April 13, 2024

EUR/USD: Nilai Dolar Berkembang

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 15 - 19 April, 20241

● Minggu lalu menyaksikan berlakunya dua perkara penting: perkara pertama mengejutkan peserta pasaran, manakala perkara kedua berlaku tanpa sebarang kejutan. Mari semak setiap satu perkara tersebut dengan lebih teliti.

Sejak pertengahan tahun 2022, kadar harga pengguna di AS jatuh merosot. Pada Julai 2022, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) adalah 9.1%, namun pada Julai 2023, kadar itu turun kepada 3.0%. Walau bagaimanapun, pada bulan Oktober, kadar CPI naik kepada 3.7%, namun turun selepas itu, dan menjelang Februari 2024, kadarnya susut kepada 3.2%. Disebabkan itu, timbulnya persepsi umum bahawa kadar inflasi akhirnya sudah berjaya dikawal. Pasaran bersepakat mengatakan bahawa Rizab Persekutuan mungkin akan mula melonggarkan polisi kewangan mereka tidak lama lagi dan mula menurunkan kadar faedah pada bulan Jun. Dua minggu lalu, kebarangkalian untuk langkah ini diambil adalah kira-kira 70%. Kadar indeks DXY mula susut, mencecah paras terendah mingguannya iaitu 103.94 pada 9 April. Namun, kegembiraan bear dolar tidak panjang kerana data inflasi baru di AS yang dikeluarkan pada hari Rabu, 10 April mengubah sentimen ini dengan cepat.

● Secara tahunan, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) naik kepada 3.5%, menunjukkan kadar tertinggi dalam tempoh enam bulan. Perkara utama yang mendorong kepada pertumbuhan inflasi ini adalah kenaikan kos sewa (5.7%) serta perbelanjaan pengangkutan (10.7%), kenaikan yang mengejutkan pasaran. Peluang untuk kadar faedah diturunkan pada bulan Jun jatuh kepada sifar, dan indeks dolar DXY melonjak naik, mencecak paras tertingginya iaitu 105.23 pada petang 10 April. Sehubungan itu, hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS naik kepada 4.5%. Seperti yang berlaku dalam senario ini, indeks saham seperti S&P 500, Dow Jones, dan Nasdaq menjadi susut, manakala gandingan EUR/USD pula susut kepada 1.0728 setelah kerugian lebih daripada 150 mata.

● Austan Goolsbee, Presiden Bank Rizab Persekutuan Chicago menyatakan bahawa walaupun penggubal dasar itu berasa yakin inflasi semakin hampir mencapai kadar sasarannya 2.0%, masih banyak yang perlu dilakukan oleh barisan kepimpinan Rizab Persekutuan untuk mengurangkan kadar inflasi. Rakan sejawat beliau iaitu John Williams, Presiden Bank Rizab Persekutuan New York berasa maklum bahawa data inflasi terbaru itu agak mengecewakan dan menambah lagi tentang prospek ekonomi yang tidak menentu.

Akibat daripada seperti itu serta kenyataan-kenyataan lain, kini pihak Rizab Persekutuan hanya dijangka akan mula menurunkan kadar faedahnya pada bulan September. Selain itu, para pelabur menjangkakan hanya akan terdapat dua kali penurunan saja untuk tahun ini, bukan tiga. Sesetengah daripada mereka percaya bahawa tiada langsung penurunan akan dibuat pada tahun 2024. Namun, menurut Presiden AS iaitu Joe Biden, pihak Rizab Persekutuan masih lagi perlu menurunkannya pada penggal kedua tahun ini. Permintaan bersifat mendesak beliau itu sangat-sangat dapat difahami kerana pilihan raya presiden bakal tiba. Pertama sekali, pelaksanaan itu dapat mengurangkan kos pembayaran semula hutang negara yang besar, dan kedua, ia menjadi satu lambang kemenangan dalam memerangi inflasi, memberikan beberapa kelebihan kepada Biden dalam persaingan untuk mendiami Rumah Putih.

● Selepas reaksi terhadap inflasi di Amerika, market berhenti sementara, sambil menunggu mesyuarat majlis pentadbir Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) pada 11 April. Pihak ECB telah melaksanakan kadar faedah sebanyak 4.50% dengan stabil sejak September 2023, seperti yang pasaran jangkakan setelah diunjur oleh 77 orang pakar ekonomi dalam kaji selidik oleh Reuters. Justeru, setelah beberapa ketika mengalami turun naik, kadar EUR/USD kembali berada di kedudukan sebelum pihak ECB bermesyuarat.

● Kenyataan akhbar yang dikeluarkan ECB mengesahkan keinginan majlis firma tersebut untuk menurunkan inflasi ke paras sasaran jangka sederhananya iaitu 2.0% dan percaya bahawa kadar faedah utama menjadi penyumbang besar kepada proses disinflasi yang berterusan. Mengekalkan kadar faedah utama yang agak ketat selagi perlu akan diambil kira dalam keputusan akan datang.

● Perlu diketahui bahawa kadar inflasi di 20 buah negara Eurozone adalah 2.4% untuk bulan Mac, sedikit tinggi berbanding 2.0% yang disasarkan. Untuk bulan Februari, kadarnya adalah 2.6%, manakala untuk bulan Januari pula adalah 2.8%. Pakar ekonomi yang menyertai kaji selidik Reuters percaya bahawa kadar inflasi akan terus turun dalam suku tahun akan datang, namun kadar itu tidak akan mencecah 2.0% sebelum suku tahun kedua 2025.

Christine Lagarde, ketua Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) menyampaikan pendapat yang sama semasa memberikan sidang akhbar. Walau bagaimanapun, beliau ada menyatakan bahawa disebabkan ekonomi di Eurozone yang terus lemah, pihak ECB tidak perlu menunggu sehingga kadar inflasi kembali berada pada paras 2.0% pada bila-bila masa. Maka, Lagarde tidak menolak mengenai kemungkinan penggubal dasar itu yang akan mula melonggarkan polisi kewangan mereka sebelum tahun 2025. Pakar strategi dari bank UniCredit Itali menjangkakan pihak ECB akan menurunkan kadar faedah mereka sebanyak tiga kali pada tahun ini, 25 mata asas untuk setiap penurunan. Jumlah penurunan yang sama juga mungkin akan dibuat pada tahun hadapan. Pakar ekonomi di Deutsche Bank juga menjangkakan penggubal dasar pan-Eropah itu akan mula menurunkan kadar mereka sebelum pihak Rizab Persekutuan berbuat demikian pada kadar yang lebih cepat. Disebabkan itu, jurang perbezaan kadar faedah antara AS dan Eurozone yang besar akan menjadi penyumbang kepada nilai euro yang lebih lemah.

● Unjuran jangka sederhana ini disahkan pada Jumaat lalu: kadar EUR/USD meneruskan penurunannya, mencecah paras terendah mingguan pada 1.0622 dan menutup tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0640. Indeks DXY mencapai kadar puncaknya pada paras 106.04. Untuk minggu hadapan, sehingga malam 12 April, 40% penganalisis menjangkakan pembetulan ke atas gandingan ini, manakala majoriti (60%) berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, hanya 15% berwarna hijau, dan 85% berwarna merah, namun satu perempat daripadanya sudah berada di zon lebihan jualan. Indikator trend adalah 100% bearish. Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon antara 1.0600-1.0620, diikuti dengan 1.0495-1.0515, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Zon rintangan berada pada paras 1.0680-1.0695, 1.0725, 1.0795-1.0800, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, 1.1100-1.1140.

● Untuk minggu depan, hari Isnin, 15 April, data jualan runcit di AS akan diketahui. Pada hari Rabu, inflasi pengguna di Eurozone akan menjadi lebih jelas. Berkemungkinan data yang dinilai semula akan mengesahkan hasil keputusan terdahulu, dan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk bulan Mac akan menjadi 2.4% untuk tahun ke tahun. Hari Khamis, menjadi kebiasaan untuk menjangkakan data jumlah tuntutan bagi faedah pengangguran warga AS dan juga Indeks Pembuatan Persekutuan Philadelphia.

 

GBP/USD: Pound Jatuh Merudum

● Pada hari Jumaat, 12 Februari, data KDNK di UK menunjukkan ekonominya berada dalam laluan yang betul untuk pulih. Walaupun jumlah penghasilan menurun jika dibandingkan dengan tahun lalu, data terkini menunjukkan bahawa keadaan yang sedikit gawat mungkin boleh berlaku. Kadar KDNK berkembang untuk dua bulan berturut-turut, dan Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) melaporkan pertumbuhan sebanyak 0.1% untuk bulan ke bulan pada bulan Februari, dengan kadar yang dinilai semula untuk bulan Januari menunjukkan pertumbuhan sebanyak 0.3% daripada 0.2% sebelum itu.

● Walaupun dengan kadar-kadar ini, kedudukan GBP/USD turun di bawah paras penting 1.2500 disebabkan oleh harapan untuk Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah mereka hancur berkecai. Walaupun dengan kenyataan daripada salah seorang ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of England (BoE) iaitu Megan Greene yang memberi penekanan terhadap risiko inflasi di UK kekal lebih tinggi berbanding di AS dan pasaran pula tersalah tafsir dengan unjuran penurunan kadar faedah mereka, mampu untuk mengubah situasi ini. “Pasaran terlalu awal untuk berasa lebih cenderung dengan pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan. Pada pandangan saya, UK juga masih belum merancang untuk menurunkan kadarnya dalam masa terdekat ini,” jelas beliau dalam satu ruangan di majalah Financial Times.

Berikutan kenyataan oleh Greene itu, para pelabur kini menjangkakan penurunan kadar oleh Bank of England tidak lebih daripada dua kali pada tahun ini, penurunan sebanyak 25 mata asas bagi setiap satunya. Walau bagaimanapun, unjuran yang baru dinilai ini tidak memberi banyak sokongan kepada pound berbanding dolar, dan GBP/USD ditutup pada paras 1.2448 pada minggu lalu.

● Pendapat para penganalisis untuk pergerakan jangka pendek GBP/USD adalah sama: 50% bersetuju dengan pertumbuhannya ke atas, dan 50% lagi enggan memberi sebarang unjuran. Indikator pada D1 menunjukkan bacaan seperti berikut: dalam kalangan pengayun, 10% mengesyorkan untuk beli, 10% lagi adalah neutral, dan 80% pula menunjukkan untuk jual, dengan 20% daripadanya menunjukkan keadaan lebihan jual. Kesemua indikator trend menunjukkan penurunan. Jika gandingan ini meneruskan penurunannya, ia akan menerima sokongan pada paras 1.2425, 1.2375-1.2390, 1.2185-1.2210, 1.2110, dan 1.2035-1.2070. Jika kadarnya bertambah, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2515, 1.2575-1.2610, 1.2695-1.2710, 1.2755-1.2775, 1.2800-1.2820, 1.2880-1.2900, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140.

● Hari terpenting untuk mata wang British minggu depan adalah hari Selasa dan Rabu. Data yang pelbagai dari pasaran buruh di United Kingdom akan dikeluarkan pada hari Selasa, 16 April, bersama-sama dengan ucapan oleh Gabenor Bank of England Andrew Bailey. Hari Rabu, 17 April mampu menghasilkan keadaan bergelora dan meruap kerana data inflasi pengguna (CPI) bagi negara itu akan dikeluarkan.

 

USD/JPY: Adakah 300.00 Tinggal Menunggu Masa?

● Bear USD/JPY terus meletakkan harapan agar ia mengubah pergerakannya ke bawah, namun gandingan ini tidak berhenti mengalami pertumbuhan. Judul bagi ulasan kami sebelum ini adalah “Menembusi Paras 152.00 – Tunggu Masa Saja?” terbukti benar dalam masa yang sangat singkat. Minggu lalu, gandingan ini mencecah kedudukan tertinggi dalam tempoh 34 tahun pada paras 153.37 yang dicetuskan oleh laporan inflasi dari AS serta pertumbuhan kadar indeks DXY serta hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS. (Mengambil kira ia pernah didagangkan di atas paras 300.00 pada tahun 1974, kedudukan ini bukanlah yang paling tinggi).

● Lonjakan ini masih berlaku walaupun terdapat satu lagi campur tangan lisan oleh pegawai tertinggi kerajaan Jepun. Menteri Kewangan Suzuki Shunichi mengulang semula kebimbangan beliau tentang pergerakan mata wang yang melampau dan tidak menolak sebarang pilihan bagi membendungnya. Setiausaha Kabinet iaitu Yoshimasa Hayashi berkongsi sentimen yang benar-benar sama. Namun, mata wang kebangsaan negara itu tidak memberi sebarang perhatian kepada kenyataan-kenyatan berkenaan. Hanya campur tangan mata wang sebenar dan langkah besar dalam pengetatan polisi kewangan oleh Bank of Japan (BoJ) saja dapat membantu, namun semua ini belum lagi berlaku.

● Penganalisis di Rabobank Belanda percaya Kementerian Kewangan Jepun akhirnya akan dipaksa untuk mengambil tindakan bagi menghalang kadarnya mencecah 155.00. “Walaupun penembusan gandingan USD/JPY ke paras 152.00 mungkin tidak serta-merta mendorong kepada campur tangan mata wang, kita dapat lihat kemungkinan besar langkah itu.".

● Minggu lalu, gandingan ini ditutup pada paras 152.26. Berkenaan minggu hadapan, 25% penganalisis memihak kepada bear, 25% lagi kekal neutral, dan baki 50% pula bersetuju dengan mata wang AS yang lebih kukuh serta pertumbuhan gandingan ini. Analisis teknikal jelas menunjukkan ia tidak menyedari tentang kebimbangan campur tangan mata wang yang boleh berlaku, jadi 100% indikator trend serta pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, dengan satu perempat daripada pengayun kini berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di sekitar paras 152.75, diikuti dengan 151.55-151.75, 150.80-151.15, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, dan 146.50. Menentukan paras rintangan bagi gandingan ini agak mencabar setelah ia memperbaharui kadar tertinggi dalam tempoh 34 tahun. Rintangan paling hampir berada di zon antara 153.40-153.50, diikuti dengan paras 154.40 dan 156.25. Menurut sebilangan penganalisis, paras tertinggi bulanan pada Jun 1990 iaitu 155.80 dan kemudian pengunduran tertinggi pada April 1990 iaitu 160.30 juga boleh dijadikan sebagai rujukan.

● Tiada sebarang penyiaran data penting berkaitan ekonomi Jepun dijangka untuk minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Menjelang Hari X

● Pengurangan penghasilan seterusnya yang akan mengurangkan ganjaran bagi penghasilan blok BTC dijadual dilaksanakan pada hari Sabtu, 20 April ini. Walaupun tarikh ini adalah anggaran dan mungkin akan berubah satu atau dua hari, semakin hampir dengan Hari X, semakin hangat perbincangan mengenai nilai mata wang kripto itu sebelum dan selepas ia dilaksanakan.

Sebelum ini, nilai bitcoin naik selepas penghasilannya dikurangkan: melonjak hampir 9000$ menjadi $1162 pada tahun 2012, dan kira-kira 4200% kepada $19,800 pada tahun 2016, dan sebanyak 683% menjadi $69,000 pada pelaksanaan pada Mei 2020. Namun, nilai itu jatuh hampir menjadi $16,000 kemudiannya.

● Lucas Kiely, CIO platform kewangan Yield App percaya bahawa kita tidak seharusnya menjangkakan kenaikan nilai bitcoin sebanyak tujuh kali ganda selepas penghasilannya dikurangkan pada kali ini. Menurut Kiely, sepanjang tiga kali pelaksanaannya, pengurangan ganjaran penghasil telah menyebabkan pertambahan kadar turun kemeruapan yang mendadak. Selepas penghasilannya dikurangkan, nilai BTC susut kira-kira 30-40% namun melonjak ke paras tertinggi yang tidak pernah dicapai sebelum ini dalam masa 480 hari selepas itu. Namun, untuk tahun ini, beliau mengesyaki lonjakan nilai mata wang kripto ke bulan tidak akan berlaku.

Kiely menjangkakan bahawa bitcoin akan memperbaharui paras maksimum yang dicapai pada bulan Mac lalu iaitu $73,743. Walau bagaimanapun, nilai tertinggi yang baru ini tidak akan naik sebanyak nilai yang dicapai sebelum ini, disebabkan oleh kadar turun naik yang rendah. Penganalisis itu memberi dua faktor punca kepada penurunan kadar turun naik ini: 1. pertambahan jumlah bitcoin dalam walet golongan hodler yang memiliki lebih daripada 70% coin yang dihasilkan, dan 2. kewujudan ETF spot Bitcoin yang menyingkirkan sejumlah besar coin yang diedarkan. (Sejak tiga bulan dihasilkan, jumlah modal pasaran 10 ETF seperti itu (kecuali dana Grayscale ) telah melebihi $12 bilion). Hasilnya, bitcoin lebih menjadi aset tradisional yang kurang berisiko tetapi juga mungkin tidak memberikan perolehan yang besar. Kiely percaya bahawa faktor ini menjadikan coin tersebut lebih menarik kepada pelabur berinstitusi dan golongan tua yang lebih gemar melabur dalam aset boleh dipercayai dan tidak berminat dalam pertaruhan.

● Bekas CEO bursa BitMEX iaitu Arthur Hayes menjangkakan nilainya akan susut. Pada pendapat beliau, pengurangan penghasilan ini sudah pastinya mencetuskan keadaan bullish dalam pasaran kripto untuk jangka masa sederhana. Namun, nilainya itu mungkin akan turun serta-merta sebelum dan selepas penghasilannya dikurangkan. “Naratif bahawa pengurangan ganjaran penghasilan blok akan memberi kesan positif kepada nilai mata wang kripto sudah berakar umbi,” jelas penganalisis itu. “Walau bagaimanapun, apabila kebanyakan peserta pasaran bersetuju dengan sesuatu hakikat, perkara bertentangan biasanya akan berlaku."

Hayes sedar bahawa pasaran boleh berdepan dengan penurunan likuiditi dolar AS pada dua minggu terakhir bulan April yang disebabkan oleh musim pembayaran cukai, polisi Rizab Persekutuan, serta penyata imbang Perbendaharaan AS yang semakin kukuh. Penurunan kadar likuiditi ini akan mendorong kepada lebih banyak “berang dan menjual mata wang,” beliau percaya. “Bolehkah pasaran menyangkal unjuran bearish saya dan terus berkembang? Saya berharap. Sudah lama saya terlibat dalam bidang mata wang kripto, jadi saya terbuka untuk dibuktikan salah."

● Situasi sebelum pelaksanaan pengurangan penghasilan kali ini agak berbeza daripada sebelumnya. Perubahan ini dikaitkan dengan kebanjiran besar pelabur-pelabur berinstitusi menerusi ETF Bitcoin yang baru dilancarkan pada awal Januari lalu. Pengaruh ETF dalam dagangan spot jelas ditunjukkan dengan penurunan aktiviti di pasaran pada hujung minggu serta cuti umum di AS apabila dana-dana bursa ini tidak beroperasi. Musim cukai juga memberi kesan besar kepada pasaran aset berisiko. Sepanjang dua minggu lalu, aliran modal yang masuk ke dalam dana-dana ini sangat rendah berbanding paras puratanya iaitu $203 juta, dan modal dilihat mengalir keluar dari dana Grayscale dan juga Ark Invest. Lain-lain ETF juga dilaporkan mengalami penurunan aliran masuk modal. Semua ini mengukuhkan kebimbangan yang disebutkan Arthur Hayes, dan penyusutan 30% daripada nilai semasa boleh mengakibatkan nilai bitcoin turun di sekitar $50,000.

Para penghasil yang akan kehilangan separuh daripada pendapatan mereka setelah proses pengurangan penghasilan dilaksanakan, namun dalam masa yang sama menampung peningkatan kos untuk menghasilkan jumlah coin yang sama juga boleh menjadi penyumbang kepada keruntuhan pasaran. Setelah penghasilannya dikurangkan pada bulan Mei 2020, kos penghasilan meningkat kepada $30,000. Buat masa ini, purata kos bagi penghasilan satu BTC adalah $49,900, tetapi menurut Ki Young Ju, CEO platform analisis CryptoQuant, kos tersebut akan lebih tinggi daripada $80,000 selepas tarikh 20 April. Justeru, aset ini perlu didagangkan lebih tinggi daripada itu supaya para penghasil boleh terus mendapat pulangan. Walau bagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, lonjakan nilai secara mendadak mungkin tidak akan berlaku. Ini bermakna syarikat-syarikat penghasilan kecil serta penghasil individu mungkin berdepan dengan satu gelombang kebankrapan dan juga pengambilalihan.

● Menurut Arthur Hayes, situasi ini boleh berubah menjadi lebih baik antara bulan Mei-Jun: pihak Perbendaharaan AS “mungkin akan mengalirkan $1 trilion likuiditi tambahan ke dalam sistem yang akan mengepam pasaran,” beliau berkata. Anthony Scaramucci, CEO syarikat Skybridge juga meletakkan harapan kepada ETF spot Bitcoin, bertindak sebagai “mesin jualan” yang akan merangsang permintaan terhadap mata wang kripto pertama tersebut oleh para pelanggan runcit dan juga pelabur berinstitusi. Scaramucci percaya bahawa dalam kitaran ini, nilai bitcoin boleh naik sebanyak 2.5 kali ganda, dan kemudian terus bertambah. “Saya hanya nyatakan di sini bahawa jumlah modal pasaran bitcoin boleh mencecah separuh daripada modal pasaran emas, cth., meningkat enam atau malah lapan kali ganda daripada modal pasaran yang ada sekarang,” jelas ahli perniagaan itu. Perlu diketahui bahawa jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin sekarang adalah $1.35 trilion, manakala emas pula sebanyak $15.8 trilion. Jadi, jika BTC mampu memperoleh separuh daripada jumlah modal pasaran logam berharga, nilainya akan berada di sekitar $400,000 bagi setiap coin.

Brad Garlinghouse, CEO syarikat Ripple juga meletakkan harapan untuk ETF spot Bitcoin. Menurut beliau, ETF-BTC telah menarik pelaburan berinstitusi sebenar ke dalam industri ini buat pertama kali, maka beliau “sangat optimis” mengenai trend makroekonomi dalam industri kripto. Dalam konteks ini, Garlinghouse menjangkakan jumlah keseluruhan modal pasaran aset digital boleh naik sekali ganda menjelang hujung tahun ini, lebih tinggi daripada $5.0 trilion.

● Sehingga malam Jumaat, 12 April, gandingan BTC/USD didagangkan di sekitar $66,900. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.44 trilion ($2.54 trilion minggu lalu). Indeks Fear and Greed Kripto kekal berada di zon Extreme Greed pada bacaan 79 mata.

● Membuat kesimpulan, sedikit statistik bersifat ingin tahu: Dalam menantikan proses pengurangan penghasilan, Deutsche Bank menjalankan satu kaji selidik mengenai nilai bitcoin pada masa hadapan. 15% responden menyatakan bahawa dalam tahun ini, BTC boleh didagangkan pada julat lebih tinggi daripada $40,000 tetapi kurang daripada $75,000. Satu pertiga daripada responden berasa yakin nilai mata wang kripto ini akan turun di bawah paras $20,000 pada awal tahun hadapan. Sementara itu, 38% yang dikaji selidik percaya bahawa BTC tidak akan wujud lagi sepenuhnya dari pasaran. Akhir sekali, kira-kira 1% daripada responden menggelar bitcoin sebagai sebagai satu salah faham dan hanya sebuah spekulasi.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami