dan Eurozone secara keseluruhan yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 24 Mei. Data untuk pesanan bagi barangan modal serta barangan tahan lama di AS akan dikeluarkan pada hari Rabu. Minit mesyuarat pihak FOMC Rizab Persekutuan sebelum ini pula akan dikeluarkan pada hari yang sama, manakala indikator bagi KDNK di AS untuk Q1 2022 akan diketahui pada hari Khamis, 26 Mei. 

GBP/USD: Kadar Inflasi Terus Meningkat

  • Sudah pasti, dinamik pergerakan pasangan GBP/USD telah didominasi dengan perkara yang berlaku terhadap indeks dolar DXY pada minggu lalu. Namun, pelarasan tertentu juga telah dibuat ke atas faktor-faktor tertentu yang berkait dengan ekonomi di United Kingdom.

    Bank of England telah mengeluarkan unjuran mereka kira-kira dua bulan lalu yang menyebut kadar inflasi akan berada pada kadar tertinggi dalam bulan April. Data yang dikeluarkan pada hari Rabu, 18 Mei mengesahkan unjuran tersebut, dengan pengecualian terhadap satu perkara. Pihak penggubal dasar menjangkakan kadar inflasi tertinggi akan mencecah 7.2%, tetapi rupa-rupanya ia mencecah 9.0%, kadar tertinggi sepanjang 40 tahun. Dalam hal ini, memfrasakan semula kata-kata pengarang drama terhebat William Shakespeare, inilah masanya untuk menjerit: “adakah ini yang tertinggi atau ada lebih tinggi lagi? Itulah persoalannya!”. Nampaknya, belum ada lagi pendapat yang mengatakan kadar inflasi akan menurun, dan adalah tepat untuk mengatakan bahawa perkara ini menjadi “kepedihan” buat ekonomi UK.

    Kadar GBP/USD mencecah 1.2524 untuk paras tertinggi mingguannya. Ada dua buah berita yang mengekalkan nilai pound daripada menyusut. Pertama, menurut Jabatan Statistik Kebangsaan UK, tanpa disangka-sangka jualan runcit di negara itu naik sebanyak 1.4% pada bulan April, ketika pasaran menjangkakan peratusan itu akan menurun sebanyak 0.2%. Disamping itu, mata wang British mendapat sokongan Hugh Pill, ketua pakar ekonomi di Bank of England yang berkata pihak penggubal dasar tidak akan meneruskan pengetatan polisi kewangan mereka kerana trend bullish untuk risiko kenaikan kadar inflasi masih ada, dan nilainya dijangka akan menjadi dua digit dalam tahun 2022.

    Disebabkan itu, pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan dengan berada pada paras 1.2409, kedudukan sama ia didagangkan pada hujung April - awal Mei dan juga paras yang sudah pun didudukinya pada tahun 2016, 2019, dan 2020. Adakah kadarnya akan terus jatuh? 20% penganalisis memberikan jawapan positif kepada persoalan ini, 25% lagi memberikan jawapan negatif. Majoriti (55%) daripada mereka hanya berdiam diri kerana tidak tahu apakah reaksi yang harus diberikan terhadap kata-kata ketua pakar ekonomi Bank Pusat negara itu. Bagi indikator pada D1, pendapat mereka tidak sehaluan, sama seperti EUR/USD. Dalam kalangan indikator trend, 50% menunjukkan pertumbuhan pasangan ini, jumlah peratus yang sama mengharapkan kepada penurunan, daya keseimbangan dalam kalangan pengayun pula agak berbeza: hanya 20% yang menunjukkan penurunan, 80% lagi menunjukkan pertumbuhan, walaupun suku daripada jumlah itu sudah pun berada di zon lebihan belian. Sokongan berada pada paras 1.2435, 1.2400, 1.2370, 1.2300, 1.2200, kemudian 1.2154-1.2164 dan 1.2075. Sokongan yang kukuh bagi pasangan ini terletak pada paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000. Jika berlakunya pembetulan ke atas, pasangan ini perlu mengatasi paras rintangan di zon 1.2500-1.2525, kemudian terdapat pula zon 1.2600-1.2635, 1.2700-1.2750, 1.2800-1.2835 dan 1.2975-1.3000.

    Perkembangan ekonomi di UK untuk minggu hadapan termasuklah ucapan oleh Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Isnin, 23 Mei serta data Komposit PMI dan juga data PMI dalam sektor Pembuatan dan Perkhidmatan Markit yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 24 Mei.

USD/JPY: Mengapa Nilai Yen Mengukuh

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 23 - 27 Mei, 20221

  • Menurut para pegawai dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), “secara umum, penyusutan nilai yen dapat membantu Jepun.” Kata-kata yang sama juga sering diulang oleh para pemimpin Bank of Japan. IMF juga percaya kawalan penuh terhadap lengkung hasil yang digunakan oleh penggubal dasar Jepun itu agak efektif, dan dinamik pergerakan yen “selaras dengan fundamental jangka sederhana."

    Walau bagaimanapun, tidak seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinannya, tidak wujud penyusutan, tetapi pengukuhan nilai mata wang Jepun sepanjang dua minggu lalu. Pada 20 Mei, kedudukannya berada pada paras yang sama seperti pada 20 April lalu: 127.85, tanpa memperbaharui paras maksimum yang dicapai pada 9 Mei lalu iaitu 131.34. Menurut sebilangan penganalisis, pengukuhan nilai mata wang Jepun itu adalah disebabkan oleh permintaan tinggi pelabur terhadap aset yang paling tiada risiko. Namun, bukan itu saja puncanya.

    Kadar inflasi di negara itu terus meningkat, hingga menyebabkan penduduknya berasa tidak puas hati. Kenaikan harga pengguna mencecah rekod tertinggi untuk lapan bulan berturut-turut. Pada bulan April, mereka telah membuat kenaikan sebanyak 2.5% berbanding bulan yang sama setahun sebelum itu, menunjukkan pertumbuhan kadar tertinggi sejak Oktober 2014. Seperti yang berlaku pada Dow Jones, kadar inflasi telah melepasi paras 2.0% buat pertama kalinya sejak September 2008, dan kenaikan ini tidak memasukkan sekali kesan akibat kenaikan cukai penggunaan. Kadarnya adalah sebanyak 1.2% pada bulan Mac. Kebiasaannya, semua ini akan menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduknya, yang mana ahli politik di negara itu sudahpun memberikan reaksi mereka dengan aktif. Namun pada satu ketika, tiada sebarang reaksi diberi pihak Bank Negara Jepun. Walaupun pihak penggubal dasar telah memberi jaminan terhadap komitmen untuk meneruskan polisi kewangan yang sangat longgar, kebanyakan pelabur, terutama sekali pelabur asing menjangkakan mereka terpaksa juga menaikkan kadar faedahnya. Rupa-rupanya, jangkaan seperti inilah yang memberikan sokongan tambahan buat yen. 

    Buat masa ini, 55% penganalisis bersetuju yen akan terus mengukuhkan nilainya dan kadar USD/JPY akan terus menurun, 40% memilih trend naik ke atas akan terus berlaku, manakala 5% lagi menjangkakan pergerakan mendatar. Dalam masa yang sama, para penggemar analisis teknikal memberikan tumpuan mereka pada hakikat bahawa satu susuk klasik telah terbentuk pada carta: “double top” (atau “head - shoulders"). Dalam kalangan indikator pada D1, perbezaan pendapat adalah seperti berikut. Pengayun memiliki 80% warna merah, 10% warna hijau, dan 10% kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, pendapatnya adalah seimbang 50% kepada 50%. Sokongan terdekat berada pada paras 127.50, diikuti dengan zon dan paras 127.00, 126.30-126.75, 126.00 dan 125.00. Sasaran bull adalah naik di atas paras 128.00, dan kemudian mengatasi rintangan pada paras 129.00, 129.60, 130.00, 130.50, serta memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 9 Mei iaitu 131.34. Ketinggian pada 1 Januari, 2002 iaitu 135.19 dilihat sebagai sasaran terakhirnya.

    Untuk perkembangan minggu hadapan, anda boleh memberi tumpuan kepada ucapan Gabenor Bank of Japan iaitu Haruhiko Kuroda pada hari Rabu, 25 Mei, walaupun berkemungkinan besar tiada sebarang kejutan akan diberikan dan tidak tahu entah bagaimana ia dapat memberi kesan kepada sentimen pasaran. Namun bagaimana jika sebaliknya yang berlaku? Pasaran teringat kejadian pada tahun 2016, ketika Haruhiko Kuroda menafikan secara kategori kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan pada mulanya, tetapi selepas itu beliau mengambil keputusan untuk menaikkannya…

MATA WANG KRIPTO: Berakhirnya Kerubut Emas Digital?

  • Bull BTC/USD agak terdesak untuk cuba kekal berada di zon $30,000 sejak 11 Mei. Pergelutan berlaku di zon antara $28,650-31,000 sepanjang minggu lalu. Walaupun kadar indeks S&P500, Dow Jones dan Nasdaq terus memberikan tekanan kepada bitcoin setelah keadaannya sedikit pulih pada 18 Mei lalu, ia terus bertahan.

    Umumnya, menyahganding bitcoin daripada indeks saham, terutama sekali indeks S&P500 menjadi impian kebanyakan penyokong mata wang kripto tersebut. Namun begitu, kelompok penyokong ini juga mengimpikan banyak pelabur berinstitusi akan melabur dalam pasaran kripto, menjadikan bitcoin, bersama-sama dengan saham, mendapat tempat di hati para pelabur dalam portfolio pelaburan mereka. Namun untuk menjadi peserta sebenar dalam pasaran kewangan, mata wang kripto haruslah mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikenakan. Jika pelabur-pelabur besar menyingkirkan aset berisiko, seharusnya tiada siapa yang patut menjangka mereka akan melabur dalam bitcoin atau ethereum dan bukannya bon perbendaharaan apabila mereka menjual saham Microsoft, Apple atau Amazon.

    Impian lain adalah untuk menjadikan bitcoin dikenali sendiri sebagai alat menyimpan nilai setaraf dengan logam emas. Walau bagaimanapun, konsep “emas digital” buat masa ini adalah tidak lebih daripada sekadar pujian buat mata wang kripto pertama itu. Mungkin juga satu plot pemasaran bagi menaikkan nilainya di mata pelabur-pelabur kecil. Namun, kepentingan logam berharga terhadap tamadun manusia telah terbukti sejak ribuan tahun dahulu, tetapi sejarah bitcoin tidak lebih daripada 15 tahun pun. Nilainya hanya bergantung kepada pengeluaran yang terhad dan keinginan untuk mendapat pulangan dengan pantas.

    Nilai BTC adalah 5 sen pada tahun 2010, dan harga tertingginya mencecah $69,000 pada November 2021. Jelas menunjukkan bahawa prospek untuk menukarkan $100 dolar kepada $138,000 dengan mudah dan pantas telah menarik sejumlah besar pelabur yang sanggup untuk menjadi cepat kaya. Apa yang berlaku dalam 10-12 tahun lepas boleh dipanggil sebagai “Kerubut Emas Digital”, menggunakan analogi sama dengan Kerubut emas di AS yang berlaku pada penghujung kurun ke-19. Pada waktu itu, ramai yang mengalami kerugian dan bukannya menjadi kaya. Perkara sama dapat diperhatikan sekarang ini: setelah nilainya turun kepada $26,579 pada 12 Mei, bitcoin memperbaharui paras paling rendah tahun ini dan kembali berada pada nilai sama yang didudukinya pada Disember 2020, susut kira-kira 60% daripada nilainya dalam masa hanya 6 bulan.

    Mengikut Bloomberg Billionaires Index, nilai bersih kekayaan CEO Coinbase iaitu Brian Armstrong telah berkurang daripada $13.7 bilion kepada $2.2 bilion. Ini bukan saja disebabkan oleh kejatuhan harga aset digital, malah juga kejatuhan nilai saham Coinbase, harganya susut lebih daripada 80%. Nilai kekayaan CEO bursa kripto FTX iaitu Sam Bankman-Fried telah berkurang separuh dan kini jumlahnya adalah sebanyak $11.3 bilion. Pengasas platform dagangan mata wang kripto Gemini yang terkenal, Cameron dan Tyler Winklevoss bersaudara, masing-masing mengalami kerugian lebih daripada $2 bilion, bersamaan hampir 40% daripada keseluruhan kekayaan mereka. Baiklah, apakah cara untuk “simpan dan lindung nilai” yang boleh kita bincangkan dalam situasi seperti ini?

    Satu lagi kelebihan yang dimiliki bitcoin dan sering dibincangkan oleh para penyokongnya adalah keadaan disentralisasi serta sifat tanpa nama para pemiliknya. Namun, hal itu dilihat agak tidak benar. Ketua Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS (SEC), Gary Gensler menjelaskan bahawa walaupun pasaran mata wang kripto dianggap sebagai disentralisasi, namun realitinya, kebanyakan aktiviti berjalan di beberapa lantai dagangan yang besar. Penggubal dasar dan para pegawai penguatkuasa memerhatikannya dengan rapat. Hakikat bahawa walet milik penduduk Rusia disekat setelah Rusia dikenakan sekatan mengesahkan perkara itu.

    Akhir sekali, peluang untuk menaikkan nilai BTC yang keempat adalah penggunaannya secara meluas sebagai satu kaedah bayaran. Namun tak semuanya berjalan lancar di sini. Sebagai contoh, CEO bursa kripto FTX, Sam Bankman-Fried baru-baru ini telah menyatakan keraguan beliau mengenai keupayaan bitcoin sebagai sistem bayaran yang popular. Pengurus terkenal itu menyatakan ia tidak memiliki keupayaan penuh untuk menampung rangkaiannya terhadap “jutaan transaksi” setiap saat disebabkan oleh kos persekitaran blokchain yang tinggi dan tidak efisien.

    Kembali daripada harapan kepada realiti, kami harus nyatakan bahawa jumlah keseluruhan modal pasaran kripto terus menurun. Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 20 Mei, jumlahnya adalah $1.248 trilion ($1.290 trilion seminggu sebelumnya). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto kekal berada di zon Extreme Fear dan berada di sekitar 13 mata. Tambahan pula, kedudukannya turun 8 mata pada hari Selasa, 17 Mei, paras terendah sejak 28 Mac, 2020. Pasangan BTC/USD hampir tidak kekal berada di “zon perang”, pada paras $29,325.

    Penyokong emas, presiden Euro Pacific Capital Inc. iaitu Peter Schiff percaya bahawa bitcoin sudah pun kehilangan paras sokongan penting di sekitar $33,000. Mata wang kripto itu perlu turun ke paras $8,000 untuk tiba di sokongan berikutnya. “Paras sokongan telah pun ditembusi. Terdapat kebarangkalian yang tinggi ia akan bergerak ke paras sokongan lebih rendah. Carta menunjukkan dua corak dalam masa yang sama: corak double top dan juga head-shoulder. Ini adalah kombinasi yang kurang menyenangkan. Jauh lagi perjalan untuk ke bawah,” coret si “fanatik emas” ini dalam blog beliau.

    Penulis buka Rich Dad Poor Dad dan usahawan terkenal iaitu Robert Kiyosaki menggelar kejatuhan nilai bitcoin sebagai “berita baik” dan menjangkakan ia untuk menguji paras $17,000. “Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya jangkakan nilai bitcoin akan turun kepada $20,000. Kemudian kita akan menunggu untuk menguji paras terendah, mungkin berada pada paras $17,000. Jika perkara itu berlaku, saya akan melabur dengan bersungguh-sungguh. Krisis adalah masa terbaik untuk menjadi kaya,” jelas beliau.

    Namun menurut pakar strategi dengan gelaran DonAlt, persoalan di mata bitcoin akan bergerak setelah menembusi paras sokongan utama di sekitar $30,000 masih belum terjawab. “Untuk 3 bulan seterusnya, kita akan dapat lihat sama ada bitcoin akan menyerah kalah seperti yang semua orang nantikan atau, bitcoin akan julatnya dan mula bergerak ke paras $58,000,” tulis penganalisis itu. Pada pendapat beliau, kebarangkalian untuk nilainya jatuh adalah lebih tinggi, dan paras sokongan akan berada pada nilai $14,000. DonAlt maklum bahawa struktur pasaran bitcoin yang ada sekarang mungkin membayangkan paras terendahnya sudah pun dicapai. Walau bagaimanapun, beliau bimbang mengenai korelasi yang kukuh antara BTC dengan pasaran saham serta kemungkinan indeks S&P500 akan jatuh lebih rendah.

    Pedagang yang dikenali sebagai Rekt Capital bersetuju dengan pendapat yang mengatakan nilai bitcoin akan susut lagi. Penganalisis itu percaya bahawa coin tersebut perlu susut 25% lagi nilainya sebelum mencapai paras terendah mingguan paling minimum.

    Sebaliknya, penganalisis dengan gelaran Pentoshi menjangkakan lonjakan harga bitcoin tidak lama lagi, beliau berpendapat dalam situasi sekarang ini, keadaan memihak kepada bull. Menurut Pentoshi, bear bersungguh-sungguh cuba untuk menurunkan harga bitcoin, tetapi mereka masih belum berjaya untuk mencapai hasil yang diinginkan. “Terlalu banyak coin bertukar tangan dengan bermacam-macam usaha. Namun adakah para penjual mendapat pulangan yang sepatutnya? Nampaknya tidak.

    Sebagai contoh, beliau melihat pada carta bitcoin yang diterbalikkan, dan ia menunjukkan jumlah dagangan yang tinggi, bersamanya adalah pergerakan kadar tukaran yang rendah. Pentoshi percaya bahawa kegagalan bear untuk menurunkan harga BTC walaupun setelah menerima tekanan jualan mencadangkan momentum pergerakan akan berubah dan memihak kepada bull.

    Pelabur hartawan Amerika iaitu Bill Miller juga dilihat agak optimis. Menurutnya, beliau terselamat setidak-tidaknya tiga kali kejatuhan bitcoin dengan susut nilai lebih daripada 80%. Walaupun pada hakikatnya coin milik hartawan itu dijual menggunakan margin calon buat masa ini, beliau kekal bullish dengan situasi jangka panjang.

    Seperti di atas, tiada kesepakatan dicapai dalam kalangan orang berpengaruh dan juga para penganalisis buat masa ini. Apa yang perlu dibuat dalam situasi sekarang? Sudah tentu, anda boleh duduk, lihat dan tunggu apa yang akan berlaku. Selain itu, anda juga boleh terlibat dalam dagangan secara aktif, sebagai contoh. Tambahan lagi, anda boleh mendapat pulangan dari pertumbuhan dan penurunan pasaran kripto jika berdagang mengikut prinsip CFD. Selain itu, anda tidak perlukan sebarang mata wang kripto sebenar bagi tujuan ini: dengan syarikat broker NordFX, untuk membuka transaksi 1 bitcoin, anda hanya perlukan $150, dan $15 untuk transaksi ethereum. Bagaimana ini tidak dikira sebagai petua hidup?

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami